Oleh: Mohd Nasir Awang
DI KALANGAN orang-orang tua suku kaum Jawa, terdapat satu
anekdot yang agak masyhur tentang silap faham penggunaan bahasa. Ceritanya
mengenai dua orang yang terserempak sewaktu melalui denai di tengah-tengah
hutan. Seorang daripada mereka bertanya yang seorang lagi: “Macan manak?”
Tiba-tiba yang ditanya itu tergamam, menjadi pucat
ketakutan dan terus cabut lari. Sang penanya itu diceritakan dari suku kaum Banjar.
Ungkapan ‘macam manak?’ dalam dialek
Banjar bererti “macam mana?”, iaitu
ungkapan lain bagi bertanya khabar.
Manakala yang ditanya itu adalah seorang berketurunan
Jawa. Di dalam dialek Jawa, kalimah ‘macan
manak’ itu pula membawa maksud ‘harimau
beranak’.
Sememangnya harimau yang beranak kecil diketahui sangat
ganas dan suka menyerang sesiapa juga yang melintasi kawasannya. Sebab itulah
hamba Allah tadi menjadi ketakutan dan terus cabut. Dia menyangka orang Banjar
itu memberitahunya bahawa di situ ada ‘harimau beranak’.
Cerita yang ringkas dan agak melucukan ini memberikan
gambaran jelas bahawa perbezaan maksud sesuatu perkataan mengikut fahaman
bangsa atau suku kaum masing-masing kekadang membawa implikasi negatif.
Lebih-lebih lagi bagi masyarakat majmuk yang dianggotai pelbagai suku kaum dan
bertutur berbagai-bagai dialek atau loghat pula.
Di kalangan pelajar universiti juga pernah terjadi silap
faham yang serupa. Suatu hari dua siswa berjanji untuk ke suatu tempat
bersama-sama. Tiba masanya, siswa yang berasal dari Terengganu itu pun datang
menjemput rakannya. Rakan serumah rakannya itu yang berasal dari Kedah
menjawab, “Pi lah! Dia pesan, satni dia
pi”.
Siswa dari Terengganu itu pun
terus memandu pergi, seraya merungut, “janji
nak gi sama-sama, dia dah cabut awal pulak”. Tiba di tempat yang dituju
itu, dia terus mencari rakannya tadi. Kerana, dalam fahamannya kawannya itu
sudah pergi lebih dahulu daripadanya.
“Satni” dalam loghat Terengganu bermaksud ‘sekejap tadi’. Sedangkan dalam loghat Kedah ia adalah sebaliknya,
iaitu bermaksud ‘sekejap lagi’.
Hanya selepas rakannya itu tiba
sejurus kemudian, barulah dia tahu ‘satni’ Kedah berlawanan maksud dengan
‘satni’ Terengganu.
Sengaja kita bangkitkan soal
perbezaan maksud sesuatu perkataan ini sebagai berkongsi ingatan dengan
pembaca. Ia tentunya ada hubungkait dengan polemik penggunaan perkataan ‘barua’
yang nampaknya sudah sampai ke peringkat diblown
out of all proportion (dibesar-besarkan melebihi hadnya) kini.
Segala-galanya bermula daripada
tindakan sebuah rangkaian tv yang sengaja mempolitikkan ucapan Menteri Besar
Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan
(PUTIK), beberapa bulan lalu.
Ucapan beliau itu jelas merujuk
kepada sikap cakap tak serupa bikin seorang pemimpin tertentu. Kerana sememangnya
selama ini kita fahami betapa para pemimpin negara selalu mencanangkan agar
tidak dibenarkan bercakap mengenai politik di dalam masjid. Malangnya, pemimpin
berkenaan secara jelas memperalatkan mimbar masjid untuk berkempen pilihan raya
kecil yang sedang berlangsung ketika itu.
Perangai bercakap tidak serupa
bikin, autar atau suka temberang dalam bahasa Kelantan disebut juga sebagai ‘bual’ (sabdu pada ‘b’) atau ada juga
yang menyebutnya ‘barua’. Perkataan ‘barua’
di situ sudah tentu tidak sebagaimana yang digunapakai di negeri-negeri lain,
yang membawa maksud ‘orang suruhan untuk
melakukan kerja jahat’.
Bahasa adalah jiwa bangsa.
Mengenali sesuatu bangsa adalah melalui bahasa yang digunakan mereka.
Sepatutnya para ahli bahasa di negara ini memperakui hakikat perbezaan makna
kalimah-kalimah tertentu yang digunapakai dalam masyarakat pelbagai suku kaum
bangsa Melayu di negara ini.
Satu contoh yang sangat wajar
dinyatakan di sini ialah penggunaan perkataan ‘pantat’ (dengan sebutan ‘patak’) di kalangan masyarakat Kelantan
dan Terengganu. Ia adalah perkataan biasa yang disebut oleh semua orang, sama
ada yang berpelajaran atau tidak, yang jahil atau alim, di pasar atau dalam
masjid.
Di rumah ada perumpamaan ‘hitam macam pantat kuali’. Di pasar,
orang memilih kain batik berdasarkan corak pada ‘pantat kain’. Bagi golongan nelayan pula, ada model motorbot yang
dipanggil ‘pantat potong’, selain
sekoci, payang dan lain-lain.
Manakala ‘pantat sotong’ pula ialah bahagian bawah haiwan itu yang terkenal
dengan telurnya yang sangat enak dimakan.
Kalau diikutkan fahaman
masyarakat ‘sebelah luar’ iaitu di negeri-negeri Pantai Barat, maka semua orang
di Kelantan dan Terengganu ini suka mencarut. Kerana, perkataan ‘pantat’ itu
bagi mereka adalah alat kelamin wanita yang kita eja dengan lima huruf bermula ‘b’
berakhir dengan ‘t’ itu. Sebaliknya pula perkataan ‘b...t’ itu bagi mereka di
sana tidak pula satu carutan yang keji, malah boleh disebut molek-molek ada!
Sengaja kita bawakan contoh sebegini
bagi memberikan gambaran bahawa sesuatu dakwaan kononnya seseorang menggunakan
bahasa yang kasar, jijik atau mencarut hendaklah diadili menurut realiti bahasa
ibunda sang penutur atau konteks setempat.
Oleh itu, apabila seorang Tok
Guru berbahasa Kelantan bercakap di Kelantan di hadapan orang Kelantan, sudah tentu
menggunakan kalimah yang dibangsakan kepada rakyat Kelantan. Justeru, kalimah ‘barua’
yang diucapkan itu semestinya difahami berdasarkan apa yang difahami masyarakat
Kelantan dan bukannya diputarbelitkan secara out of context.
Orang selalu menyebut, ‘Yang Indah
itu Bahasa’. Keindahan itulah antara hikmah Allah Ta’ala menciptakan manusia
ini bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Dak
gitu neh?
(Artikel ini
disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan
Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Mei 2002 di kolum tetap ‘Komentar’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment