Thursday, June 1, 2006

Shabery jahil baca fakta sosial Terengganu


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

SEJAUH MANA rasionalnya jika ada pihak mendakwa kekurangan aktiviti kebudayaan di kalangan anak muda menjadi penyebab mereka terjebak dengan gejala sosial? Persoalan itulah yang bermain di kotak fikir setiap warga Terengganu yang membaca laporan kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri, Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini.

Akhbar harian 9 Mei lalu melaporkan Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, “kita selalu dengar ada orang kata kebudayaan itu haram dan tak boleh sehingga jiwa anak muda kita kosong dan mendorong mereka terjebak dengan gejala sosial”.

Tanpa sembunyi, Shabery turut menjelaskan pihak yang cuba dipersalahkannya. Laporan itu memetik katanya, “ini dapat dilihat ketika Terengganu ditadbir kerajaan PAS dahulu apabila terdapat banyak kes penagihan dadah dan sosial dilaporkan berlaku”

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Rasau Kertih Lima, Kemaman.

Beberapa persoalan timbul ekoran kenyataannya itu. Apakah beliau bermaksud, di bawah kerajaan BN yang mengagungkan kebudayaan, Terengganu sekarang bebas gejala sosial? Ataukah tahap gejala itu jauh lebih kecil berbanding zaman kerajaan PAS dahulu?

Kata orang, kenyataan orang politik yang dirasuk sentimen kepartian seringkali membelakangkan rasionaliti. Dia terdorong melihat hanya keburukan parti lawan, sehingga sanggup mengemukakan hujah yang kadang-kadang tidak masuk akal dan tidak menepati fakta sebenar. Dalam hal ini, Shabery tidak terkecuali.

Kebetulan atau tidak, persoalan mengenai gejala sosial turut berbangkit semasa persidangan Dun Terengganu pertengahan April lalu. Ahmad Kamal Abdullah (BN-Sura) dalam soalan bertulisnya bertanyakan kerajaan negeri mengenai tahap gejala sosial di negerinya sejak 2004. Beliau juga meminta diberikan peratus penurunan atau peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Dalam jawabannya, kerajaan Terengganu membandingkan kes-kes yang berlaku sepanjang dua tempoh iaitu bagi tahun 2004-2005 dan tahun 2002-2003. Tanpa disedari, perbandingan itu adalah di antara dua tahun pertama pemerintahan BN dengan dua tahun terakhir pemerintahan PAS.

Sebanyak sepuluh jenis kes disebutkan, meliputi kes penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, anak tak sah taraf (luar nikah), disiplin dan salahlaku pelajar, kes juvana bersalah serta lumba haram. Empat lagi kes ialah jenayah umum, dadah dalam pengawasan/pemulihan, jangkitan HIV dan jangkitan AIDS.

Secara jujur kerajaan negeri mengakui enam daripada 10 kes tadi menunjukkan peningkatan ketara. Antaranya, kes anak tak sah taraf meningkat 140 peratus kes atau 36.7 peratus. Bagi 2002-03, sebanyak 381 kes direkodkan, manakala tahun 2004-05 ia naik kepada 521 kes.

Kes jangkitan HIV naik 0.27 peratus dan jangkitan AIDS naik 17.8 peratus. Kes juvana bersalah bertambah sebanyak 333 kes atau 48.7 peratus dalam masa dua tahun pertama pemerintahan BN.

Bagi kes jenayah umum pula, peningkatan sebanyak 20.3 peratus dari 7,697 kes pada 2002-03 kepada 9,258 kes pada 2004-05. Paling ketara kes pembuangan bayi yang meningkat empat kali ganda atau 300 peratus.

Bagi baki empat kes lagi, dua daripadanya tiada rekod lengkap, iaitu lumba haram dan disiplin pelajar. Ertinya hanya dua kes gejala sosial yang menunjukkan penurunan sejak BN memerintah Terengganu, iaitu kes penderaan kanak-kanak dan kes dadah dalam pengawasan dan pemulihan.

Penurunan kes dadah itu dipercayai ekoran langkah BN menutup Kem Seliaan dan Latihan Pemadam Negeri Terengganu (KESIHAT), sebuah pusat rawatan dan pemulihan penagih dadah secara Islam yang dibuka kerajaan PAS di Kem Cadur, Marang.

Dalam perkembangan lain, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Sheikh Harun Ismail turut mendedahkan peningkatan ketara kes-kes perceraian. Menurutnya, kes perceraian pada 2005 ialah sebanyak 1,285, meningkat 143 kes berbanding 1,142 kes pada tahun sebelumnya.

Sebagai perbandingan, dalam satu tempoh di zaman pemerintahan PAS, pihak JHEAT pernah menyelamatkan lebih 50 peratus kes pasangan Islam yang ingin bercerai melalui khidmat kaunseling. Kejayaan itu bagaimana pun tidak dihebohkan media.

Fakta dan angka yang disebutkan itulah yang menyebabkan warga Terengganu tertanya-tanya akan rasionaliti kenyataan setiausaha parlimen tadi. Bagaimana seorang terpelajar dan bekas pensyarah seperti Shabery terlepas pandang fakta-fakta itu?

Lebih menjadi tanda tanya ialah apakah sebenarnya ‘kebudayaan’ yang para pemimpin BN cuba perjuangkan? Ini kerana, sering berlaku mereka hanya berselindung di sebalik kebudayaan, tetapi apa yang cuba dibawa ialah hiburan yang merosakkan.

Lihatlah saja program Pekan Budaya Daerah-daerah yang dijadikan acara tahunan kerajaan Terengganu. Secara jujur, tanyalah berapa peratuskah program selama seminggu itu diisi dengan aktiviti yang benar-benar memartabatkan kebudayaan Melayu?

Kemudian, lihatlah pula ke negeri-negeri lain yang tidak pernah diperintah PAS, di mana tiada sekatan terhadap ‘kebudayaan’ itu. Apakah anak-anak muda di sana tidak terjebak dengan gejala sosial?

Mahu tidak mahu, Shabery perlu akui setakat ini rumusan beliau itu amat meleset berbanding fakta yang ada!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 4-18 Jamadilawal 1427/1-15 Jun 2006 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment