Sunday, December 7, 2008

Pemesongan akidah tidak boleh diukur dengan akal

Yoga diharam untuk kebaikan umat Islam

Oleh: Anuwa Jamalullail

Keputusan pengharaman senaman yoga oleh pihak bertanggungjawab berkaitan hal ehwal agama Islam negara ini baru-baru ini nampaknya mengundang lebih banyak reaksi negatif berbanding positif.

Ada yang meminta Majlis Fatwa Kebangsaan memberi fokus kepada isu lain yang lebih utama dan serius, bukannya mengharamkan yoga yang pada mereka hanya satu jenis senaman.

Ada yang mengemukakan ‘testimoni’ bahawa dirinya tidak merasakan terpesong akidah meski pun telah mengamalkan senaman itu bertahun lamanya. Amalan yoga yang disifatkan mereka sebagai senaman menyihatkan tidak pernah menyebabkan pengamalnya menukar agama daripada Islam kepada Hindu atau mengancam kedudukan Islam.

Bahkan, ada yang berhujah, berbekalkan kesihatan tubuh hasil senaman yoga itulah menyebabkan dia semakin selesa beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah.

Pandangan yang lebih mirip kepada sanggahan itu disiarkan media sebagai reaksi pihak-pihak tersebut terhadap keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga secara sistematik. Pengumuman keputusan tersebut dibuat Pengerusi MPK, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, 22 November lalu.

Menurutnya, amalan senaman yoga secara sistematik membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan adalah bertentangan dengan syariat Islam. Justeru, mengamalkannya dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam.

“Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan, senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak Sebelum Masehi itu yang menggabungkan amalan fizikal, unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah”, kata Abdul Shukor.

Justeru katanya, ahli muzakarah MFK memutuskan apa juga jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sejak 3,300 Sebelum Masehi. Ia dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Amalan senaman harian itu bagaimana pun kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu. Ia termasuk konsentrasi, posisi tubuh dan tangan yang dilakukan sambil membaca mantera.

Sebab itu umat Islam dinasihatkan agar menjauhi amalan yoga meski pun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya tanpa membaca mantera atau pemujaan, kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem senaman tersebut.

“Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini kita menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang pandangan Islam terhadap yoga,” ujar Abdul Shukor lagi.

Amat menyedihkan apabila ada pihak, terutama dari kalangan umat Islam sendiri mempertikaikan fatwa yang diputuskan MFK itu. Adalah wajar diingat bahawa fatwa ini bukan dibuat secara main-main, sembrono atau sewenang-wenang.

Sebagaimana ditegaskan Pengerusi MFK, keputusan itu adalah hasil kajian dan penelitian terhadap segala hujah dan pandangan berkaitan yoga. Ia akhirnya diputuskan demikian semata-mata demi memelihara akidah umat Islam.

Ada pun alasan kesihatan yang dikemukakan beberapa pihak bagi merasionalkan tindakan mereka mengamalkan yoga adalah semata-mata berlandaskan ukuran dan pemikiran akal. Wajar difahami bahawa tidak semua ajaran dan larangan Islam itu boleh dinilai mengikut kefahaman akal. Apatah lagi jika seseorang itu tidak begitu mahir atau mendalam ilmunya berkaitan ajaran Islam.

Itulah masalah utama umat Islam dewasa ini. Mereka cenderung menggunakan pertimbangan akal tanpa pengetahuan jelas mengenai hukum Islam. Kejahilan akhirnya mendorong mereka melakukan perkara-perkara yang terlarang dalam Islam tanpa mereka sedari.

Contoh kes-kes sebegini amat banyak. Masakan anda tidak pernah mendengar cerita pasangan yang dicekup berdua-duaan di tempat sunyi dalam aksi mencurigakan? Antara mereka masih sempat berhujah balas kepada pegawai agama yang menahan mereka, “apasal pula marah kami, kami bukan buat apa-apa pun!”

Ternyata orang itu mengira tidak ada salahnya berpegangan tangan atau berpelukan antara lelaki dan wanita bukan mahram. Barangkali menurut kefahamannya operasi pencegahan maksiat hanya bagi pasangan yang melakukan persetubuhan haram.

Begitu juga hukum meminum arak. Ia adalah haram kerana sifatnya yang memabukkan. Katakanlah ada seorang yang sangat terbiasa meminum arak. Disebabkan terlalu biasa dengan tabiat itu, maka sekadar dua tiga gelas arak sudah tidak memberi apa-apa kesan kepada mentalnya.

Jika logik akal digunakan, maka bolehkah bagi orang seumpama itu mengatakan arak tidak haram baginya kerana ia sudah ‘hilang’ sifat memabukkan itu?

Di sinilah perlunya bagi umat Islam ingat bahawa agama ini bukan tertegak dengan akal atau logik. Banyak hukum dan ketetapan dalam Islam tidak mampu digarap semata-mata dengan akal.

Tindakan terbaik bagi mereka ialah cuba mematuhi dan menghormati keputusan dibuat MFK selaku badan berotoriti dalam hal ehwal Islam. Apatah lagi jika keputusan itu membabitkan amalan yang berkemungkinan memesongkan akidah, sedangkan menurut ukuran akal ia tidak sebegitu.

Kebelakangan ini juga semacam ada kecenderungan di kalangan masyarakat bukan Islam tampil lebih berani mengusik sensitiviti khalayak majoriti negara ini, termasuk mempertikai keputusan MFK. Baru-baru ini ada NGO bukan Islam mengadakan demonstrasi membantah keputusan MFK mengharamkan perlakuan perempuan yang menyerupai lelaki atau ‘pengkid’.

Dalam kes pengharaman yoga ini pula, kedengaran suara ‘sumbang’ dari beberapa pihak bukan Islam, terutama kalangan penganut Hindu. Presiden Persatuan Malaysia Hindu Sangam, Datuk A. Vaithilingam menyifatkan langkah MFK mengharamkan yoga sebagai menghina komuniti Hindu di negara ini.

Nada tidak senang sebegitu turut disuarakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu. Beliau mendakwa fatwa itu telah menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan di kalangan rakyat bukan Islam, terutama penganut Hindu.

Di sinilah perlu difahami bahawa fatwa dikeluarkan itu bukan bertujuan mencerca, memperkecilkan atau menghina agama lain, termasuk Hindu. Sebaliknya ia sebagai panduan agar umat Islam tidak melakukan amalan yang dilarang agama.

“Setiap fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah panduan kepada umat Islam saja. Hukum itu tidak membabitkan penganut agama lain dan semua pusat yoga boleh meneruskan operasi senaman itu untuk penganut bukan Islam,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengulas kebimbangan khalayak bukan Islam mengenai fatwa berkenaan.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 7 Disember 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment