Monday, April 20, 2009

Kalaulah Ahmad Said seperti Shahrir Samad?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

TERBUKTI akhirnya betapa para pemimpin Umno Terengganu masih belum dapat melupai episod hitam pergolakan dalaman partinya, ekoran krisis pelantikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said, Mac 2008 lalu. Sama ada pihak yang menang dalam perebutan itu, mahupun pihak yang terpaksa mengalah, kedua-duanya setakat ini gagal menunjukkan kompromi.

Yang menang dikatakan sukar memaaf dan memanfaatkan rakan-rakan dari kem berlawanan secara ikhlas, adil dan saksama. Yang kalah pula, meskipun pada zahirnya mengaku akur kepada kehendak takdir, patuh kepada keputusan parti dan tidak derhaka kepada perkenan istana, tetapi kekal dengan sikap tidak memberi kerjasama menjayakan pemerintahan parti mereka sendiri.

Sebab itu Ahmad kelihatan agak keseorangan dalam mengemudi kerajaan. Agak menyerlah adanya unsur-unsur sabotaj dan protes dari kalangan wakil rakyat BN sendiri terhadapnya. Ikrar taatsetia mereka serta akuan menerima perlantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu hanyalah ibarat "manis kata di bibir saja, tapi hati lain bicara".

Ahmad tidak ada pilihan melainkan berusaha memujuk sebilangan Adun BN yang sebelum ini menentang pelantikannya. Sebilangan mereka itu diajak 'menyertai' kemnya menerusi lantikan menganggotai barisan Exco negeri.

Kita sangka kemarahan mereka itu terhadap Ahmad akan reda setelah diberikan posisi tinggi dan selesa dalam kerajaan. Malangnya usaha itu juga tidak begitu berhasil. Tidak semua antara wakil rakyat yang dilantik memimpin kerajaan bersama Ahmad memberikan kepatuhan yang bulat kepadanya, sama ada dalam urusan kerajaan mahupun parti.

Akibatnya tempoh setahun Ahmad menerajui kerajaan boleh dikatakan tidak sunyi dari sengketa dan 'perang mulut' antara pemimpin sesama parti. Ada-ada saja pertembungan berlaku antara mereka, sama ada melibatkan Ahmad sendiri atau para pemimpin lain yang sealiran dengannya berhadapan pemimpin dari kem berlawanan.

Beberapa prinsip dan slogan pemerintahan yang dicetuskan dan cuba diterapkan Ahmad gagal disempurnakan. Ia berhadapan masalah dalam pelaksanaannya di peringkat jawatankuasa ekoran sambutan dingin para pemimpin politik BN sendiri, termasuk beberapa anggota Exco dan Adun.

Ada pula antara anggota Exco yang secara terang-terangan melanggar arahan Ahmad agar tidak bertanding merebut jawatan utama parti di peringkat bahagian masing-masing. Episod itu juga menimbulkan kegawatan tahun lalu. Kata-mengata dan cabar-mencabar antara kem Ahmad dan kem lagi satu itu saling tingkah-meningkah buat beberapa ketika. Ia mengundang campur tangan pucuk pimpinan tertinggi Umno dan BN.

Ahmad cuba mengimbangi kekurangannya dalam menguasai parti dengan mengukuhkan cengkaman di peringkat negeri. Beliau membawa masuk kalangan yang sealiran dengannya memenuhi perjawatan utama peringkat Badan Perhubungan Umno negeri.

Bagaimanapun, kekuatan seseorang pemimpin dalam parti pemerintah tidak cukup sekadar menguasai parti di peringkat negeri. Apatah lagi dalam kes di Terengganu kini, terbukti yang masih kekal berpengaruh, sama ada dalam parti mahupun kerajaan, ialah bekas menteri besar, Dato' Seri Idris Jusoh.

Episod tegang membabitkan ura-ura usul undi tidak percaya terhadap Ahmad di sidang Dun Terengganu minggu lalu dan segala babak hangat susulannya menjelaskan segala-galanya. Meskipun yang kelihatan menjuarai episod ini ialah Adun Ajil, Dato' Rosol Wahid, siapakah yang tergamak menafikan peranan Idris bersamanya?

Lagi pun, masakan kita sudah lupa bagaimana dalam kemelut tahun lalu, yang menjadi jurubicara bagi pihak kem Idris ialah Rosol juga? Peranan itu kelihatannya diulangi Rosol minggu lalu. Dia sekali lagi menjadi jurucakap kepada sekurang-kurangnya 13 Adun BN, termasuk Idris sendiri, yang didakwanya tidak sealiran dengan Ahmad.

Ringkasnya, mereka bukan sahaja masih belum melupakan bagaimana cara Ahmad 'merampas' hak menjadi menteri besar yang sepatutnya diberikan kepada pemimpin pilihan mereka, malah kelihatannya tidak akan sekali-kali melupakan episod itu. Kemuncak kemelut setahun lalu itu bagaikan berulang kembali minggu lalu.

Pergolakan dalaman Umno Terengganu kini mungkin tidak setegang ini jika masing-masing pihak benar-benar menerima hakikat 'kemenangan' dan 'kekalahan' mereka. Bahkan, ia tidak akan berlarutan sebegini panjang sekiranya Ahmad memiliki maruah politik semurni Dato' Shahrir Samad.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu tidak menunggu lama untuk melepaskan jawatan menteri disandangnya semata-mata setelah ditolak ahli partinya dalam pemilihan Umno bulan lalu. Setakat ini tidak nampak tanda-tanda Ahmad berkongsi nilai murni itu.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 20 April 2009 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily.net edisi Rabu, 29 April 2009)

No comments:

Post a Comment