Sunday, December 21, 2008

PPP ibarat melukut di tepi gantang

Giliran ikut jejak Zaid dan SAPP

Oleh: Anuwa Jamalullail

ADA benarnya apa yang sering disebut orang bahawa ramai di kalangan para pemimpin Barisan Nasional (BN) memiliki sifat tidak tahu berterimakasih atau mengenang jasa orang lain. Bahkan layanan pucuk pimpinan parti pemerintah itu terhadap beberapa parti komponennya kadangkala disifatkan ibarat ‘habis manis sepah dibuang’.

Sikap sebegitu makin terserlah apabila satu demi satu episod melanda gabungan itu mutakhir ini yang dikaitkan dengan perasaan tidak puas hati kalangan kerabat BN sendiri terhadap pucuk pimpinan parti itu. Apabila keadaan sudah tidak terkawal, para pemimpin BN tampil senada merelakan pihak yang dianggap bermasalah terhadap gabungan itu meninggalkan BN.

Terbaru ialah kenyataan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang seolah-olah mengalu-alukan ugutan bersyarat Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk keluar dari gabungan itu.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, 9 Disember lalu, Abdullah menegaskan, kerajaannya tidak bercadang meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti disyaratkan PPP untuk ia kekal sebagai parti komponen BN.

Sehubungan itu, Abdullah berkata PPP kini bebas untuk meninggalkan BN jika pemimpinnya mahu berbuat demikian.

“Kalau itu pilhan mereka (untuk keluar BN), apa yang boleh kita buat”, katanya.

Abdullah mengulas kenyataan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas, akhir bulan lalu bahawa partinya akan meninggalkan BN jika kerajaan tidak membuat pindaan bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Dengan kenyataan terbuka itu, Abdullah bagaikan tidak memberikan pilihan kepada Kayveas melainkan mengotakan apa yang telah dikatakannya. Cabaran itu sekaligus menggambarkan seolah-olah kehadiran PPP sudah tidak diperlukan lagi dalam BN.

Parti itu bagaikan melukut di tepi gantang. Adanya tidak menambahkan sukatan, ketiadaannya pula tidak menjejaskan keadaan.

Apatah lagi kenyataan Abdullah itu bukan yang pertama seumpamanya diucapkan para pemimpin BN terhadap parti komponennnya itu. Lebih setahun lalu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah meminta PPP meninggalkan BN semata-mata kerana parti itu menuntut bilangan kerusi lebih banyak untuk pilihan raya lalu.

MIC juga pada November 2007 dilaporkan pernah mencadangkan agar BN mengusir keluar PPP ekoran pertelagahan antara Kayveas dan Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengenai isu kemunduran kaum India negara ini.

Dalam satu kenyataan kerasnya, Samy Vellu dengan tegas menolak kemungkinan partinya akan berdamai dan kembali menjalin hubungan baik dengan PPP. Beliau malah membandingkan parti itu dengan DAP dan PAS.

“Bolehkah DAP berbaik dengan BN? Saya nak tanya, bolehkah Umno berbaik dengan PAS? Ia (PPP) adalah lebih teruk daripada PAS”, kata Samy Vellu.

Turut menyuarakan rasa tidak senang dengan gelagat PPP ialah Gerakan. Presidennya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sering terlibat dalam polemik dengan Kayveas sehingga mengundang hubungan amat keruh antara kedua-dua parti itu. Ekoran krisis berpanjangan antara kedua-dua parti itu, Gerakan juga pernah mengesyorkan agar PPP keluar daripada BN.

Kini, gesaan sama bagaikan diulang kembali Perdana Menteri sendiri. Apa yang kini dialami PPP mengingatkan kita kepada episod hampir sama yang dialami Parti Maju Sabah (SAPP) kira-kira tiga bulan lalu.

Parti itu yang sejak pertengahan tahun ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN, secara rasmi mengisytiharkan keluar daripada BN, 17 September lalu.

Presidennya, Datuk Yong Teck Lee malah menyatakan hasrat partinya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri menerusi dua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat. Meski pun hingga kini hasrat itu belum menjadi kenyataan, SAPP kekal dengan komitmennya menyokong usul tersebut sekiranya ia dibentangkan mana-mana pihak.

Reaksi para pemimpin BN terhadap keputusan SAPP meninggalkan gabungan itu bagaimana pun sudah diduga. Sebagaimana PPP, parti itu juga dianggap rakan-rakan sudah tidak sesuai untuk terus berada dalam BN.

“BN akan terus kukuh dan mantap, biar pun SAPP sudah keluar”, kata Samy Vellu.

Abdullah selaku Pengerusi BN malah mengalu-alukan tindakan SAPP itu.

“Dia (SAPP) merupakan masalah kepada parti (BN). Dia pengacau, biarlah dia pergi, tak apa”, katanya.

Nasib menimpa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim juga tidak kurang pentingnya untuk diperhatikan, terutama jika mahu dinilai cara para pemimpin BN melayan seseorang rakan mereka yang dianggap sudah tidak bermanfaat untuk parti.

Semua telah maklum betapa kehadiran Zaid dalam kabinet lebih banyak diwarnai dengan kontroversi. Percanggahan pendapat dan pendirian beliau dengan anggota kabinet lain sering mencetuskan polemik di kalangan pemimpin BN sendiri.

Setelah gagal mencari titik pertemuan dengan rakan-rakannya, Zaid meletak jawatannya dari kabinet pada 15 September. Tidak mengejutkan apabila tindakannya itu dialu-alukan para pemimpin BN.

“Baguslah dia letak jawatan, kerana sebagai ahli kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri beliau tidak layak untuk mempertikai kerja orang lain”, bidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Ada pula yang menyifatkan Zaid sebagai satu liabiliti kepada kerajaan kerana banyak mencetuskan kontroversi.

“Sekiranya itulah pilihan dia yang tegas hendak letak jawatan, silalah letak jawatan, saya tidak ada komen apa-apa”, kata Abdullah.

Berbekalkan layanan sebegitu, tidak ada lagi apa yang positif dapat diharapkan apabila Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu memutuskan memecat Zaid dari parti tanpa dibenarkan membuat rayuan. Tiada lagi yang baik mengenai beliau. Kesemua komen disiarkan media menyifatkan beliau seumpama ‘duri dalam daging’ atau ‘kudis’ bagi partinya.

Kini, gambaran awal sudah terbayang bahawa layanan buruk BN terhadap Zaid dan SAPP itu bakal berulang terhadap PPP pula.

“Dulu ketika PPP parti yang kuat, kami diminta menyertai BN, tetapi selepas itu apabila lemah sedikit kami ditinggalkan begitu saja. BN perlu beri perhatian, tidak patut lupakan PPP kerana parti ini ada lebih setengah juta ahli yang juga pengundi. BN kena ingat persahabatan itu”, kata Kayveas, pada Oktober 2007.

Keluhan itu diluahkannya tatkala kecaman pelbagai pihak dalam BN terhadap PPP memuncak ekoran tuntutan parti itu agar beberapa kerusi yang pada asalnya miliknya dikembalikan semula.

Dengan perkembangan mutakhir kini, sudak tidak ada apa yang boleh diharapkan PPP daripada BN. Barangkali sudah sampai giliran parti itu pula mengikuti jejak yang telah diambil oleh Zaid dan SAPP untuk benar-benar meninggalkan BN.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 21 Disember 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment