Sunday, January 27, 2008

‘Negara Berkebajikan’ bukan omong kosong


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SILAP besar sekiranya ada mana-mana pihak menganggap cita-cita PAS mewujudkan “Negara Berkebajikan” sebagai omong kosong. Malah agak melampau dan pesimis andainya hasrat murni membantu rakyat itu diremehkan sebagai sekadar angan-angan.

Apatah lagi, dalam keupayaan terbatasnya, PAS telah membuktikan kesungguhannya merealisasikan perkara itu secara praktikal menerusi pemerintahannya di Kelantan dan Terengganu.

Sabtu, 19 Januari lalu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan hasrat partinya menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Berkebajikan’ sekiranya rakyat memberi peluang kepada PAS memerintah negara selepas pilihan raya umum nanti.

Dasar utama manifesto partinya itu disebutnya pada Majlis Ceramah Perdana Bersama Presiden PAS dekat Kuantan, Pahang. Antara langkah kebajikan yang dijanjikan PAS ialah menurunkan harga runcit minyak, menawarkan sistem pembelajaran percuma di sekolah rendah dan menengah bagi semua aliran, serta memastikan perkhidmatan kesihatan percuma di hospital dan klinik kerajaan.

Menerusi konsep ‘Negara Berkebajikan’ juga, PAS berjanji akan memansuhkan segala akta dan peraturan yang mengongkong dan menyukarkan kehidupan rakyat, terutama Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sebenarnya apa yang dinyatakan Presiden PAS itu bukan perkara baru. Saya sendiri pernah mendengar kalimah “negara berkebajikan” itu diucap berkali-kali dalam beberapa Ucapan Dasar Presiden PAS, sama ada oleh Almarhum Datuk Fadzil Noor mahu pun Almarhum Pak Yusof Abdullah Rawa.

Kalimah sama turut terkandung dalam ucapan-ucapan penting para pemimpin PAS terdahulu seperti Allahyarham Tan Sri Mohd Asri Muda, Almarhum Prof. Zulkiflee Muhammad dan Almarhum Dr. Burhanuddin Mohd Noor.

Ertinya, konsep itu telah lama diutarakan, bertitik-tolak daripada apa yang disebutkan Tuhan di dalam al-Quran, “Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur”.

Pengumuman Tuan Guru minggu lalu bagaimana pun disambut sinis beberapa pemimpin parti lawannya. Antara yang paling awal memberikan komen ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan rakan sejawatnya di Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris menyifatkan janji PAS mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Berkebajikan’ sebagai karut dan ‘omong kosong’. Beliau mendakwa parti itu telah gagal merealisasikan perkara itu ketika berpeluang memerintah Terengganu sebelum ini. Betulkah begitu?

Annuar pula mencabar PAS agar terlebih dahulu menjadikan Kelantan yang telah diperintahnya sebagai contoh negeri berkebajikan itu sebelum berangan-angan mewujudkan pemerintahan sedemikian di peringkat negara.

Saya kira komen kedua-dua pemimpin Umno itu agak emosional dan tidak realistik. Apatah lagi kedua-dua mereka hidup di tengah-tengah dua negeri yang telah menyaksikan beberapa juzuk daripada konsep itu telah direalisasikan kerajaan PAS.

Sebagai seorang yang mengambilalih teraju pemerintahan daripada PAS, Idris sendiri tidak dapat menafikan bahawa kerajaan pimpinannya telah mengekalkan beberapa pendekatan dan keputusan dibuat kerajaan PAS sebelum ini. Antaranya ialah penghapusan tol di Jambatan Sultan Mahmud, merentangi Sungai Terengganu.

Sepanjang pemerintahan BN dulu, setiap kenderaan empat roda ke atas dikenakan tol sebanyak 50 sen sehala setiap kali melintasinya. PAS berjanji menerusi manifesto pilihan raya 1999 lalu untuk menghapuskan kutipan itu. PAS tidak mengambil masa walau 24 jam untuk menunaikannya sebaik memenangi pilihan raya tersebut.

Mana mungkin Idris tidak tahu perkara itu, sedangkan kerajaannya kini masih meneruskan penghapusan tol itu? Jika dia menganggap janji manifesto PAS itu “karut”, mengapa tidak dikutipnya semula tol itu?

Dalam tempoh pemerintahan hanya empat tahun itu juga, PAS Terengganu telah berjaya melakukan banyak perkara untuk kebajikan rakyat. Antaranya menaikkan elaun imam dan bilal. Bayangkan, selama 38 tahun di bawah BN dengan pendapatan royalti minyak yang banyak, elaun imam hanya RM180 sebulan.

PAS telah menaikkannya kepada RM350 sebulan. Langkah itu memberi ilham kepada lain-lain negeri diperintah BN menawarkan elaun lebih munasabah untuk imam/bilal mereka. Kerajaan Pusat kemudiannya menetapkan elaun bulanan kepada para imam di seluruh negara pada kadar lebih tinggi.

Kerajaan PAS Terengganu juga menubuhkan beberapa dana awam seperti Tabung Darul Iman, Dana Masjid dan Tabung Kebajikan Bukan Islam. Diwujudkan juga pusat perubatan Islam bagi menawarkan perkhidmatan percuma atau dengan caj berpatutan mengikut kemampuan pesakit.

Untuk kakitangan awam, diperkenalkan skim pinjaman tanpa faedah untuk perumahan dan kenderaan. Turut dilaksanakan ialah sistem kerja lima hari seminggu dan kemudahan cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan wanita serta cuti isteri bersalin untuk suami selama tujuh hari.

Sistem kerja mingguan itu turut dilaksanakan di peringkat nasional. Manakala kemudahan cuti bersalin lebih panjang itu dalam pertimbangan kerajaan Pusat untuk turut dilaksanakannya.

Sebahagian langkah itu telah didahului kerajaan PAS Kelantan. Selain sistem kerja lima hari, cuti bersalin 60 hari dan pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan, Kelantan juga mewujudkan Tabung Serambi Mekah, Skim Armalah dan Anak Yatim, Takaful Kifaalah dan banyak lagi. Masakan Annuar tidak tahu perkara itu?

Asas utama “Negara Berkebajikan” ialah mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Ia tidak terbatas kepada aspek ekonomi sahaja. Kekuatan konsep itu akan lebih menyerlah jika dinilai dalam konteks lebih luas, termasuk aspek agama, sosial dan politik.

Sudah tentu apa yang telah dilakukan PAS di Kelantan dan Terengganu bukan segala-galanya yang hendak dicapai menerusi konsep tersebut. Apatah lagi kemampuan sebuah kerajaan negeri amat terbatas, dari sudut kewangan mahu pun undang-undang.

Pun begitu, langkah-langkah yang telah dilaksanakan itu telah membuktikan bahawa janji PAS itu bukan sekadar angan-angan atau omong kosong. Kalau nak tahu keupayaan sebenar PAS merealisasikannya di peringkat negara, berilah peluang kepadanya!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 18-24 Muharram 1429/27 Januari-2 Februari 2008 di kolum ‘PERSPEKTIF’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment