Monday, March 22, 2004

Manifesto: BN cedok idea PAS?


Oleh: Mohd Nasir Awang

APABILA Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberitahu hasratnya untuk mengemukakan versi manifesto berbeza bagi negeri-negeri dominan Melayu dan negeri-negeri yang komposisi penduduk bukan Islamnya agak tinggi, parti itu dituduh cuba mengkucar-kacirkan pentadbiran negara.

PAS didakwa cuba mewujudkan dua sistem pentadbiran sekiranya diberi peluang, iaitu sistem pemerintahan Islam dan sistem bukan Islam. Langkah itu dikatakan pula bakal menyebabkan kecelaruan terhadap sistem pemerintahan sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri turut mengulas isu berkenaan. Beliau antara lain dilaporkan berkata bahawa Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan tetap dengan satu sistem pemerintahan yang sesuai untuk semua bangsa, kaum dan agama.

Sebagai reaksi spontan terhadap salah faham tersebut, PAS secara jelas menegaskan bahawa kewujudan manifesto berbeza untuk negeri-negeri yang berbeza adalah suatu tindakan yang realistik. Parti itu mengambil kira realiti setiap negeri, termasuk dari segi komposisi kaum, agama dan sosioekonomi penduduk. Sudah tentu bagi latar belakang penduduk yang berbeza mustahak kepada perancangan masa depan yang berbeza.

Walau pun para pemimpin BN cuba menafikan tindakan realistik PAS itu melalui kenyataan mereka, tindakan yang mereka ambil kini jelas menepati apa yang PAS lakukan. Tengok sahaja betapa BN negeri-negeri telah mengemukakan versi manifesto yang berbeza.

Sebagai contoh, mereka mengemukakan tema ‘Membina Kelantan Terbilang’ dan ‘Islam Hadhari, Terengganu Bestari’ di dua negeri Pantai Timur itu. Sedangkan di peringkat nasional, manifesto BN bertajuk ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’.

Perincian intipati manifesto BN setiap negeri juga jelas menampakkan perbezaan yang agak jauh antara mereka, sama ada dari segi perancangan, penekanan dan halatuju pemerintahan. Bukankah hakikat itu sendiri telah menjawab fitnah BN terhadap PAS sebelum ini?

Manifesto pilihan raya sememangnya menjadi antara bahan penilaian rakyat terhadap kewibawaan dan halatuju sesebuah parti. Meneliti intipati ‘Islam Hadhari, Terengganu Bestari’ sebagaimana didedahkan kepada umum kini, jelas menampakkan bahawa BN Terengganu semacam ketandusan idea. Tidak ada perkara baru yang cuba dikemukakan yang sekira-kira mampu dianggap sebagai alternatif terhadap apa yang telah dilaksanakan sepanjang pemerintahan PAS sepenggal yang lalu.

Antara yang acap dihighlight daripada manifesto berkenaan ialah soal menaik taraf Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dan Institut Teknikal Lanjutan Terengganu (TATI), dua institusi pendidikan berprestij di bawah kerajaan negeri. Soalnya, mengapa BN Terengganu tidak menggunakan peluang pemerintahannya selama 38 tahun dahulu untuk tujuan itu? Mengapa tunggu kalah dahulu baru mahu berjanji itu dan ini?

Setahu kita, KUSZA dan TATI kini jauh lebih baik tarafnya berbanding di zaman BN dahulu. Hanya kursus yang dilulus dan diakreditasi oleh pihak bertanggungjawab sahaja yang ditawarkan kini. Manakala jumlah program kembar dengan institusi pendidikan lain juga semakin dimantapkan di kedua-dua institusi tersebut.

BN Terengganu lewat manifestonya juga menjanjikan tidak akan mengenakan tol di Jambatan Sultan Mahmud. Ia juga berjanji mempertingkatkan pembinaan Perumahan Rakyat Miskin. Di manakah bezanya dengan apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan PAS?

Bahkan, dalam isu tol itu, BN Terengganu jelas terpukul kerana ia termasuk di dalam salah satu senarai ‘Umno Bina, PAS Musnah’. Jika Umno (BN Terengganu) bermaruah, tentu ia kena bina kembali tol yang telah dimusnahkan oleh PAS itu! Kalau tidak, rakyat akan kata bahawa Umno telah mengiyakan tindakan kerajaan PAS menutupnya.

Mereka juga menyuarakan hasrat mewujudkan muassasah gadaian Islam di setiap daerah, sesuatu yang telah diusahakan oleh kerajaan PAS, tetapi menghadapi sedikit masalah dengan kementerian yang bertanggungjawab terhadap lesen berkenaan.

BN turut berjanji memperluaskan pinjaman kenderaan secara Islam dan memperkenalkan pinjaman perumahan secara Islam. Bunyinya tidak jauh berbeza dengan isi manifesto pilihan raya PAS Terengganu bagi Pilihan Raya Umum 1999 lalu. Jangan-jangan pemimpin Umno Terengganu cedok dari situ tak?

Dalam manifesto lalu, PAS secara jelas menjanjikan dalam butiran 5.8. Mengadakan skim pinjaman al-Qardhul Hasan untuk kakitangan kerajaan. Begitu juga dalam hal perumahan, disebutkan dengan jelas dalam butiran 15.4. Menubuhkan ‘Dana Pinjaman Perumahan Rakyat’ secara Islam. Janji itu alhamdulillah telah diambil perjalanan oleh kerajaan PAS. Ertinya, janji BN itu bukanlah suatu yang baru.

Soal mengembalikan elaun guru al-Quran serta Fardhu Ain turut dimuatkan dalam manifesto BN Terengganu. Sedangkan istilah ‘mengembalikan’ itu sepatutnya digunakan kepada sesuatu yang asalnya ada tetapi kini ditiadakan. Apakah kerajaan PAS tidak membayar elaun-elaun yang dimaksudkan itu? Ataukah BN Terengganu yang ‘tidak khabar’ dan ‘bermimpi di siang hari’?

Di peringkat nasional pula, BN mengemukakan tema manifesto ‘Cemerlang, Gemilang, Terbilang’. Sekali imbas, tema itu mengingatkan kita kepada slogan yang sering diutarakan oleh para pendidik negara. Slogan yang sama pernah dan selalu digunakan untuk program motivasi kanak-kanak sekolah bagi menghadapi peperiksaan, sama ada UPSR, PMR, SPM atau pun STPM. Apakah BN mahu meletakkan rakyat sama taraf dengan kanak-kanak sekolah?

Seorang rakan sekelas di sekolah menengah dahulu yang kini memiliki syarikat perniagaan sendiri di Lembah Klang mengulas manifesto BN itu. Tulis beliau melalui sms: “CEMERLANG. Banyak graduates tapi X ada kerja. GEMILANG. Banyak gadis Melayu Islam bertudung tapi kerja GRO. TERBILANG. Banyak kes rasuah tapi yang ditangkap 2je”.

Barangkali ada benarnya kata-kata beliau itu!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Mac 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk "Manifesto: BN ketandusan idea")

No comments:

Post a Comment