Saturday, July 1, 2006

Kelantan dapat juga universiti walau pun PAS berkuasa


oleh: MAT ZAIN MAT ISA

MODAL paling laris dijaja BN Terengganu dewasa ini ialah pembangunan pendidikan yang didakwa tajaannya. Perancangan mewujudkan Taman Ilmu di Besut sebagaimana diisytiharkan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi didakwa tambah menampakkan kesungguhan BN menjulang Terengganu sebagai pangkalan pendidikan.

Pada 17 Jun lalu Abdullah mengumumkan perancangan kerajaan Pusat membina perbandaran baru di Mukim Tembila, Besut iaitu lokasi yang sebelum ini dikenal pasti sebagai tapak kampus induk Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Taman Ilmu itu dikatakan akan menempatkan institusi pengajian tinggi, kolej serta pusat latihan.

Kawasan 280 hektar itu bakal dilengkapi kemudahan asas seperti perpustakaan, masjid, dewan konvensyen dan kemudahan komersial. Sejumlah RM250 juta diperuntukkan kerajaan Pusat untuk tujuan pembangunan itu.

Pengumuman itu menjadikan pemimpin BN Terengganu tersenyum puas. Mereka merasakan seolah-olah telah berjaya melupakan rakyat betapa mereka sendiri sangat tidak berdaya membangunkan pendidikan. Bahkan, minat serta komitmen BN Terengganu dalam memajukan pendidikan turut dipertikaikan rakyat apabila satu demi satu institusi pendidikan milik kerajaan negeri diserahkan kepada kerajaan Pusat untuk diurustabdir.

Sebelum ini sudah jenuh dibicarakan soal pembubaran Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) bagi memberi laluan penubuhan UDM di kampus sama. BN cuba memaksa rakyat menerima hakikat itu, kononnya ia atas nama menaikkan taraf Kusza, daripada sebuah kolej kepada universiti. Semudah itu BN mahu memperbodohkan rakyat?

Tidak lama selepas itu timbul pula isu penyerahan 14 Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Terengganu untuk diurustadbir Kementerian Pelajaran. Sekali lagi BN berhujah tindakan itu atas premis menaik taraf sekolah-sekolah berkenaan sebagai Sekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan Persekutuan (SABK).

Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein berkata, selepas didaftarkan sebagai SABK, setiap sekolah akan menerima geran perkapita RM100,000-RM150,000 setahun. Segala perbelanjaan pengurusan sekolah dan gaji guru serta kakitangan akan ditanggung kementerian.

Tidak dinafikan soal pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan Pusat. Rakyat juga dapat melihat rasional tindakan “penyerahan” itu demi peningkatan mutu pendidikan. Sama ada isu Kusza atau SMAN, yang dipersoalkan bukannya keperluan menaik taraf mereka. Isu sekarang ialah kedua-dua kes itu membuktikan BN Terengganu tidak mampu dan tidak berminat mentadbir institusi pendidikan agama.

Sebelum itu, beberapa institusi pendidikan yang ditubuhkan di zaman pemerintahan PAS telah diabaikan, bahkan dimansuhkan. Antaranya ialah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) yang kini ibarat “menunggu saat kematian” apabila sudah dua tahun pengambilan pelajar baru tidak dilakukan. Pengurusannya terbiar dan tidak diambil berat kerajaan negeri.

Ada pun Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (KOSTAQ), juga ditubuhkan di zaman PAS, telah dibubarkan.

Satu-satunya institusi pendidikan menengah yang dibela dan ditonjolkan sebagai projek negeri ialah Sekolah Imtiaz. Sekolah yang asalnya milik peribadi Menteri Besar, Idris Jusoh itu kini dimilik-negerikan. Ia tidak hanya wujud di Besut, malah dikembangkan membabitkan penubuhan cawangan di tiga daerah lain.

Nasib malang institusi pendidikan negeri tadi bukan sesuatu yang membanggakan rakyat. Pemimpin BN mungkin menganggap kedukaan rakyat itu terubat dengan kejayaan mereka mendapatkan sebuah universiti. Sebab itu mereka sering mengulang sebut penubuhan UDM adalah impian menjadi realiti.

Bagi mereka, realiti itu wujud hanya kerana rakyat Terengganu memilih BN dalam pilihan raya umum lalu. Dalam ertikata lain, ditakdirkan rakyat Terengganu terus memilih PAS dan menolak BN, impian mendapatkan unversiti itu tidak mungkin direalisasikan.

Malang bagi mereka kerana rakyat Terengganu dapat melihat realiti berbeza berlaku di negeri jiran, Kelantan. Dalam manifesto pilihan raya umum lalu, BN Kelantan turut menjanjikan penubuhan sebuah universiti jika memerintah Kelantan.

Apa yang lebihnya BN Kelantan berbanding rakan mereka di Terengganu, mereka tetap mendapat universiti sekali pun tidak memerintah. Penubuhan Universiti Darul Naim diisytiharkan dalam RMK-9 bersama-sama UDM di Terengganu.

Ertinya, BN Kelantan menang dalam kalah. Walau pun mereka tidak memerintah, tuntutan mewujudkan universiti di negeri itu masih mampu dicapai. Kelantan membuktikan rakyat boleh mendapat universiti walau pun PAS yang memerintah. Asal saja pemimpin BN negeri tidak busuk hati, dengki dan khianat.

Lebih hebat lagi, BN Kelantan tidak perlu mengorbankan mana-mana institusi pendidikan negeri sedia ada untuk “dinaiktarafkan” sebagai universiti, sebagaimana BN Terengganu mengorbankan Kusza. Mengambilkira sifir politik ini, BN Terengganu sebenarnya kalah dalam menang!

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 1-15 Julai 2006 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment