Sunday, February 8, 2004

Di mana justifikasi ‘Umno Bina, PAS Musnah’?


Oleh: Mohd Nasir Awang

“Contohnya, Umno telah membina pondok tol di Jambatan Sultan Mahmud bagi mempamerkan sifat bangsatnya, yang walau pun kaya dengan royalti minyak, tetapi masih rakus memaksa rakyat membayar 50 sen sehala. Ya, memang PAS bertanggungjawab memusnahkan tol itu!”

MENJADI satu trend bagi Umno Terengganu sejak bergelar pembangkang untuk mencipta slogan demi slogan bagi meneruskan saki-baki perjuangannya di negeri ini. Di samping memaut para petugasnya untuk terus bekerja, slogan itu juga bertujuan melontarkan mesej tertentu kepada masyarakat.

Malangnya, setiap slogan yang diutarakan setakat ini dilihat kembali menikam Umno sendiri. Mula-mula ada slogan ‘Serik Doh Weh!’. Para pemimpin pembangkang menjelajah ke serata negeri menempikkan slogan berkenaan. Mereka tidak sedar bahawa perkataan ‘serik’ itu membawa imej negatif dan destruktif terhadap pengucapnya.

Kamus Dewan mentakrifkan perkataan ‘serik’ sebagai ‘tidak mahu melakukan lagi, jera, takut’. Ertinya, orang yang mengaku sudah serik bermakna dia mengaku kalah, tidak mahu bertanding lagi dan menyerah dalam ketakutan. Itukah rupa sebenar Umno Terengganu?

Menyedari hakikat itu barangkali laungan ‘Serik Doh Weh!’ kini amat jarang kedengaran. Seorang ‘Datuk’ yang mencipta slogan itu pun sudah malukan diri sendiri untuk melaungkannya.

Maka dicipta pula ungkapan ‘Gelombang Biru’. Sedangan perkataan ‘gelombang’ itu membawa konotasi yang sangat negatif kepada sebahagian rakyat Terengganu, khususnya kaum nelayan.

Gelombang adalah lambang kesengsaraan nelayan. Ia sinonim dengan musim tengkujuh, bilamana tersekatnya rezeki para nelayan. Slogan ‘Gelombang Biru’ akhirnya tidak popular juga.

Tiba-tiba, sebuah akhbar harian pada 24 Januari lalu memetik kenyataan seorang pemimpin utama Umno Terengganu yang mendakwa rakyat negeri ini yang kecewa dengan pemerintahan PAS telah membantu Umno mencipta slogan baru – ‘Umno Bina, PAS Pemusnah’.

Slogan itu, dakwa pemimpin berkenaan, kini nampaknya semakin sebati dengan rakyat negeri ini apabila mereka dikatakan melaungkannya pada setiap program yang diadakan.

Maka diberikanlah beberapa contoh yang dirasakannya menepati slogan ‘Umno Bina, PAS Pemusnah’ itu. Antaranya dikatakanlah Umno yang membina tadika, tetapi PAS menutupnya. Sedangkan apa yang berlaku, operasi tadika itu sahaja yang diarah berpindah tempat. Tadika adalah milik Kemas. Masakan kerajaan negeri ada kuasa untuk menutupnya?

Dikatakan juga kononnya kerajaan BN dahulu “menjaga kawasan hutan simpan”, tetapi kerajaan sekarang “begitu rakus menebang balak untuk kepentingan kroni”. Barangkali penjagaan yang beliau maksudkan ialah seperti kes projek Taman Safari di Hulu Dungun itu?

Kerajaan BN meluluskan tanah seluas 869.9 hektar untuk diusahakan oleh Syarikat Terangvest. Di situ kononnya akan dibangunkan kemudahan hotel 360 bilik, restoran, rumah kelab golf beserta padang golf 18 lubang, sebuah Theme Village, taman burung dan lain-lain.

Maka pihak kerajaan negeri telah meluluskan tempoh pajakan selama 60 tahun kepada Terangvest dengan penetapan premium hanya antara RM60 dan RM300 sehektar bagi kawasan yang pada asalnya ditetapkan kadar premiumnya RM500 sehektar. Apakah itu tidak termasuk dalam kategori “untuk kepentingan kroni”?

Projek itu telah diluluskan pada Ogos 1988. Bagaimana pun sehingga Disember 2000, hanya 30% daripada projek berkenaan disiapkan dan kerja-kerja pembinaannya telah tidak diteruskan.

Malangnya, kawasan hutan itu sudah terang randang  “dimajukan” oleh Terangvest. Tempoh lebih sepuluh tahun itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memunggah segala hasil balak di situ. Hotel impian hanya tinggal kerangka yang tidak sampai separuh siap. Padang golf entah ke mana dan taman burung tidak nampak bayangan. Gamaknya itulah cara pemimpin Umno “menjaga kawasan hutan”?

Tidak ada contoh lain yang relevan diberikan bagi menjustifikasi slogan ‘Umno Bina, PAS Pemusnah’ itu. Sepatutnya ditambah beberapa lagi tindakan kerajaan sekarang yang secara terang-terang memusnahkan apa yang telah dibina oleh kerajaan Umno dahulu.

Contohnya, Umno telah membina pondok tol di Jambatan Sultan Mahmud bagi mempamerkan sifat bangsatnya, yang walau pun kaya dengan royalti minyak, tetapi masih rakus memaksa rakyat membayar 50 sen sehala. Ya, memang PAS bertanggungjawab memusnahkan tol itu!

Umno juga ‘membina’, dalam ertikata bertanggungjawab memberikan lesen kepada premis-premis judi dan arak di negeri ini. PAS pula ‘memusnahkan’ semua lesen premis judi dan sebahagian besar lesen premis arak itu (meninggalkan sekadar cukup untuk orang bukan Islam sahaja).

Dengan pendapatan royalti minyak yang hampir mencecah RM7 ribu juta, kerajaan Umno masih meninggalkan hutang berjumlah lebih RM730 juta. Itulah antara budaya yang dibina Umno. PAS pula memusnahkan ‘budaya suka berhutang’ itu dengan berdikari dan mencari sumber pendapatan lain.

Umno juga membina tradisi membebankan rakyat dengan berbagai cukai, tradisi mengadakan projek mewah, mewujudkan seberapa banyak anak syarikat untuk kepentingan kroni dan peribadi serta tradisi berjanji bohong pada setiap kali pilihan raya. Kesemua tradisi itu turut dimusnahkan satu-persatu oleh kerajaan pimpinan PAS kini.

Terlalu banyak kes ‘Umno Bina, PAS Pemusnah’ ini jika hendak disenaraikan. Apa yang jelas, slogan itu telah membantu memudahkan rakyat mengingati kembali keburukan dan bebanan yang dibina kerajaan Umno dahulu yang kini terpaksa dimusnahkan oleh kerajaan pimpinan PAS. Jolor weh! Jolor!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan, Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 08 Februari 2004 di kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment