Friday, August 21, 2009

Amanah sangatkah Umno pada bangsanya?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

KHIANAT! Khianat! Khianat! Bagaikan nak termuntah rakyat mendengar kalimah itu diulang sebuat, dilaung dan ditempikkan lewat perhimpunan-perhimpunan haram. Media cetak pula dalam seminggu dua ini seolah-olah tidak ada tajuk lain lebih sensasi berbanding isu khianat itu. Cerita sekitar isu itu diulanglapor, disorot dan diulas berjela-jela.

Para pemimpin Umno berlumba-lumba menempikkan kononnya Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah pengkhianat bangsa Melayu. Yang mula melaungkan label itu tidak lain dari Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa perkara besar telah Anwar lakukan sehingga dia layak dilabel pengkhianat? Di antara alasan utama Muhyiddin melontarkan label itu ialah kerana Anwar didakwa mendalangi perhimpunan menuntut pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), awal bulan ini.

Sementara dakwaan itu masih tertakluk kepada pertikaian, kita turut melihat kes itu tidak munasabah untuk disabitkan seseorang yang terlibat sebagai pengkhianat bangsa dan negara.

Mengukur kesetiaan seseorang terhadap negara dan bangsa hanya berdasarkan satu kejadian membabitkan pertikaian undang-undang adalah terlalu simplistik. Ia satu penghakiman amat dangkal dan menggambarkan sikap kebudakan sebilangan pemimpin Umno.

Lawan kepada sifat khianat ialah amanah. Seseorang yang khianat ertinya seorang yang tidak menunai atau menyempurnakan amanah diberikan kepadanya. Sebaliknya, seseorang yang tidak khianat, atau melabelkan pihak lawannya sebagai khianat, sepatutnya menyerlahkan sifat amanah pada dirinya.

Dalam keadaan para pemimpin Umno sibuk dan ghairah meneriakkan Anwar pengkhianat, maka apakah Umno itu sendiri sangat amanah terhadap bangsanya? Maaf cakap, fakta dan hakikat terakam dalam lipatan sejarah negara tidak begitu menyebelahi parti Melayu itu.

Setelah lebih setengah abad Umno berdiri sebagai tulang belakang kerajaan, semakin menyerlah kegagalan parti itu menyempurnakan amanah bangsa dan negara kepadanya.

Tidak payah kita berbicara soal sangat luas bagi membuktikannya. Sudah cukup jika diteliti beberapa bahagian dari tujuh Wasiat Raja Melayu, sepertimana yang ditonjolkan baru-baru ini.

Secara ringkas, tujuh wasiat tersebut adalah mengenai nama negara sebagai Persekutuan Tanah Melayu, Tanah Rezab Melayu (TRM), rejimen askar Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Juga Islam sebagai Agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan jaminan kedudukan istimewa orang Melayu di samping kepentingan sah kaum lain.

Tanyakan saja apakah yang telah terjadi kepada Islam sebagai Agama Persekutuan? Fakta-fakta membuktikan Umno tidak berhasrat merealisasikan wasiat itu dalam ertikata sebenarnya. Sebegitu banyak ucapan dan tindakan para pemimpin Umno sebaliknya terang-terang memperlekeh dan menolak hukum Islam.

Apa parti itu tidak buat demi menidakkan kemuliaan hari Jumaat sebagai hari ibadat? Jangan diharapkan menukar cuti mingguan beberapa negeri dari Ahad kepada Jumaat untuk keselesaan umat Islam beribadat, perkara sebaliknya dibuat Umno.

Tanya pula apa tindakan serius parti itu selaku ketua kerajaan dalam menangani penularan wabak kemurtadan di kalangan remaja Islam kebelakangan ini? Itu belum lagi kita ungkitkan sejarah keangkuhan para pemimpin Umno menyanggah pendirian para ulama, terutama menyentuh aspek pemerintahan.

Bagaimana pula kedudukan TRM setelah lebih 50 tahun negara di bawah Umno? Suatu ketika dulu keluasan TRM mencapai 3 juta hektar. Sedekad lalu ia merosot kepada hanya 1.7 hektar.

Atas nama memberi laluan kepada pembangunan, kerajaan-kerajaan dipimpin Umno meratah sebidang demi sebidang TRM. Entah berapa kangkang kera Wasiat Raja Melayu itu yang masih ada kini?

Beberapa hak istimewa orang Melayu turut dikhianati Umno. Biasiswa pelajaran dihadkan, tulisan jawi dihapuskan dan martabat bahasa Melayu dihinjak. Umno turut tergamak mencabul kedaulatan Raja-Raja Melayu, terutama menerusi dua pindaan Perlembagaan Persekutuan sebelum ini.

Apa yang diutarakan ini hanyalah secebis bukti pengkhianatan Umno terhadap bangsanya sendiri. Ada berlambak lagi yang boleh dikemukakan.

Rakyat sudah semakin cerdik. Mereka mampu mendalami fakta dan hakikat sebenar sesuatu isu berbangkit.

Rakyat juga semakin matang untuk menelah apakah isu khianat dicetuskan Umno ini suatu yang berpijak di bumi nyata atau sekadar agenda parti itu mengalihkan perhatian rakyat dari membicarakan kegagalan Umno menangani isu-isu lain yang lebih besar dan penting.

Kegagalan menangani isu kemelesetan ekonomi, kekurangan gula, kenaikan tambang pengangkutan awam dan harga barangan keperluan harian makin menghimpit hidup rakyat.

Kini datang pula penularan wabak selesema babi yang mendedahkan rakyat kepada risiko amat menakutkan. Umno-BN setakat ini gagal menemui kaedah tepat dan berkesan menghalang kematian demi kematian. Rakyat semakin panik dan takut.

Sebab itu BN perlu mencipta isu bagi mengalih perhatian rakyat dari perkara penting itu. Para penjuak Umno yang memang kurang cerdik dengan mudah bertindak bagai dirasuk ikut melaungkan 'khianat! khianat! khianat!'.

Rakyat lebih waras daripada mereka untuk menilai siapa sebenarnya pengkhianat bangsa dan negara.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 21 Ogos 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily.net pada 26 Ogos, 2009, diikuti laman kerabubersuara.blogspot.com/ dan lordazaab.wordpress.com/ pada 7 Oktober 2009)

No comments:

Post a Comment