Monday, March 8, 2004

Perihal ‘Umno Bina, Umno Juga Musnah’


Oleh: Mohd Nasir Awang

“Empat kali perkataan “saya tidak bersetuju” dilafazkan oleh Nazri. Tiba-tiba ada lagi manusia bangang yang terus memfitnah dan menyalahkan Kerajaan Negeri di atas penutupan MRSM-YT itu.”

TULISAN saya di ruangan ini bertajuk, “Di mana justifikasi ‘Umno Bina, PAS Musnah’?” pada keluaran 8 Februari lalu mendapat perhatian pelbagai pihak. Barangkali kerana ia merupakan satu reaksi bertulis paling awal terhadap slogan terbaru yang dimainkan parti pembangkang Terengganu kini.

Beberapa pembaca menghubungi saya secara peribadi meminta saya melanjutkan lagi senarai ‘Umno Bina, PAS Musnah’ yang tidak sempat saya muatkan kesemuanya dalam tulisan berkenaan.

Bagaimana pun, senarai berkenaan nampaknya telah dipanjangkan sendiri oleh pelbagai pihak di negeri ini. Beberapa poster, pemidang dan papan tanda telah menyenaraikannya untuk tatapan umum. Alhamdulillah, slogan ‘Umno Bina, PAS Musnah’ itu nyata telah kembali menikam Umno sendiri.

Cuma yang belum diperkatakan orang ialah slogan baru iaitu ‘Umno Bina, Umno Juga Musnah’. Apa dia? Antaranya ialah royalti petroleum yang “dirampas” itu.

Perampasan itu sebenarnya dijemput oleh beberapa pemimpin Umno Terengganu sendiri yang sangat kecewa dengan kekalahan mereka. Perasaan dengki mendorong mereka tidak membiarkan kerajaan PAS mentadbir dengan baik dan berterusan menggunakan wang royalti itu untuk kebaikan rakyat.

Mereka inilah yang mula-mula memberi laluan jahat dengan mengisytiharkan bahawa wang royalti itu hanyalah ehsan kerajaan Pusat. Bahkan, di Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, perwakilan Umno Terengganu dengan lantang mendesak kerajaan Pusat menarik balik pemberian berkenaan daripada Terengganu. Inilah yang dikatakan Umno “membina” hasil royalti, tetapi Umno juga yang ‘memusnahkannya’.

Tragedi yang sama berlaku ke atas Maktab Rendah Sains MARA-Yayasan Terengganu (MRSM-YT). Ia adalah program pendidikan hasil usahasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan YT. Ia mula beroperasi sejak tahun 1995 di Besut dan Dungun.

Alasan utama penutupan kedua-dua maktab berkenaan ialah kononnya kegagalan YT menyediakan prasarana kemudahan asas sehingga membantutkan pembelajaran murid-murid. Bagaimana pun, Menteri Pembangunan Usahawan, Dato’ Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz sewaktu berucap di Parlimen pada 29 Oktober 2002 mendedahkan sikap sebenar beliau tentang MRSM-YT.

Katanya, “sebenarnya saya tidak pernah bersetuju (penubuhan MRSM-YT). Waktu dahulu menteri kementerian ini ialah orang Terengganu. Dan waktu itu saya Pengerusi MARA, saya tidak bersetuju. Tetapi dia menteri pada ketika itu, dia buat keputusan dialah, dia menteri. Sekarang saya menteri, saya buat keputusanlah. Saya tidak bersetuju, waktu perkara ini (penubuhan MRSM-YT) dibangkit, saya Pengerusi MARA, pada ketika itu. Saya tidak bersetuju....”

Empat kali perkataan “saya tidak bersetuju” dilafazkan oleh Nazri. Tiba-tiba ada lagi manusia bangang yang terus memfitnah dan menyalahkan Kerajaan Negeri di atas penutupan MRSM-YT itu.

Maka, bermula sesi 2003, tiada pengambilan pelajar baru dibuat. Manakala baki pelajar lama di kedua-dua maktab berkenaan dipindahkan ke lain-lain MRSM serata negara. Jelaslah, Umno bina MRSM-YT, Umno juga yang “memusnahkannya”.

Zaman kerajaan Umno di Terengganu juga terkenal dengan kewujudan terlalu banyak Syarikat-syarikat Anak milik Kerajaan Negeri. Kerajaan juga banyak memegang saham melalui pelaburan di dalam beberapa syarikat perniagaan.

Malangnya, kebanyakan perniagaan itu menanggung kerugian berjumlah ribuan juta ringgit. Berbagai penyelewengan dan salah pengurusan didapati berlaku. Antara yang parah ialah Perwaja Terengganu, Gunawan Steel, Pelangi Air, A&W, Medi Air, Babena dan lain-lain. Umno yang membina empayar perniagaan itu, Umno juga yang “memusnahkannya” dengan kerugian jutaan ringgit.

Kerajaan pimpinan PAS telah mengambil langkah bijak memperbaiki kemusnahan itu. Ia menyusun semula pengurusan anak-anak syarikat serta mengkaji semula pelaburan di dalam syarikat-syarikat berkenaan. Berbagai langkah diambil, antaranya menutup atau menjual anak syarikat dan saham di dalam syarikat yang tidak berdaya saing, sebaliknya memperbaiki syarikat yang berpotensi untuk maju.

Isu penggunaan balairaya oleh beberapa Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga adalah contoh kes ‘Umno Bina, Umno Juga Musnah’. Pihak kerajaan negeri telah memaklumkan hasratnya menggunakan balairaya tersebut dan meminta Kemas secara bertanggungjawab berpindah dari situ.

Sehingga Disember 2000 (semasa isu ini memuncak), masih terdapat 355 buah Tabika Kemas yang beroperasi tanpa sebarang gangguan di balairaya-balairaya milik kerajaan di seluruh negeri. Kemurahan hati pihak kerajaan negeri itu sepatutnya dihargai.

Sebaliknya, apabila Kemas berpindah keluar, balairaya yang telah digunakan bertahun-tahun itu tidak ditinggalkan dalam keadaan baik. Dalam beberapa kejadian, kipas angin, cermin tingkap, kunci dan lain-lain dicabut. Bahkan, tandas di tepi balairaya turut dirobohkan. Siapakah yang bertanggungjawab memusnahkan harta awam itu?

Umno juga pernah membina keyakinan rakyat terhadap kemampuannya memerintah negeri ini. Rakyat menaruh harapan kepadanya selama 38 tahun. Tetapi, Umno juga yang melakukan kemungkaran politik dan kedurjanaan sosio-ekonomi, menyebabkan kepercayaan rakyat terhadapnya musnah pada tahun 1999 lalu. Itulah ringkasnya perihal ‘Umno Bina, Umno Juga Musnah’.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 8 Mac 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment