Sunday, August 16, 2009

PAS dulu takbir, sekarang ‘take beer’?


Oleh: MOHD NASIR AWANG

TIDAK sepatutnya ada mana-mana pihak terkejut apabila PAS bersuara lantang membantah sesuatu yang bertentangan dengan hukum Islam. Isu penjualan arak secara terbuka kepada umat Islam di Selangor yang tercetus lebih seminggu lalu juga wajar dilihat dari perspektif itu.

Ada banyak hujah yang boleh merasionalkan pendirian PAS itu. Pertama, ia berkaitan dasar perjuangannya sedari dulu yang secara terbuka mengisytiharkan matlamat menubuhkan negara Islam yang berdaulat di dalamnya hukum-hukum Allah.

Sebab itu agak kelakar apabila ada Ahli Parlimen DAP, parti rakan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR), melabelkan seorang ahli majlis perbandaran di Pulau Pinang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai ekstremis Islam. Antara sebab utama ialah semata-mata kerana ahli PKR itu turut menyertai pertubuhan yang menerima Malaysia sebagai negara yang akan menerima pakai undang-undang syariah.

Bagi saya, jika diikutkan emosi buruk dan tabiat Islamophobia yang ghairah melabelkan orang yang berpegang kepada Islam sebagai ekstremis agama, maka pihak paling layak dikatakan ekstremis ialah PAS.

Parti itu adalah pemain utama di persada politik negara ke arah mencapai hasrat mendaulatkan hukum Islam. Berbanding pertubuhan dianggotai ahli PKR tadi, suara PAS berkaitan perkara itu jauh lebih lantang.

Penghayatan Islam dalam PAS pula bukan diserahkan kepada individu, atau tanggungjawab “self regulation” yang pandai-pandai ahli parti sendiri menilai baik buruk sesuatu perintah dan larangan agama, sepertimana diamalkan dalam Umno dan parti-parti orang Melayu lain. Prinsip perjuangan dan penghayatan Islam dinyatakan secara jelas dalam undang-undang tubuh PAS dan setiap ahli bertanggungjawab merealisasikannya.

Makanya saya kira tidak sepatutnya ada mana-mana pihak bertindak seolah-olah mereka belum faham bahawa kewujudan PAS adalah atas asas menegakkan Islam di peringkat negara dan individu. PAS tidak boleh hidup tanpa dasar itu. Semua pihak terutama kawan, perlu meraikan dasar itu.

Kedua, rekod pendirian PAS dalam isu Islam adalah konsisten dan sukar dinafikan. Contohnya dalam kes membantah peminuman arak oleh orang Islam. Ia menjadi perjuangan PAS sejak dulu.

Saya difahamkan ketika PAS berada dalam Barisan Nasional (BN), parti itu mengusulkan kerajaan menghentikan tradisi menghidangkan arak di majlis jamuan rasmi kerajaan. Cadangan itu diterima setelah dibahas dan dibantah keras pemimpin lain BN, termasuk dari Umno. Kes itu antara yang menyerlahkan pendirian para pemimpin Umno dalam isu arak ini.

Saya teringat satu ucapan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pada 1995 (ketika itu Bendahari PAS Pusat). Katanya, bagi meraikan kaki-kaki botol itu diwujudkan bilik khas untuk mereka di setiap majlis rasmi kerajaan.

Dalam satu majlis dihadirinya (ketika PAS dalam BN), seorang pemimpin Umno secara sinis dan angkuh berkata,you (pemimpin PAS) tak boleh masuk bilik ni ya (bilik peminum arak), ia eksklusif utnuk kami. Tempat you di bilik lain”.

Namun sindiran itu tidak menjadi kudis gatal buat PAS. Ia tidak langsung menjejaskan komitmennya menegakkan Islam dan mengemukakan berbagai lagi tuntutan pelaksanaan Islam oleh kerajaan, sehinggalah PAS keluar BN.

Apabila PAS berjaya memerintah Kelantan bermula 1990, peluang merealisasikan hasrat menegakkan Islam terbuka lebih luas. Antara isu utama dipolitikkan BN ialah arak. Kerajaan PAS menyusun semula penggunaan arak dan menghadkan premis penjualannya.

BN memanfaatkan komponen bukan Islamnya untuk membantah peraturan baru diperkenalkan PAS, kononnya ia menyekat kebebasan bukan Islam. Sebagai protes, MCA Kelantan mengumumkan akan mengadakan pesta meminum arak secara besar-besaran di Kota Bharu. Umno pula jadi “tukang alak”. Kata orang Kelantan, “jong bubuh karak di punggung” MCA bagi mengapikan suasana.

Isu itu hanya reda apabila Tuan Guru Datuk Menteri Besar Kelantan mengeluarkan kenyataan pedas, “minumlah nak minum sangat gak. Minumlah sampai pecah perut!”

Difahamkan MCA tidak meneruskan hasratnya itu, antara lain kerana bimbang masin mulut Tok Guru, apa disebutnya itu (pecah perut) akan benar-benar berlaku.

Polisi menyusun semula penggunaan arak turut diimplementasi oleh kerajaan PAS di Terengganu. Ia juga cuba dipolitikkan BN didalangi Umno, tetapi rakyat semakin faham dan menerimanya.

Sebab itu saya melihat kemunasabahan amat jelas apabila minggu lalu para pemimpin kerajaan Kelantan mempelawa rakan sejawat mereka dari Selangor melawat dan meninjau polisi dan peraturan mengenai penjualan arak dilaksanakan di negeri diperintah PAS itu.

PAS Selangor pada 4 Ogos lalu menuntut kerajaan mengambil tindakan sewajarnya agar tidak ada campurtangan mana-mana pemimpin politik dalam menggagalkan tindakan pihak berkuasa tempatan mahu pun pihak berkuasa agama negeri menghalang arak dijual dan diminum orang Islam.

Isu itu menjadi hangat apabila ia membabitkan hubungan silang parti di dalam PR. Bantahan PAS ditolak mentah DAP dan tidak diraikan PKR.

Namun pada saya episod itu menbuktikan satu perkara, bahawa PAS amat konsisten dengan perjuangan Islamnya. Ia rela mengenepikan kepentingan lain apabila bercanggah dengan kepentingan Islam, termasuk untuk menjaga hati kawan. Ia sekaligus menolak dakwaan liar sesetengah kalangan kononnya PAS boneka DAP.

Sebab itu saya pelik apabila di sebalik ketegasan PAS yang sebegitu menyerlah, masih ada ahli Umno Shah Alam sewenangnya mendakwa kononnya, ‘PAS dulu takbir, sekarang “take beer”’. Kalimah itu antara yang tertera pada sepanduk dijulang mereka dalam perhimpunan haram mengenai isu arak, 7 Ogos lalu.

Beberapa sepanduk lain turut menjuruskan kepada maksud serupa menggambarkan seolah-olah PAS turut bersubahat menghalalkan arak. Mungkinkah itu kerja orang kurang waras, buta fakta sejarah yang saya sebutkan di atas atau terlalu dirasuk sentimen politik kepartian?

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 16-22 Ogos 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment