Friday, April 15, 2011

Kes dadah meningkat, kerajaan Terengganu perlu ‘dipulihkan’

oleh: Mat Zain Mat Isa

Dalam keadaan pelbagai pihak, sama ada pembangkang mahu pun penyokong kerajaan, tercari-cari apakah pencapaian yang boleh dibanggakan Barisan Nasional (BN) Terengganu, selain prestasi cemerlang anak-anak di dalam peperiksaan umum saban tahun yang sekadar mengulangi kejayaan dimulai di zaman pemerintahan PAS dulu, hakikat kebobrokan sosial negeri itu adalah sesuatu yang sukar diselindungkan lagi.

Ini menjadi bahan bual bicara segenap lapisan masyarakat. Fakta terkini didedahkan beberapa pihak berwajib mengenai gejala penyalahgunaan dadah di Terengganu bukan sahaja di tahap membimbangkan, malah amat memalukan.

Ia menjadikan kebanggaan atas pencapaian cemerlang anak-anak dalam peperiksaan suatu yang tidak meyakinkan. Keadaan yang ada menyebabkan mereka terlalu terdedah kepada kemungkinan turut terlibat dengan najis dadah suatu hari nanti.

Setakat ini perlu diakui betapa BN bukan sahaja amat tidak bermaya menangani kecenderungan meruntuhkan ini, bahkan mati akal membendungnya daripada terus mencanak.

Apa lagi yang boleh dikatakan apabila Terengganu disahkan menduduki tangga ketiga tertinggi daripada 14 negeri di Malaysia dalam kadar penagihan dadah tahun lalu. Lebih memalukan, kedudukan itu adalah ‘lompatan saujana’ daripada kedudukan ke-11 pada tahun sebelumnya.

“Banyak faktor menyebabkan Terengganu muncul tempat ketiga berbanding nombor 11 sebelum ini, antaranya kemasukan dadah sintetik dari negara jiran seperti pil kuda dan syabu yang boleh didapati dengan mudah,” media pada Ahad, 10 April, memetik pendedahan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Terengganu, Wan Adenan Wan Mohd Noor.

Menurutnya, kedudukan itu amat membimbang, kerana peningkatan kes penagihan dadah sekaligus menjadi punca meningkatnya pelbagai gejala sosial lain.

Biar pun ia suatu yang memalukan, ia sepatutnya bukan pendedahan mengejutkan. Apatah lagi Wan Adenan sendiri pernah melontarkan ingatan mengenai kecenderungan membahayakan itu sebelum ini.

September lalu misalnya, beliau telah membayangkan penagihan dadah di negeri itu menuju tahap semakin parah apabila pihaknya mengesan peningkatan sehingga hampir 14 kali ganda (1,337.78 peratus) dalam tempoh Januari hingga Julai 2010 berbanding angka untuk tempoh sama tahun sebelumnya.

“Kita dapati wujud arah aliran peningkatan mendadak dalam bilangan penagih baru apabila 1,294 dikesan pada tahun ini (2010) berbanding hanya 90 pada tahun lalu (2009),” akuinya.

Jumlah penagih baru itu apabila dicampur dengan kes penagih berulang seramai 290 menjadikannya 1,584 keseluruhan. Ia peningkatan amat besar berbanding kes keseluruhan tahun 2009 sebanyak 108, dengan kes penagih berulang hanya 18 kes.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan pula mendedahkan kesemua kes membabitkan dadah antara Januari hingga September 2010 didapati meningkat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, walau pun pihak polis terus memperhebatkan operasi pencegahannya.

Selain peningkatan kes penagihan, kes tangkapan dan tindakan ke atas pengedar dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 juga meningkat sebanyak 44 peratus kepada 75 kes berbanding 52 kes dalam tempoh sama tahun 2009.

Beliau turut menyatakan masalah penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi juga terus meningkat. Daripada 87 orang pada 2009, ia meningkat kepada 126 orang tahun lalu.

Sepertimana dinyatakan Wan Adenan, dan tidak sukar diakui kita semua, peningkatan kes-kes penyalahgunaan dadah adalah sealiran dengan peningkatan gejala sosial lain. Buktinya juga tidak sukar dinyata.

Sebelum ini banyak kes dilaporkan media yang mengaitkannya dengan gejala dadah. Ada beberapa kes anak mengugut membunuh emak atau nenek sendiri semata-mata kerana tidak mahu memberikan sejumlah wang diminta. Ada yang diugut menggunakan pisau, ada yang dibelasah hingga mengalami kecederaan fizikal yang teruk, bahkan ada yang diugut untuk dibakar hidup-hidup.

Otak anak-anak muda ini sudah tidak betul. Mereka umpama mereng dan separuh gila angkara dadah. Kerap dilaporkan tabung masjid seberat berpuluh kilogram yang dipateri kemas pada dinding atau tiang masjid turut menjadi mangsa. Ia bukan sahaja dikopak dan isinya dikebas licin, bahkan ada kes di mana tabung besi yang berat itu ghaib tidak dapat dikesan, dipercayai diusung sang pencuri.

Sebarang benda bernama besi tidak lagi selamat. Penutup longkang, tiang pagar, pintu pagar, bingkai tingkap dan kabel elektrik adalah bahan paling banyak dicuri.

Ada juga kes ragut, pecah rumah, curi motosikal dan bebagai lagi yang turut dikaitkan sebagai angkara penagih dadah. Apakah setakat ini yang mampu dibuat BN selaku pemerintah untuk membendung gejala ini?

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kegagalannya menangani gejala keruntuhan ini banyak berpunca daripada sikap BN sendiri yang tidak mengemukakan penyelesaian menyeluruh. Bukankah beberapa program dianjurkan kerajaan sendiri menjadi medan agak subur mendorong anak-anak muda menyalahgunakan dadah?

Justeru, ada benarnya pandangan sebilangan pihak bahawa kerajaan BN Terengganu terlebih dahulu perlu ‘dipulihkan’ sebelum usaha memulihkan rakyat dapat dilakukan dengan sempurna. PAS mesti ganti Umno!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1631, 15 April 2011)

No comments:

Post a Comment