Oleh: Mohd Nasir Awang
ADALAH menjadi tugas sebuah kerajaan Islam untuk melindungi kaum wanitanya supaya martabat dan maruah mereka sentiasa terpelihara. Untuk itu, Kerajaan Negeri Terengganu seawal pemerintahannya telah menggalakkan etika pakaian Islam kepada kakitangannya.
Arahan itu berdasarkan firman Allah: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (An-Nur 24:31)
Pemakaian tudung sememangnya sering menjadi isu kontroversi. Di atas nama menunaikan kewajiban itu wanita Islam, terutama di negara-negara minoriti Islam, terpaksa menghadapi pelbagai mehnah.
Baru-baru ini dua beradik di Peranchis dilarang ke sekolah kerana bertudung. Lily Levy, 18 dan adiknya Alma, 16, didakwa oleh pihak sekolah sebagai ‘ostentatious’ (bermegah-megah). Awal tahun ini, seorang pelajar perempuan di Singapura digantung persekolahan kerana bertudung. Empat pelajar telah dikenakan tindakan yang sama tahun lalu.
Pada Julai 2002, tiga wanita Islam di Tatarstan, Rusia, menyaman kerajaan tempatan selepas mereka dilarang memakai tudung untuk mengambil gambar pasport. Di stuttgart, Jerman baru-baru ini, Mahkamah Perlembagaan Persekutuan membenarkan seorang wanita Islam memakai tudung ketika mengajar. Fereshta Ludin telah dinafikan tugas sebagai guru sejak 1998 semata-mata kerana bertudung.
Pernah berlaku di Turki seorang ahli Parlimen wanita bukan setakat tidak dibenarkan memasuki Parlimen, malah dilucutkan kerakyatannya apabila enggan menanggalkan tudungnya.
Di negara kita alhamdulillah fenomena wanita bertudung tidaklah sekontroversi itu. Sebab itu kita agak terkejut membaca berita Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mengemukakan usul pada persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung bagi “melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tidak membenarkan anggota polis wanita beruniform beragama Islam menutup aurat semasa menjalankan tugas harian sama ada di pejabat atau di luar pejabat”.
Jika benar bagai yang diusulkan itu, barulah kita tahu rupa-rupanya masih ada jabatan dalam pentadbiran “Negara Islam” ini yang melarang anggota wanitanya mematuhi arahan Allah itu! Sedangkan negara Britain membenarkan polis wanitanya bertudung.
Apakah rasionalnya larangan itu? Kalaulah dikatakan bertudung boleh mengganggu kecekapan tugas penguatkuasaan, bagaimana dengan pegawai wanita di JPJ, Kastam dan JAS yang boleh bertudung “molek-molek ada”? Lagi pun, doktor dan jururawat yang sering berhadapan saat cemas menyelamatkan nyawa pesakit pun ramai yang bertudung.
Masyarakat kita sudah menerima realiti bahawa wanita bertudung juga kelihatan menarik dan beridentiti. Tudung bukanlah halangan bagi wanita untuk berkerjaya. Dunia penyiaran yang penuh glamour pun sudah memberikan tempat kepada wanita bertudung. TV3 pernah melahirkan personaliti terbaik seperti Azura, Norhanani dan Ezzah yang bertudung. Malah pertandingan Pengacara Jemputan Nona (PJN) musim 2002 turut memecahkan tradisi apabila memilih wanita bertudung, Norjuma Habib Mohamad, sebagai pemenangnya.
Beberapa artis tetap popular meski pun memilih untuk bertudung. Wardina Safiyyah, Sheila Lama dan Shafnie membuktikan bahawa kecekalan mentaati syariat telah mencelikkan mata sesetengah pihak yang kini akur dengan keputusan yang mereka buat.
Pun begutu, trend bertudung yang diterima masyarakat kini nampaknya menimbulkan masalah baru – perilaku pemakainya. Imej wanita bertudung yang sepatutnya sopan, beradab dan mematuhi syariat, kekadang bertukar menjadi cemuhan masyarakat.
Apakah anda tidak pernah tertonton sekumpulan remaja bertudung tetapi melalak dan melonjak-lonjak di tepi pentas hiburan? Gelagat mereka malah mengalahkan sesetengah yang tidak bertudung!
Bersunyi-sunyian dengan lelaki, bahkan beraksi ghairah di atas tangga (sebagaimana disiarkan NTV7 baru-baru ini), juga melibatkan remaja bertudung.
Begitu juga dengan sekumpulan remaja bertudung seragam merah jambu yang memekik, menjelir dan ‘mentonyel’ kepada orang-orang dewasa semasa kempen beberapa pilihanraya kecil tahun lalu. Mereka inilah yang telah mencemarkan imej dan akhlak wanita bertudung.
Kalaulah tujuan bertudung itu untuk menutup aurat dan mentaati syariat, maka al-Quran jelas memerintahkan wanita beriman bukans ekadar mengenakan tudung, tetapi juga memelihara pandangan mata, perhiasan tubuh dan penghormatan diri mereka.
Kerajaan Negeri baru-baru ini menapak selangkah lagi di dalam usaha “mensopankan” wanita Islam, khususnya para pekerja premis perniagaan. Mereka bukan setakat diminta bertudung, malah melabuhkannya. Manakala seluar yang ketat dilonggarkan dan baju dilabuhkan keluar agar tidak menampakkan susuk tubuh.
Itu pun, ada juga pihak yang tidak senang. Sememangnya usaha mendidik masyarakat bukanlah suatu kerja yang mudah!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, 22 Oktober 2003 di kolum 'Bicara Isu' dengan tajuk 'Dilema wanita bertudung'.)
No comments:
Post a Comment