Oleh: Mohd Nasir Awang
SEJARAH telah membuktikan bahawa bumi Terengganu ini telah menjadi tapak awal kedatangan dan kedaulatan Islam di Tanah Melayu. Terengganu pernah ‘Membangun Menurut Islam’ khususnya di zaman Sultan Zainal Abidin III (1881-1918). Undang-Undang Islam dijadikan Undang-Undang Tubuh Negeri dan dikenali sebagai ‘Itqan ul-Muluk bi Ta’di lis-Suluk.
Penemuan Batu Bersurat, atau nama purbanya Tamra Prasasti, membuktikan bahawa hukum dan peraturan Islam telah lama berdaulat dan menjadi paksi tamadun Islam di Terengganu. Inskripsi itu menyebut: “Tuhan menduduki Tamra ini di benua Terengganu adi pertama ada. Jumaat di bulan Rejab di tahun saratan disasanakala Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua”. Sejarawan menafsirkan tarikh tersebut ialah Rejab tahun 702H, bersamaan 22 Februari 1303M.
Penjajah Inggeris mula campurtangan di Terengganu melalui pakatan Anglo-Siam sehingga termeterainya Perjanjian Bangkok pada 9 Julai 1909. Terengganu dipaksa membuat perjanjian dengan Inggeris pada tahun 1919 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II di mana J.L.Humprey dilantik menjadi Residen Inggeris.
Ekoran itu, kedudukan undang-undang Islam dan pelaksanaannya telah tergugat. Inggeris kemudiannya berjaya mencorakkan sistem perundangan negeri mengikut acuan sistem sekular sepenuhnya.
Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan pemerintahan diserahkan kepada orang Melayu-Islam, ramai beranggapan itulah peluang mengembalikan kedaulatan perundangan Islam di tanahair ini. Bukankah kemerdekaan itu bererti kebebasan menentukan pemerintahan mengikut kemahuan kita?
Malangnya, setelah hampir setengah abad berlalu, harapan itu hanya sesia belaka. Jangankan diharap undang-undang Islam kembali berdaulat, beberapa institusi Islam yang sedia ada pun makin terhakis. Cuti Jumaat dipinda kepada Ahad, tulisan jawi dikuburkan dan sekolah agama rakyat dipinggirkan.
Qiyamullail dianggap sebagai ‘sindrom’ dan tazkirah di bulan Ramadhan diharamkan. Golongan berpendidikan agama dipersenda, hukum-hukum Allah dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. turut dipersoalkan.
Dalam suasana Islam digugat dan digigit dari segenap sudut itulah, tetiba Perdana Menteri mengisytiharkan negara ini sebagai ‘Negara Islam’. Kita percaya ramai rakyat yang ‘terperanjat beruk’ mendengar dakwaan PM itu.
Tidak dinafikan negara kita telah menerapkan beberapa nilai Islam terutama dengan kewujudan bank Islam, insurans, pajak gadai, universiti dan seumpamanya yang bernama Islam. Tetapi rukun paling utama Negara Islam, iaitu hukum Allah, masih tidak didaulatkan sebagai hukum tertinggi.
Al-Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Mesir, Sheikh Umar Talimsani lewat Al-Hukumat ud-Deeniyyah? Menyebutkan: “Berkemungkinan besar sebab yang mendorong sesetengah pemimpin berusaha mencipta serta melabelkan pemerintahan negara dengan penerapan nilai-nilai Islam ialah kerana semata-mata takut kepada kebangkitan Islam”.
Sekadar mewujudkan beberapa institusi Islam di samping menerapkan beberapa nilai Islam di dalam ekonomi dan pentadbiran belum membolehkan sesuatu kerajaan itu diisytiharkan sebagai Negara Islam. Sebagaimana komunisme mengharamkan riba’ kerana ia suatu bentuk penindasan ekonomi, tidaklah pula boleh dikatakan komunisme itu bertepatan dengan Islam!
Akhbar The Star bertarikh 7 Ogos 2003, melaporkan kerajaan tempatan Shenhe di wilayah Liaoning, China, bercadang membina sebuah “Islamic City” di Shenyang dengan belanja US$400j (RM1.5bil). Keseluruhan pelannya memaparkan bangunan-bangunan bercirikan Islam. Baca laporan itu lagi, “When completed, the Islamic City is expected to be a landmark showcasing Islamic lifestyle in Shenyang. It will also be a major place to accomodate guests from the Islamic world and Arab countries..”.
Jadi, apakah boleh dikatakan bahawa China juga Negara Islam disebabkan kewujudan sebuah “Islamic City” di negara itu?
Berbanggakah kita dengan banyaknya masjid dan adanya mufti serta imam/bilal yang dibayar gaji dan elaun oleh kerajaan? Sedangkan kerajaan Thailand juga membina masjid dan membayar gaji para mufti dan imam di negara mereka!
Dengan tempoh 46 tahun mentadbir negara, dan setelah diberikan peluang selama 38 tahun memerintah Terengganu, Umno ternyata gagal mengembalikan kedaulatan undang-undang Islam di tanahair ini. Itulah perkara pokok!
Sedangkan dalam masa yang singkat, kerajaan Terengganu yang ada kini telah memasyhurkan secara rasmi bahawa al-Quran, al-Hadith, Ijma dan Qias sebagai sumber rujukan hukum tertingginya.
Bukankah itu yang diimpikan oleh rakyat Darul Iman selama berkurun lamanya? Bahawa bernaung di bawah undang-undang Islam itu adalah rahmat dan menolak hukum Allah mengundang laknat. Sebagaimana tercatat pada Tamra Prasasti “...segala isi tamra barang siapa tiada menurut tamra ini laknat Dewata Mulia Raya”.
Semoga Allah memelihara negeri kita ini. Negerinya cantik, orangnya pun baik-baik. Negerinya aman, rakyatnya beriman. Rakyatnya bersepakat mendaulatkan syariat.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, 08 Oktober 2003 di kolum 'Bicara Isu' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment