Monday, December 1, 2008

Ma’ahad Tahfiz wal Ta’alim Matlail Badrain

Hidup atas sumbangan ehsan masyarakat

Oleh: Nuwa Aitawa

Berlatarbelakangkan banjaran berkabus sepanjang pagi, perkampungan Ma’ahad Tahfiz wal Ta’alim Matlail Badrain (MTTMB) di kaki bukit bukau sederet dengan Bukit Bintang dan Gunung Tebu di Besut, Terengganu, kelihatan bagaikan sebuah penempatan terasing. Di tengah-tengah antara kebun getah, kelapa sawit dan lereng bukit di Kampung Pasir Tawar, Mukim Jabi itu, berceratuk lebih 100 buah rumah dan pondok. Sebahagiannya tidak berpenghuni dan ada yang masih dalam pembinaan.

Keindahan persekitaran semulajadi yang damai hening itu disyahdukan lagi dengan sebuah masjid tiga tingkat yang tersergam indah di tengah-tengah perkampungan. Menaranya yang memuncak tinggi melepasi pucuk durian dan petai dapat dilihat dari kejauhan.

Pun begitu, kesepian yang menyelubungi perkampungan itu pada sebahagian besar waktu siang dan malamnya bagai menggambarkan kesayuan perasaan lebih 60 penghuninya. Mengenepikan kemewahan hidup, mereka rela ‘terpisah’ dari dunia luar semata-mata bagi mendekatkan diri dengan ilmu-ilmu Islam.

Keazaman itulah yang telah memungkinkan sekumpulan individu merealisasikan hasrat menubuhkan perkampungan Islam di situ. Ma’ahad Matlail Badrain ditubuhkan pada 1987 sebagai sebuah perkampungan pondok. Kumpulan pengasas utamanya diketuai Haji Abdul Latif Mohamad, Haji Zahari Mohamad dan Allahyarham Mir Mohamad Mohd Shah. Terdapat 113 lot perumahan dan kedai di perkampungan itu. Kini hanya 60 lot dihuni.

“Dulu memang ramai (penghuni). Pelajar pondok pun ramai di sini, sekitar 70 ke 80 orang.  Sekarang pondok dah mati. Tapi kuliah agama untuk penduduk masih ada. Kita ambil keputusan alih kepada sekolah tahfiz”, ujar Haji Abdullah Hamzah.

Abdullah, 48, adalah Bendahari MTTMB. Pesara kerajaan itu adalah juga salah seorang pengasas MTTMB dan menetap di perkampungan itu sedari ia dibuka.

Menghurai lanjut mengenai kelas tahfiz dikendalikan pihaknya, Abdullah mengakui halangan utama kepada kemajuan pusat berkenaan ialah kewangan yang sangat kritikal. Menurutnya, MTTMB tidak ada sumber pendapatan tetap yang mencukupi.

“Tapi mahu tidak mahu kita kena belanja sekitar RM4,000 sebulan, untuk pengurusan dan elaun guru-guru. Alhamdulillah, setakat ini masih mampu ditampung. Segalanya dari sumbangan peribadi tertentu dan orang awam”, katanya.

Menurutnya, buat masa ini sudah dua kali pengambilan pelajar untuk kelas tahfiz dibuat. Jumlah pelajar kini 18 orang. Mereka disantuni enam tenaga pengajar yang bukan sahaja berilmu dan berkebolehan, malah terbukti mempunyai kegigihan dan komitmen tinggi dalam menjayakan pengajian tersebut.

Menerangkan lebih lanjut mengenai syarat kemasukan pelajar tahfiz, Abdullah berkata, syarat utama ialah tamat Darjah Enam serta tahu membaca jawi dan al-Quran. Yuran dikenakan hanya RM150 sebulan termasuk penginapan dan makan-minum.

“Kita tak mampu nak bina kelas khusus untuk mereka. Semua kelas hafazan kita buat di masjid.  Alhamdulillah, walau pun dengan serba daif, pelajar kita sangat bersemangat. Bahkan sudah ada yang menghafaz lebih enam juzuk setakat ini”, sambung Abdullah lagi.

Menyentuh mengenai masjid yang sudah hampir 80 peratus siap itu, Abdullah menganggarkan nilaian kos yang telah dibelanjakan melebihi RM1.5 juta. Semua kos itu, katanya, ditampung menerusi sumbangan masyarakat sejak lebih 20 tahun lalu, terutama melalui penganjuran majlis jamuan nasi sambil menderma yang diadakan saban tahun.

“Duit hasil derma jamuan itu kita tak usik. Ia sepenuhnya untuk masjid. Untuk Ma’ahad Tahfiz kita cari sumber lain”, Abdullah menjelaskan.

Amat malang dan tidak adil rasanya, bukan? Tatkala rakan-rakan sebaya mereka di sekolah elit dan premier yang mengejar ilmu keduniaan di luar sana dihujani kemewahan dan pelbagai saraan, para pelajar yang bertungkus lumus menghafaz al-Quran di MTTMB ini dibiarkan dalam serba kedaifan dan kesempitan.

Sebab itu Abdullah merayu sumbangan orang ramai. Beliau meyakinkan, masyarakat tidak perlu bimbang untuk menghulurkan sumbangan kepada MTTMB kerana ia sebuah organisasi yang sah di sisi undang-undang negara.

“Kita adalah pertubuhan sah yang berdaftar dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan) dan diiktiraf sebagai sebuah NGO Islam oleh pelbagai pihak termasuk YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) dan JAKIM ( Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)”, katanya.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkannya terus kepada akaun Ma’ahad Tahfiz wal Ta’alim Matlail Badrain di Bank Islam. Nombor akaunnya 13-035-01-002355-6.  Abdullah pula boleh dihubungi menerusi talian 013-9803517.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa pentadbir MTTMB yang ditemui, Wan Ismail Wan Kadir, turut melahirkan harapan sangat tinggi kepada sokongan masyarakat luar, bukan sahaja dalam bentuk kewangan, bahkan moral. Baginya tidak ada makna masjid yang tersergam itu apabila masyarakat tidak datang memakmurkannya.

“Bagi saya modal adalah satu hal. Apa yang sangat kami harap ialah sokongan moral masyarakat sekeliling. Sekurang-kurangnya marilah mendengar (kuliah). Apatah lagi di sinilah satu-satunya tempat diadakan kuliah Jumaat di sekitar Dun Jabi ini khususnya. Bila ada gotong-royong atau apa-apa aktiviti Matlail Badrain ni, pakat mari tolonglah”, rayu Wan Ismail.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 210, Disember 2008 di ruangan ‘Jambatan Ilmu’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment