Saturday, August 1, 2009

Nafisah tabah besarkan 11 anak sendirian

Oleh: Nuwa Aitawa

Suasana bagai menjanjikan kebahagiaan berpanjangan buat pasangan Hasbullah Ismail dan Nafisah Mamat di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut, Terengganu. Walau pun gaji si suami sebagai pekerja am di Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menjadi punca pendapatan tunggal keluarga tidak sebesar mana, kehidupan mereka sekeluarga agak senang berbanding dengan sebilangan jiran tetangga dan sanak-saudara mereka.

Kehadiran sepuluh cahaya mata menyeri dan menghidupkan lagi rumah mereka yang sederhana besar itu. Bagi masyarakat di kawasan sekitar itu, sebuah rumah yang dilengkapi perabot seadanya, bersama sebuah motosikal dan kereta pertengahan usia sudah cukup menjadi ukuran keselesaan hidup penghuninya.

Namun bak kata orang, langit tidak selalunya cerah. Panas yang dijangkakan berterusan sehingga petang tiba-tiba dikejutkan dengan hujan di tengah hari.

Segala-gala dalam hidup keluarga itu berubah lima tahun lalu. Suaminya diserang penyakit ‘misteri’. Demamnya bersangatan, diiringi muntah-muntah dan hilang selera makan. Mukanya bertukar menjadi pucat kekuningan.

Hasbullah dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di Kubang Kerian, Kelantan. Pemeriksaan kesihatan mengesahkan beliau menghidap Hepatitis peringkat sudah kritikal.

“Doktor kata hati dia (suami) dah rosak, sebelahnya sudah “hangus”, tak boleh diubat lagi,” Nafisah menceritakan kembali peristiwa pada 2004 itu.

Menurutnya, suaminya hanya sempat berada di wad hospital selama 25 hari. Sepanjang tempoh itu, katanya, tidak banyak rawatan dan ubat dibekalkan kepada suaminya. Beliau hanya diberitahu kononnya pihak hospital masih cuba mengesan penyakit sebenar yang dialami suaminya.

“Masa tu hak ni (menunjukkan kepada anak bongsu di ribaannya) baru lima bulan dalam perut (kandungan),” Nafisah mengimbau kesukarannya ketika itu.

Keadaan bagaimana pun tidak memberinya pilihan selain terpaksa menemani suaminya di hospital setiap hari. Apatah lagi dalam keadaan kesihatan suaminya di tahap kritikal sebegitu, seorang isteri yang setia tentu tidak bersedia berjauhan walau untuk seketika.

Mahu tidak mahu, sepuluh anaknya di rumah terpaksa dititipkan kepada kedua mentua dan ipar-duai. Anak mereka yang sulung, Nurul Syuhada, ketika itu baru berusia 17 tahun dan bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Anak kedua mereka, Nor Azahari pula berumur 16 tahun.

Lapan lagi anak mereka ialah Nurul Ashikin (14), Nor Azmi (12), Nor Izwan (11), Nurul Aida (9), Nor Halim (7), Nurul Akmal (5), Nurul Syafikah (3) dan Nor Hakim (2).

Keadaan suaminya semakin hari semakin tenat. Hospital pula tetap dengan alasan masih berusaha menentukan kaedah rawatan terbaik dan ubat paling sesuai untuk diberikan.

Sanak-saudara dan rakan taulan tidak putus-putus menziarahi mereka di wad. Jiran tetangga dan teman sekampung pula hampir tidak ada yang ketinggalan menjenguk mereka di sana.

Surau yang menjadi tempat kebiasaan Hasbullah bersolat jemaah di kampung sempat beberapa kali membuat bacaan Yaasin dan solat hajat untuk kesejahteraannya. Namun, Allah Ta’ala lebih menyayanginya. Hasbullah dijemput pulang ke rahmatullah pada usia 40 tahun.

Nafisah yang pada ketika itu berusia 35 tahun hanya mampu meredhakan pemergian suaminya. Penitian liku-liku hidup perlu diteruskan. Kini tugas menggalang-ganti apa juga yang selama ini dibekalkan suaminya hanya terpikul di pundaknya sendirian.

“Syukurlah agak banyak sumbangan orang bagi (sebaik kematian suami). Pejabat JKR bagi tiga ribu lebih (RM3,000). Bolehlah selesaikan banyak perkara juga”, Nafisah menyambung bicara.

Mujur lagi apabila arwah suaminya ada membeli insurans hayat. Pihak terbabit tidak mengambil masa lama menyampaikan bantuan selayaknya.

“Alhamdulillah, dengan duit itu memang banyak kita selesaikan hutang-hutang dengan sanak saudara. Duit itu juga kita buat sudah (membaiki kerosakan) rumah ni”, terang si ibu tunggal itu lagi.

Demi Allah, melihatkan raut wajahnya yang sentiasa ceria dan tenang sepanjang dibual bicarakan, tiada siapa akan percaya jika diceritakan segala keperitan hidup yang sedang ditanggungnya. Mampukah dia membesarkan sebelas orang anak kecil sendirian tanpa sumber pendapatan tetap tanpa ketabahan dan kecekalan yang amat tinggi?

Ditanya mengapa tidak mencari pekerjaan tetap bagi menampung keperluan keluarga, Nafisah hanya mampu tergelak kecil. Beliau mengakui agak sukar memberikan komitmen kepada kerja sebegitu memandangkan terpaksa menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah.

“Ada juga saya tolong menjual di kedai sehari (pasar pagi), tolong bungkus nasi. Orang (tuan punya gerai) bagi juga, alhamdulillah RM15 sehari. Lepas (cukup) untuk beli ikan, lauk anak-anak.  Anak-anak pun mujurlah makan tak memilih, ikut ada saja”, sambung Nafisah lagi.

Di sebelah tengaharinya, beliau sempat membantu mentuanya menjual di hadapan sebuah sekolah menengah tidak jauh dari rumah. Selain itu, Nafisah juga mengambil upah mengemas rumah seorang pengusaha stesen minyak, juga tinggal berdekatan kampungnya. Beliau diberikan sejumlah RM15 lagi untuk dua kerja itu.

Bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat bernilai RM450 sebulan juga amat membantu meringankan penderitaan mereka sekeluarga.

Paling berharga buat Nafisah kini ialah sikap anak-anaknya yang amat memahami kesempitan hidup mereka. Beliau mengajarkan mereka ketabahan.

Beliau juga menjadikan rutin mingguan di setiap pagi Jumaat untuk membawa anak-anak menziarahi pusara ayah mereka yang terletak tidak sampai dua kilometer dari rumah. Sekurang-kurangnya kerinduan mereka terhadap tangan yang pernah membelai dan suara yang pernah menyapa mereka suatu ketika dulu sedikit terubat.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Ogos 2009 di ruangan “meniti hidup” dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment