Tuesday, May 16, 2006

Apabila sidang Dewan dikuasai emosi melulu


oleh: ANUWA JAMALULLAIL

DI TENGAH-TENGAH kerancakan kerajaan mencanangkan kempen budi bahasa di kalangan rakyat, negara dikejutkan dengan tahap kesopanan yang memalukan di kalangan Ahli-Ahli Parlimen. Media massa bagaikan tiada pilihan kecuali melaporkan juga insiden tersebut meski pun ia membabitkan anggota parti pemerintah.

Persidangan Parlimen menyaksikan beberapa wakil rakyat BN semakin lantang mengkritik kerajaan. Itu tidak menjadi masalah, kerana Perdana Menteri sendiri telah memberi lampu hijau kepada mereka untuk menegur kerajaan secara terbuka di Parlimen. Tetapi apabila mereka menggunakan bahasa yang tidak sopan, ia bukan lagi sesuatu yang dialu-alukan.

Dalam kes pada 6 April lalu, tokoh yang menjadi cemuhan wakil kerajaan ialah menteri mereka sendiri. Semuanya gara-gara ‘pakaian alternatif’ yang diperagakan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Seri Dr. Rais Yatim. Beberapa Ahli Parlimen BN mempertikaikan apakah pakaian itu telah diluluskan Yang Dipertua Dewan.

Dari situlah pertikaian bermula. Ia melarat sehingga emosi menguasai suasana dan menenggelamkan kesopanan. Beberapa ungkapan yang tidak wajar diucap, lebih-lebih lagi di Dewan, dilaporkan kedengaran. Antaranya, ‘kurang ajar’, ‘halau menteri (sambil menyebut menteri yang dimaksudkan) kelar Dewan’ dan ‘menteri syok sendiri’.

Kebetulan pula, Rais adalah penggerak utama Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni. Beliau malah pernah menyarankan agar semua Ahli Parlimen dan Adun BN menggunakan bahasa sopan ketika berbahas di Dewan. Amat malang bagi beliau, apa yang berlaku di Parlimen pada hari itu bukan sahaja membuktikan saranannya itu tidak diendahkan, malah beliau sendiri menjadi bahan cemuhan.

Gelagat tidak sopan Ahli Parlimen itu mengundang teguran dan kecaman pelbagai lapisan masyarakat, termasuk tokoh budayawan. Mereka antara lain bimbang penggunaan bahasa kasar di kalangan wakil rakyat akan memberi kesan negatif terhadap rakyat, terutama golongan muda.

Belum pun reda rungutan masyarakat mengenai hal itu, insiden serupa dilaporkan berlaku pula di persidangan Dun Pahang. Bezanya, kali ini bukan calang-calang Adun yang mencetuskan kejutan, tapi Menteri Besarnya, Dato’ Seri Adnan Yaakob sendiri.

Pada 24 April Adnan dilaporkan menempelak para wartawan dengan perkataan “go to hell”. Bahasa kesat yang mengejutkan sidang Dewan itu dituturkannya ekoran rasa kurang senang beliau dengan laporan beberapa media berhubung cadangannya agar Kerajaan Pusat memberi geran tahunan sehingga RM200 juta bagi memberhentikan aktiviti pembalakan di negerinya.

Akhbar melaporkan Adnan sebagai berkata: “Sebenarnya surat khabar macam ini, kalau tak keluar (berita) saya pun tak apalah, can go to hell, dengan izin, minta maaflah, maknanya kalau cakap Melayunya ‘pergi jahanamlah!’

Siapa tidak kenal Adnan? Beliau memang dikenali dengan sikap emosionalnya. Ingat lagi peristiwa di hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dun Sanggang, Pahang, 21 Mac 2000 lalu? Di hadapan ribuan hadirin, Adnan yang gagal mengawal perasaannya tergamak menunjukkan isyarat lucah serta menungging punggungnya ke arah penyokong Barisan Alternatif (BA).

Mungkin perlakuan seumpama itu tidak tergamak dilakukan rakan-rakan sejawatnya yang lain. Namun, Adnan tidak keseorangan apabila dikaitkan dengan perangai mudah melenting. Rakannya di Terengganu juga tidak kurang hebat dalam hal itu.

Dalam persidangan Dun Terengganu 17 April lalu, Dato’ Seri Idris Jusoh sekali lagi menunjukkan keperibadian sebenarnya apabila memberikan reaksi spontan terhadap ucapan wakil pembangkang. Idris tidak mampu menahan emosi hanya kerana Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong (PAS-Batu Burok) menyebut beliau telah ‘imitate ulasan selari’ mengenai acara Piala Monsun.

Sebagai MB, Idris ada peluang mengulas apa juga perkara di dalam ucapan penggulungannya. Tapi Idris bagaikan tidak dapat menunggu saat itu. Sebaliknya, terus mencelah dan dengan penuh emosi menyergah Wan Muttalib, antaranya dengan berkata, “ini pelawok (bohong) ni Yang Berhormat. Dah banyak kali dah YB pelawok” dan “20 kali pelawok dah”.

Perilaku Idris yang emosional itu menjadi ikutan beberapa Exconya dan Adun BN lain sepanjang persidangan itu. Antaranya Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Pembangunan Islam Hadhari Terengganu, Datuk Rosol Wahid. Beliau bukan sahaja mengaku memecat beberapa imam dan bilal yang menyokong PAS, malah mengulas, “kalau beri... (dia) kekoh (gigit), beri... kekoh, lama-lama kita enjal (terajang) jugok. Kita pun bengkeng (garang)... bagi saya kalau dak retap (tampar), kita enjal”. Itulah gambaran budi bahasa wakil BN sewaktu bercakap di Dewan.

Sebuah akhbar harian bebahasa Inggeris awal April lalu turut melaporkan suasana ‘panas’ dalam sidang Dun Melaka minggu sebelumnya. Ia antara lain menyebut, tiada yang akan menyangka Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam begitu mudah naik angin meski pun membabitkan isu remeh-temeh, termasuk terhadap dakwaan kenaikan mendadak cukai tanah ke atas seorang peserta Felda di Jasin yang dibangkitkan Betty Chew (DAP-Kota Laksamana).

Baik Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, kedua-duanya merupakan tempat yang mulia. Dari sudut pentadbiran, anggota kedua-dua Dewan terutama wakil parti kerajaan dianggap golongan paling penting dalam mencorakkan hala tuju pemerintahan negara dan negeri.

Insiden yang dipaparkan tadi melibatkan perlakuan tidak sopan dan emosional oleh para pemimpin kerajaan sendiri. Bolehkah diharapkan mereka itu untuk menjayakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni dianjurkan BN?

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, 18 Rabiulakhir-3 Jamadilawal 1427/16-31 Mei 2006 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment