Sunday, February 22, 2004

Memikul tanggungjawab, amanah bersama


Oleh: Mohd Nasir Awang

“Sememangnya para pemimpin politik perlu ‘mencampuri’ urusan pentadbiran untuk memastikan apa yang berlaku atau dilaksanakan sesuai dengan kehendak dan dasar parti pemerintah yang mereka wakili. Mereka bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka.”

DI ANTARA langkah pembaharuan yang dibuat kerajaan pimpinan ulama seawal memerintah Terengganu ialah memperkenalkan konsep pemerintahan secara syura. Para pegawai dan kakitangan selaku jentera kerajaan serta rakyat awam sebagai pendokong dilibatkan sedapat mungkin di dalam membuat sesuatu keputusan dasar. Apabila keputusan diambil secara bersama, maka sudah tentu ia akan melahirkan tanggungjawab dan amanah bersama pula.

Bagi membuktikan ketelusan dan keadilan, kerajaan negeri melalui program Bulan Penerangan baru-baru ini sekali lagi mengadakan siri-siri dialog secara terbuka di setiap daerah. Ia bertujuan memberi peluang kepada pegawai kerajaan dan rakyat awam untuk mengkritik, mengkoreksi, memberi pandangan serta maklumbalas kepada Kerajaan negeri.

Hasil beberapa siri dialog yang telah diadakan, antara isu utama yang diperkatakan ialah soal kepatuhan pegawai dan kakitangan terhadap government of the day (kerajaan yang memerintah). Di pihak pegawai, terdapat seorang-berdua yang menyuarakan pandangan seolah-olah menampakkan perasaan kurang senang mereka di atas apa yang didakwa ‘campurtangan pemimpin politik’ di dalam urusan pemerintahan.

Perkara sebaliknya pula disuarakan oleh rakyat. Rata-rata mereka mendesak agar dipantau dan diambil tindakan terhadap pegawai dan kakitangan kerajaan yang gagal mematuhi dasar dan mendokong aspirasi kerajaan yang memerintah.

Pertembungan pandangan antara pegawai kerajaan dengan rakyat awam ini meletakkan para pemimpin politik sebagai ‘orang tengah’. Mereka perlu bijaksana dalam meraikan pandangan kedua-dua pihak, sekaligus menyelesaikan percanggahan itu sebaik mungkin.

Sememangnya para pemimpin politik perlu ‘mencampuri’ urusan pentadbiran untuk memastikan apa yang berlaku atau dilaksanakan sesuai dengan kehendak dan dasar parti pemerintah yang mereka wakili. Tanyalah mana-mana negeri atau negara-negara di dunia sekali pun, itulah hukum politik yang diterima pakai.

Ini tidak sahaja kerana tanggungjawab pemimpin politik sebagai orang yang ikut serta menentukan polisi pemerintahan, tetapi juga sebagai pemimpin mereka bertanggungjawab kepada pengundi dan rakyat yang telah sepakat memilih mereka.

Tentu sekali rakyat dan pengundi itu mahu melihat para pemimpin mereka mengotakan janji-janji lewat manifesto pilihan raya parti mereka. Dalam kes di negeri kita, janji utama parti yang memerintah ialah ‘mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah’.

Di samping pemimpin politik, pegawai kerajaan adalah kumpulan manusia yang dipilih, dilatih, diberikan tanggungjawab, dibayar gaji dan diberikan pelbagai macam kemudahan untuk memberikan pelbagai macam perkhidmatan. Peranan perkhidmatan awam untuk memajukan negeri tidak dapat dipertikaikan. Pengkhidmat awam negeri adalah pelaksana dasar-dasar kerajaan. Pegawai-pegawai tinggi, selain ikut merancang, juga adalah menjadi jentera pelaksana bersama ribuan kakitangan kerajaan yang lain.

Bersesuaian dengan konsep ‘syura rakyat’ yang diperkenalkan, para pegawai juga adalah pemikir dan pemimpin, bukan sekadar pekerja dan pelaksana. Justeru, bersama pemimpin politik, merekalah yang akan menentukan apakah masa depan rakyat dan negeri ini bakal menuju matlamat yang dicanangkan atau tidak.

Sebab itu, soal loyalty (ketaatsetiaan) dan kebersamaan para pegawai dan kakitangan kerajaan dengan pemimpin politik yang menerajui kerajaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Tidak sepatutnya berlaku pemimpin politik menuju ke kanan, jentera kerajaannya memusing ke kiri. Atau, pemimpin politik mengajak berlari-lari anak, tetapi jentera kerajaannya hanya berjalan melenggang atau memecut laju ke hadapan. Mereka mesti bergerak beriringan.

Seseorang pegawai kerajaan itu bebas berfikir dan menganut apa jua fahaman politik. Tetapi, dalam perkhidmatannya dia tidak boleh berkelakuan sebebas itu. Dia mesti mematuhi dasar kerajaan yang berkuasa, secara suka atau ‘terpaksa’. Bukankah hal itu terkandung dalam kod etika perkhidmatan awam?

Perdana Menteri yang baru beberapa bulan lalu mengambil alih pemerintahan negara telah memasyhurkan slogan baru kepada penjawat awam. Beliau menyeru mereka agar “jangan bekerja untuk saya, tetapi bekerjalah bersama saya”. Konsep “bekerja bersama” itulah sebenarnya intipati pemerintahan secara syura yang telah kita perkenal dan laksanakan sejak lebih empat tahun lalu.

Lebih-lebih lagi jika diambilkira hasrat kerajaan pimpinan ulama mengajak para pegawai, kakitangan dan rakyat untuk bersama-sama melaksanakan ubudiyah kepada Allah melalui pelaksanaan hukum Islam. Apakah wajar bagi jentera kerajaan masih sanggup meletakkan kepentingan diri sendiri mengatasi kepentingan mendaulatkan agama?

Tidaklah menjadi hasrat tulisan ini untuk memperkecilkan pengorbanan dan komitmen para pegawai dan kakitangan kerajaan dalam membangunkan negeri ini. Jauh sekali untuk mempersoalkan loyalty mereka terhadap kerajaan yang ada.

Cuma sebagai ingatan bersama agar jangan nanti mereka dilihat dan dinilai orang seolah-olah tidak mahu syariah Islam ditegakkan di Terengganu. Kerana, jika benar nilaian itu, tanpa disedari, mereka sebenarnya bukan mencabar manusia tetapi mencabar Allah Subhanahu wa Ta’ala.

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Februari 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment