Tuesday, February 1, 2011

Pasangan Mohd Loh – Aishah Wongkham “Islam selamatkan kami dari sengsara hidup”

Oleh: Nuwa Aitawa

Bukan semua orang tertarik atau sedia menerima Islam didorong oleh sebab-musabab yang sama. Islam itu luas. Maka keindahan dan keistimewaan Islam yang mampu memaut minat bukan Islam kepada agama suci itu juga seluas dan selebar Islam itu sendiri.

Menyorot sepintas lalu beberapa kes dipaparkan penulis di ruangan ini sebelum ini mungkin memperjelaskan maksud tersebut. Sebab-musabab yang membawa beberapa Saudara Kita melafazkan syahadah adalah pelbagai.

Ada yang menerima Islam disebabkan naluri ingin tahu, sehingga mereka membandingkan beberapa aspek ajaran agama asal mereka dengan Islam.

Ada yang didorong rakan atau kenalan. Ada juga yang didatangi mimpi sehingga membawanya mengucap syahadah. Ada pula yang disebabkan perasaan kurang selesa dengan beberapa aspek ajaran agama asalnya, lalu akhirnya melihat keadaan lebih baik di dalam Islam.

Sorotan kali ini pula menemukan kita dengan satu lagi jalan cerita yang sama sekali berbeza berbanding kes-kes terdahulu. Sepasang suami-isteri yang pada asalnya menganut Buddha, tetapi mengakui menjalani hidup sebagai orang tidak beragama, akhirnya menemui cahaya Islam.

Si suami, Loh Kam Wah, adalah rakyat Malaysia. Manakala si isteri, Khammoon Wongkham berasal dari Thailand.

Loh dilahirkan pada 1957 di Bentong, Pahang. Bapanya, Loh Siew, berhijrah dari China sebelum Perang Dunia II. Ibunya, Cheong Liew pula rakyat tempatan.

“Bapa memang Buddha, tapi dari dulu tak benar (kami) makan itu ‘ampat kaki’ (khinzir)”, cerita Loh, apabila ditanya mengenai agama asalnya.

Pengalaman hidupnya bagaimana pun tidak banyak ditimba di tanahair sendiri. Beliau membina alam dewasanya di Thailand.

Pada usia 35 tahun Loh memulakan perniagaan kilang air batu di bandar Chieng Rai, utara Thailand. Di sanalah beliau bertemu jodohnya, Khammoon. Perniagaannya juga berjalan dengan baik.

Namun, beberapa tahun selepas mendirikan rumahtangga, mereka ditimpa sengsara yang tidak tertanggung.

“Ada orang sudah taruk itu benda, warna banyak hitam, di belakang kilang (ais). Banyak kuat dia punya itu (kuasa), sudah bikin rosak saya punya niaga,” terang Loh.

Beliau percaya ada pihak menggunakan ilmu sihir ke atasnya. Akibat perbuatan itu beliau mendakwa perniagaannya semakin merosot dan akhirnya mengalami kerugian lebih RM1 juta.

Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Tidak cukup sekadar kilang aisnya terpaksa gulung tikar, isterinya juga turut diganggu penyakit misteri.

“Lapan tahun dia (Khammoon) tak boleh tidur. Ada macam benda gigit di kepala. Hari-hari dia (gangguan) datang. Pukul ‘anam’ (enam) dia mesti datang, malam pukul sembilan baru ada sikit kurang. Lapan tahun itu macam ooo!,” cerita Loh lagi dengan nada bersungguh.

Kesengsaraan berganda itu benar-benar membuntu kehidupan mereka. Di masa sama, bermacam ikhtiar telah mereka ambil untuk memulihkan kesihatan si isteri. Mereka mencuba perubatan moden, tidak kurang juga rawatan tradisional. Namun semuanya tidak berhasil.

“Suatu hari dia (Khammoon) punya kakak, Aminah, sudah ada sini (Malaysia). Dia cakap, mari Malaysia sini. Mana tahu sini ada baik untuk kamu (kami),” sambungnya.

Dipaksa keadaan, pasangan itu nekad meninggalkan Chieng Rai, pada 2010 lalu. Mereka bergerak ke selatan dan bermukim di Yala selama dua minggu. Menurut Loh, sepanjang tempoh itu mereka tidak jemu berusaha mengubati gangguan misteri dihidapi Khammoon.

Ketika itu juga, katanya, ada sami Buddha menawarkan diri untuk mengubati penyakit itu. Mereka juga menyarankan agar pasangan ini kembali mengamalkan ajaran agama itu.

Ada juga ajakan serupa daripada kenalan beragama Kristian. Namun hati mereka semacam tidak menemui keserasian untuk memenuhi pelawaan-pelawaan itu.

Sebaik memasuki Malaysia, Loh membawa isterinya ke kampung halamannya di Bentong. Di sana beliau menemui bapa saudaranya, Liew Wah @ Mat Hussin, seorang Muslim dari tanah besar China.

“Dia (Mat Hussin) cakap, cuba masuk Islam la. Kamu sembahyang lima kali sehari, sebut nama Tuhan Allah banyak-banyak, hati banyak senang, itu ‘kacau-kacau’ insya Allah boleh hilang, kata dia,” cerita Loh lagi.

Entah bagaimana hatinya mudah pula menerima cadangan itu. Perasaannya ketika itu sama sekali berbeza berbanding ketika diajak kembali mengamalkan ajaran Buddha atau memasuki Kristian sebelum itu.

Loh lalu merujuk perkara itu kepada isterinya. Apabila isterinya juga bersetuju, mereka lantas melafazkan syahadah. Mereka juga menjalani akad-nikah semula menurut ajaran Islam.

Kini mereka dikenali sebagai Mohamad Loh Abdullah dan Aishah Wongkham Abdullah. Loh mengakui kesengsaraan dialami Aishah beransur hilang selepas itu.

“Sembahyang lima kali sehari, hati banyak senang. Ustaz pula ada kasi itu air sembahyang (hajat), kasi sapu (pada badan), mandi, banyak baik,” terang Loh, merujuk kepada penyakit isterinya.

“Kito ‘semaye’ (sembahyang), Allahu Akbar, Allahu Akbar, banyak baik. ‘Pallo’ (kepala - maksudnya kesakitan di kepalanya) banyak baik, hati banyak baik, ‘Isle’ (Islam) baik,” celah Aishah pula, dalam bahasa ‘trengkas’, diselang-seli kalimah bahasa asalnya yang tidak difahami penulis.

Kini pasangan Saudara Kita ini menetap di Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut, Terengganu. Mereka mendakwa amat selesa tinggal di daerah ini, terutama dua kakak Aishah yang telah terlebih dahulu memeluk Islam, juga menetap di sekitar pekan sama.

Beliau dan isteri mengakui sangat taat mengerjakan sembahyang, fardhu dan sunat. Apatah lagi menerusi amalan itu, beliau ditakdirkan Allah menemui ‘rawatan’ paling mujarab untuk kesengsaraan yang mengganggu isterinya sejak bertahun.

Itulah yang penulis maksudkan di awal tadi, bahawa keindahan dan keistimewaan Islam yang mampu memaut minat bukan Islam kepada agama suci ini juga seluas dan selebar Islam itu sendiri.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil. 228 Edisi Februari 2011 di ruangan Hidayah dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment