Oleh: Mohd Nasir Awang
MENURUT ajaran Islam setiap insan itu, wa imma dewasanya sebagai seorang Islam
atau bukan Islam, dilahirkan dalam keadaan mentauhidkan Allah Ta’ala. Hakikat
ini didasarkan kepada firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 172 (bermaksud): Ingatlah (wahai Muhammad) ketika Tuhanmu
mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka
dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil Ia bertanya
dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah
Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada
Hari Qiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan)
tentang (hakikat tauhid) ini”.
Ertinya, semua manusia semasa kelahirannya telah
dibekalkan dengan roh mentauhidkan Allah (Islam). Hakikat ini dijelaskan lagi
oleh Rasulullah s.a.w.: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka
ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.
Seseorang anak itu kekal sebagai ahlul-fitrah dan tidak dipertanggungjawabkan di atas apa jua amalan
atau fahaman hidupnya sehinggalah ia mencapai umur aqil-baligh. Maka seorang anak bukan Islam yang mati sebelum aqil-balighnya dianggap masih
bersih-suci pada aqidahnya. Islam mengharuskan baginya dikuburkan bersama-sama
orang Islam, dan di akhirat kelak dia bakal dimasukkan ke syurga di atas tiket ahlul-fitrah.
Nah! Lihatlah betapa dekatnya roh Islam itu dengan setiap
manusia di dunia ini. Asas tauhid itu sebenarnya sudah ada pada setiap mereka
sejak dilahirkan. Yang tinggal hanyalah untuk regenerate (membangkitkan semula) kefahaman tersebut dalam diri
mereka.
Dalam suasana umat Islam menguasai pemerintahan, hak dan
keadilan yang saksama terhadap bukan Islam mestilah dijamin. Nabi Muhammad
s.a.w. telah berpesan kepada kita agar tidak melayan sewenang-wenang golongan ahluz-zimmah (bukan Islam yang sedia bernaung
di bawah pemerintahan Islam). Sabda Baginda: “Barangsiapa yang menyakiti ahluz-zimmah seolah-olah dia menyakiti
aku”.
Kerajaan Terengganu yang tegak pada hari ini adalah hasil
daripada sokongan rakyat yang percaya kepada janji-janji kebaikan melalui
manifesto parti pemerintahnya. Ia telah berjanji untuk mendaulatkan sebuah
pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah.
Ia juga telah menggariskan tiga program utama untuk
masyarakat bukan Islam, iaitu menjamin kebebasan mereka mengamalkan agama dan
budaya; menggalakkan interaksi, persefahaman dan perpaduan antara kaum; dan,
menjamin orang bukan Islam menikmati hak dan keadilan yang saksama.
Kini, meski pun baru empat tahun berpeluang memerintah,
PAS mampu berbangga kerana segala jani itu tidak dibiarkan tinggal sekadar
janji. Meski pun kemampuan kewangan agak terbatas, kebajikan rakyat bukan Islam
tetap tidak diabaikan.
Bahkan, beberapa permasalahan yang gagal diselesaikan
oleh Umno/BN selama 38 tahun memerintah Terengganu sebelum ini telah berjaya diselesaikan
oleh kerajaan kini dalam masa sesingkat ini. Antaranya ialah masalah tanah
perkuburan Cina di sekitar daerah Kuala Terengganu, masalah tanah tapak rumah
mayat dan juga tapak kelas Tadika di Dungun.
Melihatkan interaksi, persefahaman dan perpaduan yang
semakin terjalin antara masyarakat berbilang kaum inilah, beberapa pihak dengan
kepentingan politik masing-masing mula merasa tergugat.
Sebuah parti yang pernah bersama PAS dan Pakatan Pembangkang
sebelum ini mengarahkan belasan ahlinya yang menganggotai jentera Kerajaan
Terengganu secara lantikan politik agar meletakkan jawatan masing-masing. Jika
gagal berbuat demikian, mereka itu diberi amaran akan dipecat daripada parti.
Agak mengejutkan kita, belasan ahli pari itu, kecuali
hanya seorang, memilih untuk kekal berkhidmat dengan Kerajaan Negeri meskipun
menghadapi risiko dipecat. Akhirnya, parti itu akur dengan pendirian
ahli-ahlinya itu.
Parti-parti kerabat BN pula sememangnya sentiasa
memandang serong setiap langkah yang diambil Kerajaan Negeri. Sebab itu setiap
kali hendak diadakan majlis melibatkan masyarakat Cina, akan ada orang yang
menghasut mereka agar tidak hadir dan tidak menjayakan apa jua program yang
dianjurkan.
Lebih malang lagi, apabila Kerajaan Negeri
mengisytiharkan penubuhan tabung khas bagi membantu masyarakat bukan Islam, ada
pula seorang timbalan menteri berbangsa Melayu yang cuba menjadi “jurucakap”
masyarakat Cina Terengganu. Dia bukan orang Cina dan bukan juga orang
Terengganu. Tetapi cuba menjadi lebih Cina dan lebih Terengganu daripada orang
Cina Terengganu.
Beliau mendakwa bantuan itu “menghina” orang Cina,
semata-mata kerana istilah ‘wang hasil sumber haram’ yang beliau sendiri
putar-belitkan maksudnya itu. Sedangkan setahu kita tidak ada seorang pun orang
Cina Terengganu yang menolak bantuan itu. Sebaliknya, setiap majlis perjumpaan
melibatkan masyarakat bukan Islam mutakhir ini mendapat sambutan yang makin
membanggakan.
Ternyata interaksi dan persefahaman yang dipupuk di
kalangan berbagai kaum di negeri ini telah membuahkan suasana harmoni dan muhibbah.
Ia sekaligus memecahkan tembok yang selama ini menghalang bukan Islam dari
mendekati kembali fitrah asal kejadian mereka.
Kepada masyarakat Cina, kita ucapkan Gong Xi Fa Cai!
(Artikel
ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, edisi 22 Januari 2004, di
kolum tetap ‘Bicara Isu’ dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment