Oleh: Mohd Nasir Awang
Sebuah akhbar harian arus perdana pada 15 Ogos lalu ada memaparkan tajuk ‘Kerajaan Kelantan, Terengganu kurang patriotik’. Laporan itu memetik kenyataan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang kecewa dengan sikap kerajaan kedua-dua negeri berkenaan yang disifatkan ‘kurang menunjukkan semangat patriotik sepanjang kempen mengibarkan Jalur Gemilang’.
Sewaktu kenyataan itu dikeluarkan, kerajaan negeri-negeri termasuk kedua-dua negeri ini, sedang sibuk mengatur persiapan akhir mengadakan Majlis Pelancaran Perayaan Bulan Kemerdekaan dan Kempen Pengibaran Jalur Gemilang beberapa hari selepas itu.
Meski pun telah dilabel ‘kurang patriotik’, majlis tersebut tetap diadakan juga seperti yang dirancangkan. Hujan lebat yang turun sejak lewat petang dan berlarutan hingga selesai aturcara malam itu sedikit pun tidak menghalang masyarakat ‘kurang patriotik’ di negeri ini berhimpun di Dataran Batu Buruk.
Patriotisme atau disebutkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. di dalam hadith sebagai ‘hubbul-watan’ (cintakan tanahair) adalah satu konsep yang sangat luas dan abstrak, seluas konsep ‘merdeka’ itu sendiri. Ia sepatutnya tidak diterjemahkan dalam skop yang terlalu sempit melalui justifikasi pengibaran bendera semata-mata.
“Merdeka bukan hanya bebas dari penjajahan bangsa asing, tetapi juga bebas dari sebarang pengaruh dan budaya yang pernah dibawa oleh penjajah ke tanahair kita,” kata Tuan Guru Menteri Besar di majlis berkenaan.
Kenyataan tersebut dikira bersesuaian dengan keluasan konsep patriotisme atau hubbul-watan. Ia tepat pula dengan fenomena sosio-budaya yang sedang dihadapi negara mutakhir ini. Kerana, walau pun pada zahirnya penjajah telah berambus dari negara kita 46 tahun lalu, warisan penjajahannya masih jelas terasa di sana-sini. Kebetulan pula, antara sektor paling menyerlah dipengaruhi budaya penjajah ialah sektor kesenian dan pelancongan itu sendiri.
Dunia hiburan menjadi contoh paling jelas. Atas nama kesenian, negara memberi tempat yang agak istimewa kepada para artis dan seniman. Tetapi atas dasar ‘patriotik’ pernahkah kita bertanya berapa ramai penyanyi yang tampil di pentas mengenakan pakaian Melayu berbanding yang menggayakan fesyen Barat?
Berapa peratuskah jumlah lagu-lagu yang dinyanyi dan diulangsiar di media elektronik yang berirama Melayu atau mempunyai unsur kemelayuan, berbanding irama popular yang nyata diimport dari luar?
Perhatikan pula gelagat para artis apabila bergaul sesama mereka. Cuba tanya, apakah berpegangan tangan, berpelukan dan berciuman itu budaya Melayu atau warisan penjajah? Tapi itulah yang sering didapati berlaku di kalangan mereka, bukan?
Baru-baru ini isu rancangan Akademi Fantasia kelolaan rangkaian tv Astro heboh diperkatakan. Ia merupakan satu program tv realiti yang diadaptasi dari program serupa, La Academia dari Mexico. Melaluinya, sekumpulan peserta ditempatkan bersama seumpama sebuah keluarga sepanjang pertandingan. Akhirnya, tanpa mengira batasan jantina, agama dan bangsa, mereka berpeluk-cium di pentas dan disaksikan jutaan penonton.
Kes itu bukanlah yang pertama seumpamanya berlaku di negara ini. Sebelum itu pun sudah ada disiarkan program Jam@McD yang tidak kurang juga memaparkan keruntuhan moral remaja Melayu di dunia hiburan.
Dalam dunia perfileman juga, pengaruh budaya penjajah jelas kelihatan. Lucah atau seks dalam filem Barat ditafsirkan sebagai seni atau arts. Semata-mata mahu dilihat hebat dan realistik, maka filem Melayu pun merasakan perlu ikut cara Barat.
Itulah gamaknya yang terjadi kepada filem Embun, yang diterbitkan sendiri oleh kerajaan melalui agensinya Filem Negara Malaysia (FNM) dan Finas. Pelakon yang memegang watak jahat dalam filem itu, Izi Yahya mengaku berbogel semasa melakonkan adegan rogol.
Menurut Izi, beliau sanggup berbogel kerana menganggap tindakannya sesuai dengan keperluan watak Leftenan Akaishi yang jahat dalam filem tersebut. Katanya, aksi yang menampakkan punggung itu akan menguatkan lagi watak jahatnya dalam adegan merogol Embun lakonan Umie Aida.
Konsep asal filem itu ialah ‘patriotisme’, iaitu memaparkan semangat juang orang Melayu menentang penjajahan Jepun. Sebab itu, kerajaan tidak keberatan berbelanja RM3 juta duit rakyat untuk pembikinannya. Tetapi apakah semata-mata kerana memenuhi agenda ‘patriotisme’ itu, maka halal bagi pelakonnya berbogel?
Yang dipentingkan dalam setiap sambutan perayaan kemerdekaan ialah acara perarakan bendera, persembahan kesenian dan kebudayaan. Itulah yang dikatakan lambang patriotik atau cintakan tanahair. Soal sejauh mana seni budaya itu bertepatan atau berlawanan dengan Islam, nampaknya tidak menjadi perkiraan.
Islam seolah-olahnya perlu disesuaikan dengan kehendak negara. Bukan lagi negara dan bangsa yang perlu menyesuaikan diri dengan kehendak Islam. Itulah penangan penjajahan minda, suatu bentuk penjajahan yang lebih bahaya dari penjajahan geografi.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, 8 September 2003 di kolum 'Bicara Isu' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment