Wednesday, April 1, 2009

Sambutan Maulidur Rasul: Satu sanjungan atau persendaan?

Oleh: Mohd Nasir Awang

KEHADIRAN 12 Rabiul Awal 1430 Hijriah disambut penuh meriah oleh umat Islam serata dunia. Di negara kita sendiri, pelbagai acara sambutan disediakan untuk menyambut ketibaan tarikh kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w itu.

Majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan telah diadakan dengan jayanya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 9 Mac lalu. Tema yang dipilih bagi sambutan tahun ini ialah ‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’.

Sepertimana lazimnya majlis itu disambut di negara kita sejak berzaman, ia tidak akan dianggap sah dan sempurna tanpa diadakan perarakan sambil berselawat ke atas Nabi s.a.w. Para peserta akan menjulang sepanduk tertulis berbagai kalimah menyanjung tinggi kemuliaan Rasulullah s.a.w selain slogan yang menjadi tema sambutan.

Begitulah senario yang berlaku saban tahun. Kalau pun ada perubahan ketara, ia mungkin melibatkan persembahan nyanyian yang semakin rancak temponya atau alunan muzik yang semakin membingitkan telinga.

Pada pemerhatian lain pula, para peserta muda lebih berminat menjayakan acara nyanyian yang diiringi muzik yang melenggokkan badan. Manakala persembahan tradisi seperti berzanji dan marhaban, yang dinilai lebih dekat dan relevan dalam konteks sambutan Maulidur Rasul, hanya dibarisi peserta berusia separuh abad ke atas.

Justeru, ada yang mempersoalkan apakah yang sebenarnya cuba kita capai dan buktikan daripada acara sambutan serupa itu? Lebih sinikal lagi, ada yang melontarkan keraguan, sejauh manakah sambutan sedemikian rupa bertepatan dengan saranan dan suruhan agama?

Beberapa soalan lain menyusul. Antaranya, apakah ada nas yang jelas dalam al-Quran mahupun hadis Nabi s.a.w menggesa umat Islam menyambut hari lahir Baginda? Dalam konteks negara kita, apakah pandangan ulama dan mufti dirujuk secara khusus dalam menyusun acara sambutan dimaksudkan itu?

Ahh! Ada yang menyanggah dan menyoal balas, ‘apa salahnya berarak dan berselawat memuji-muji Nabi Muhammad s.a.w? Tidakkah mengucap selawat itu dijamin pahala dan ganjaran oleh Allah dan Rasullullah s.a.w sendiri?”

Ya, memang ada ayat al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihan berselawat kepada Nabi s.a.w. Ia memang dijamin ganjarannya.

Namun perlu diakui juga, ia boleh dilakukan di mana saja, tidak semestinya di jalan raya sambil berarak. Ia juga tidak perlu menunggu hanya 12 Rabiul Awal untuk diucap, malah boleh disebut bila-bila masa sepanjang hayat umat Islam. Bukankah itu lebih baik dan mudah, jika ganjaran Tuhan yang diinginkan?

Sebetulnya, tidak keterlaluan diakui bahawa orang-orang Melayu memang cenderung menegakkan syiar berbanding syariat Islam. Mereka lebih ghairah melakukan sesuatu yang secara lahiriahnya membuatkan orang menilai mereka sebagai seorang Islam yang berpegang pada agama.

Selain berarak dan berselawat pada hari Maulidur Rasul, orang Melayu juga minat bertahlil dan membuat kenduri arwah, terutama mengikut bilangan hari kematian seseorang. Kita juga minat mengacau bubur Asyura setiap kali kedatangan Muharam.

Semua amalan itu lebih cenderung kepada syiar berbanding syariat agama. Maka hujah paling lumrah kita dengar ialah kita melakukan kesemua amalan yang sudah menjadi adat masyarakat itu kerana mendekatkan diri kepada suruhan Allah dan Nabi-Nya s.a.w.

Tidak salah kita melakukan sesuatu seumpama itu, asal saja ia mendatangkan kebaikan dan tidak bercanggah dengan hukum-hakam agama. Soalnya, apakah amalan yang sepatutnya diberikan keutamaan dalam setiap peristiwa dimaksudkan itu?

Contohnya, jika kita bercakap soal membuktikan kecintaan dan kasih sayang kepada Baginda s.a.w menerusi perarakan dan ucapan selawat, apakah pula saranan Allah dalam membuktikan kecintaan itu?

Ia terserlah menerusi ayat al-Quran di mana Allah memerintahkan Nabi s.a.w mengkhabarkan kepada kita, bahawa sekiranya kita benar-benar kasihkan Allah, maka cara terbaik ialah kita ikut apa yang Rasullullah s.a.w kata dan buat.

Apa pula yang dikata dan dibuat Rasullullah s.a.w sendiri mengenainya? Antaranya, Baginda menyebut, ‘solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat’.  Nah, sejauh manakah kita mengambil berat saranan itu dan memastikan solat yang kita dirikan itu bukan semata-mata sekadar melepasi yang wajib dan rukun, tetapi menghampiri sedapatnya dengan apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w?

Dalam konteks menyampaikan mesej Islam kepada umum, Baginda s.a.w antara lain ada menyebut agar kita menyampaikan apa jua pengajaran darinya walau satu ayat. Itu lagi payah kita nak pastikan diri melaksanakannya, bukan?

Ada ratusan, malah ribuan lagi suruhan seumpama itu. Ia terangkum menerusi nas yang jelas, sama ada ayat al-Quran mahupun Sunnah Nabi s.a.w.

Sebagai kesimpulan, amat menyimpang tanda kecintaan kita kepada Baginda s.a.w sekiranya kita lebih mengutamakan sesuatu yang Baginda sendiri tidak meminta kita lakukan, sedangkan di masa sama kita memilih untuk terlalu selektif atau rejektif dalam memenuhi apa yang Baginda s.a.w suruh.

Sehingga perkara itu kita perbetulkan, sambutan Maulidur Rasul yang kita buat dalam rupa sekarang tidak bertepatan dengan hasrat menyanjung kemuliaan Nabi s.a.w. Sebaliknya, oleh sebab kehidupan seharian kita mengenepikan ketaatan kepada apa yang Baginda s.a.w suruh, maka memuji dan menyanjungnya hanya pada hari lahirnya saja adalah ibarat mempersendakan risalah yang dibawanya kepada kita.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, April 2009 di ruangan ‘pendapat’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment