Monday, September 22, 2003

Gangsterisme dan keperluan pendidikan Islam


Oleh: Mohd Nasir Awang

ADA beberapa pengajaran yang dapat dikutip daripada insiden gangsterisme di sekolah-sekolah sebagaimana yang hangat diperkatakan dewasa ini. Bermula pertengahan Ogos lalu, media arus perdana kerap memaparkan insiden-insiden ‘keganasan’ yang berlaku di kalangan para pelajar serata negara.

Dalam kejadian pada 27 Julai lalu, seorang pelajar di Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat, Port Dickson mendakwa dipukul 30 rakan seasrama menyebabkannya patah tulang rusuk dan berdarah di paru-paru.

Seorang pelajar di Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat kemudiannya dilaporkan dibelasah teruk sekumpulan pelajar yang lain sehingga salah satu buah pinggangnya terpaksa dibuang.

Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh (STAR) pula menyingkirkan 20 pelajar Tingkatan Limanya kerana menghidupkan kumpulan ala samseng ‘High Council’. Manakala Jabatan Pendidikan Perak pada 29 Ogos mengesahkan lapan pelajar Tingkatan Lima Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) disingkir kerana masalah disiplin termasuk bergaduh.

Selepas itu ada pula cerita 20 pelajar daripada dua kumpulan di Sekolah Menengah St Davids, Melaka bergaduh pada waktu persekolahan.

Apa yang dicatatkan ini adalah contoh-contoh terkini khusus mengenai kes-kes gangsterisme di asrama. Sebelum ini pun, sudah acapkali kita dengar atau baca mengenai pelbagai keburukan disiplin di kalangan pelajar sekolah. Cuba teliti rekod-rekod yang pernah dipaparkan di akhbar-akhbar sebelum ini.

Antaranya, ‘Kadar pelajar merokok naik’, ‘2,033 pelajar menengah terbabit dadah’, ‘Pelajar hamil: Bukan kes kecil’, ‘Polis kawal pelajar gaduh di sekolah’, ‘seven boys nabbed over gang rape of schoolgirl’, ‘Guru cedera di muka ditumbuk pelajar’, ‘4 digantung sekolah kerana tagih dadah’, ‘1,073 murid terlibat kes melawan guru’, ‘Tiga pelajar mengaku bakar sekolah’, dan ratusan lagi seumpamanya.

Mengambilkira rekod pencapaian akhlak dan moral para pelajar itu, adalah tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa sistem pendidikan negara hingga kini masih gagal melahirkan pelajar yang baik. Itu pengajaran yang pertama.

Yang kedua, kes-kes yang berlaku tadi mendorong kita memikirkan pandangan kedua mengenai konsep ‘kejayaan’. Kita sering didedahkan dengan pandangan para pemimpin mengenai halatuju pendidikan negara. Sebahagian besar mereka bercakap mengenai kecemerlangan akademik. Seseorang pelajar itu akan dianggap berjaya sekiranya keputusan peperiksaannya baik dan kemudiannya mendapat pekerjaan yang baik pula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, secara sinis pernah menuturkan “ramai ibu bapa yang ingin anak mereka menjadi alim dalam bidang agama sahaja. Dengan itu sebahagian daripada kanak-kanak yang berbakat tidak dapat mempelajari ilmu lain yang mereka berupaya menguasai dengan baik. Apabila lulus kemudian dalam pelajaran agama didapati mereka tidak mempunyai banyak peluang untuk bekerja dalam bidang berpendapatan tinggi. Mereka kecewa akhirnya.”

Ucapan Dr Mahathir itu dapat difahami seolah-olah menyalahkan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan agama. Sebab itu Dr Mahathir berkata, “mereka kecewa akhirnya”, kerana gagal mencapai matlamat pendidikan iaitu “peluang untuk bekerja dalam bidang berpendapatan tinggi”.

Apa yang Dr Mahathir lupa ialah bagi seorang ibu atau bapa sekarang, nilai kejayaan pendidikan anak-anak bukan lagi sekadar lulus straight-A dalam peperiksaan, atau berpendapatan yang tinggi dalam pekerjaan. Memang tidak salah merebut peluang memperolehi pendapatan tinggi, tetapi patutkah ia dijadikan matlamat utama pendidikan?

Persoalan ini pernah dicoretkan oleh seorang pendidik, Malika Vasugi, di sebuah akhbar berbahasa Inggeris: “whether or not we teachers have been successful in nurturing a batch of students until the point where they leave school would have to be measured not by the SPM percentage but by the quality of adults we have in our midst much later”.

Kelima-lima kejadian yang dicatatkan di atas boleh dijadikan contoh. Ia berlaku di sekolah berasrama. Maka sudah tentulah para pelajarnya adalah dari kalangan yang terpilih di bidang akademik masing-masing. Bagaimana pun, dengan perilaku yang mereka tunjukkan, apakah yang boleh kita banggakan tentang akademik mereka? Bagaimanakah pula mahu kita ramalkan tentang “the quality of adults we have in our midst much later”?

Seterusnya, cuba kita fikirkan, kalaulah dalam keadaan masih wujud berbaki beberapa ratus buah sekolah agama di serata negara ini pun, kebobrokan akhlak dan moral remaja sudah tidak terbendung, maka bagaimanakah agaknya keadaan negara sekiranya tiada langsung sekolah-sekolah agama? Sedangkan mata pelajaran agama di sekolah-sekolah kebangsaan hanya menunggu masa untuk disempitkan lagi skopnya kepada sekadar pelajaran moral sahaja!

Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan yakin akan keagungan risalah Islam, adalah amat bangang jika sekiranya di masa yang sama kita membiarkan anak-anak muda kita terus rosak tanpa cuba menyelamatkan mereka melalui pendidikan Islam.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, 22 September 2003 di kolum 'Bicara Isu' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment