Saturday, November 8, 2003

‘Membela Rakyat’ cara Umno


Oleh: Mohd Nasir Awang

MAJLIS Penyerahan Keterangan Hakmilik Tanah bagi DUN Hulu Besut pada 19 Oktober lalu berjalan dengan penuh kemeriahan. Meski pun ‘Majlis Bahagi Geran’ itu terpaksa dipindahkan daripada venue asal di Padang Awam Felda Tenang, Besut, ke pekarangan masjid berdekatan, kerja-kerja persiapan telah disempurnakan sebaiknya.

Keharusan menggunapakai padang awam tersebut ditarik balik di saat-saat akhir bagi memberi laluan kepada program sukan rakyat yang, menurut para penduduk perkampungan tersebut, “dirancang serta-merta oleh Puak-puak Biru”.

Seperti yang dirancangkan, Menteri Besar, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah turun sendiri menyempurnakan majlis penyerahan tersebut. Meski pun telah berlaku beberapa usaha sabotaj sebelumnya, kehadiran pada pagi itu jauh mengatasi jangkaan. Ramai antara hadirin terpaksa berceratuk di bawah pokok dan tidak kurang juga yang bertenggek di masjid apabila tempat duduk yang disediakan sudah dipenuhi sedari awal majlis.

Semacam menjadi satu trend pula sejak tahun 1999 lalu, asal ada sahaja majlis anjuran pihak Kerajaan Negeri, maka akan sentiasa ada kerja-kerja kacau-ganggu dari pihak-pihak tertentu. Penglibatan pihak pembangkang (Umno) sudah tentu tidak dapat dinafikan. Track record Umno sangat cemerlang di dalam kerja-kerja sebegitu.

Ingat tak dulu, apabila seluruh rakyat Terengganu berhimpun di stadium di Kuala Terengganu untuk majlis Di Ambang Merdeka, Umno Terengganu ajak orang-orangnya berhimpun di MRSM Batu Rakit?

Di saat rakyat Terengganu mula mengecapi pembelaan hidup oleh kerajaan baru mereka, Umno Terengganu pula menghasut Kerajaan Pusat menarik balik pembayaran royalti petroleum.

Setiap kali ‘Majlis Bahagi Geran’ bakal diadakan, akan ada pihak menghasut rakyat agar tidak keluar menerima hak mereka. Berbagai cara digunakan. Antaranya dengan mendakwa geran yang hendak diberikan adalah geran palsu. Tidak kurang juga yang diugut tidak akan diteruskan bantuan ‘ehsan’ sekiranya hadir ke majlis itu.

Di dalam kes di Felda Tenang tempohari, beberapa pemerhatian di bawah mungkin mampu menjawab persoalan adakah Umno terlibat atau tidak di dalam mensabotaj majlis berkenaan.

Pertama: Pihak pengurusan Felda Tenang secara terbuka menyatakan ketidak-sediaan memberikan sebarang kerjasama mahu pun kebenaran mengadakan majlis berkenaan di mana-mana bahagian dalam perkampungan Felda tersebut.

“Saya bekerja dengan Kerajaan Pusat. Nak minta kerjasama saya, kena minta dengan Kuala Lumpur”, itulah kalimah yang dikatakan diucapkan oleh pihak pengurusan Felda Tenang tatkala pihak Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) setempat meminta kebenarannya mengadakan majlis tersebut.

Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar di dalam majlis tersebut mengulas agak panjang tentang kerjasama yang sebenarnya memang wujud antara Pejabat PTG Negeri dengan Felda Pusat.

“PTG Terengganu mempunyai hubungan yang baik dengan Felda (Pusat), berbincang hampir setiap bulan. Dua minggu lepas pun saya baru balik daripada (Ibupejabat) Felda dan Felda minta tolong selesai lah hak milik tanah di Felda ini”, katanya.

Ertinya, soal kebenaran daripada Kuala Lumpur (Ibupejabat Felda) sebenarnya sudah tidak berbangkit. Tapi mengapa pihak pengurusan Felda Tenang tetap berdegil tidak mahu bekerjasama?

Kalaulah beliau tidak tahu tentang hubungan baik PTG Terengganu-Felda itu, mengapa beliau tidak menuntut faham daripada Kuala Lumpur? Dia boleh menulis surat secara pentadbiran. Atau, kalau mahu sungguh, boleh hanya dengan membuat panggilan telefon bertanya bosnya di Kuala Lumpur.

Kalau nak mudah, memang ada cara mudah! Tetapi mengapa dia menjadi ‘payah berkira begitu lalu’? Barangkali ada pihak yang menekannya?

Kedua: “Puak-puak Biru” (istilah kampung merujuk kepada Umno) secara spontan turut menganjurkan program alternatif, pada hari dan masa yang sama, tidak jauh dari majlis itu diadakan. Akibatnya, sama ada secara rela atau terpaksa, sebilangan anggota masyarakat seolah-olah disediakan alasan untuk tidak hadir ke ‘Majlis Bahagi Geran’ itu.

Ketiga: Terdapat bukti jelas ada pihak yang menghasut bakal penerima surat keterangan hakmilik agar tidak hadir ke majlis berkenaan. Hasilnya, daripada sejumlah 122 peneroka yang sepatutnya menerima geran masing-masing, hanya 34 orang atau sepertiga yang hadir.

Beberapa hari selepas majlis berkenaan, Umno setempat dilaporkan mengambil tindakan tegas ke atas ahlinya yang melanggar ‘arahan’ tersebut. Seorang yang berjawatan di dalam Umno di situ dikatakan terpaksa melepaskan jawatannya apabila dimarahi partinya kerana telah keluar menerima keterangan LMS daripada MB.

Apa yang berlaku itu membuktikan bahawa Umno memang tidak suka rakyat diberikan geran tanah. Sebab itu, selama 38 tahun memerintah Terengganu, Umno tidak terfikir untuk menyelesaikannya.

Sudahlah begitu, apabila kerajaan pimpinan PAS memberi geran tanah kepada rakyat, Umno sanggup mensabotaj majlis, menghasut bahkan bertindak terhadap orangnya yang menerima geran. Itulah caranya Umno membela rakyat, barangkali!

(Artikel ini disiarkan akhbar dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu, Edisi 8 November 2003 di bawah kolum ‘Bicara Isu’)

No comments:

Post a Comment