Oleh: Mohd. Nasir Awang
DI ANTARA fenomena baru yang semakin menjadi kebiasaan bagi pembangkang di Terengganu mutakhir ini ialah kecenderungan menjadikan kawasan sekolah sebagai medan aktiviti politik mereka.
Dewan dan bangunan sekolah di seluruh negeri ini seolah-olah telah bertukar status menjadi ‘Bangunan Gunasama’ antara Kementerian Pendidikan dan pembangkang.
Di waktu persekolahan, ia digunakan oleh guru dan murid sebagai pusat pendidikan. Manakala di luar waktu persekolahan, ia sering pula dimakmurkan sebagai ‘markas politik’.
Tidak cukup sekadar ruang berbumbung itu, habis segenap ceruk termasuk pagar dan padang sekolah turut dimanfaatkan untuk menjayakan agenda politik mereka.
Namakan apa sahaja: Forum Suara Rakyat, Forum Hudud PAS, Majlis Muafakat Wanita dan lain-lain lagi yang dianjurkan atas nama parti mereka, kebanyakannya diadakan di premis pendidikan awam itu.
Setiap kali berlangsungnya aktiviti politik itu, maka habislah seluruh kawasan sekolah itu dipenuhi bendera-bendera ‘keris panjang’ dan juga lambang ‘dacing’.
Sekali pandang, tidak mustahil para pengunjung luar yang pertama kali lalu di kawasan berkenaan akan menyangka kawasan itu adalah markas pilihanraya atau ibu pejabat pembangkang setempat.
Pembahagian hasil rompakan dari khazanah negeri kepada suku-sakat terpilih juga kebanyakannya menggunakan premis sekolah. Selain dipampang pameran warna-warna ‘keris dan dacing’ yang memualkan itu, para penerima juga disumbat dengan celoteh dan leteran politik para pemuka pembangkang.
Suatu hal yang nyata, sebilangan aktiviti yang dinyatakan itu turut membabitkan penglibatan, sama ada secara langsung atau tidak, sebilangan guru dan murid sekolah berkenaan. Maka, secara langsung atau tidak, warga sekolah berkenaan telah menjadi sebahagian daripada tenaga yang menjayakan aktiviti politik pembangkang itu.
Di peringkat nasional, kita seringkali diingatkan oleh para pemimpin negara bahawa sekolah bukannya medan politik. Sudah tentu oleh kerana yang menyuarakan hal itu adalah pemimpin pemerintah, maka ingatan itu lebih ditujukan kepada pihak pembangkang di peringkat nasional.
Gerangan apakah sehingga pihak Kerajaan Pusat terfikir melaksanakan ‘akujanji’ terhadap para penjawat awamnya kalau bukan kerana takutkan pengaruh pembangkang yang semakin meningkat di kalangan para penjawat awam itu?
Maka berbagai aturan dan peraturan diperkenalkan bagi mengawal dan menekan pergerakan dan penglibatan politik para penjawat awam, terutamanya warga pendidik.
Manakala sebarang gejala negatif yang berlaku di sekolah atau pusat pengajian dengan cepat difitnahkan sebagai angkara pembangkang.
Kemunduran akademik dan kebobrokan akhlak pelajar serta keculasan guru-guru dengan mudah dikaitkan dengan penglibatan mereka dalam politik pembangkang.
Adalah amat nyata ‘kebaruaan’ sekelompok manusia ini apabila di peringkat nasional mereka menjadi juara mengatakan bahawa kawasan sekolah dan pusat pendidikan mestilah bebas dari unsur politik, tetapi di peringkat negeri Terengganu ini anak-anak buah mereka itulah juga yang menjuarai agenda mempolitikkan kawasan sekolah.
Saban tahun, hampir semua sekolah menganjurkan seminar keibubapaan. Majlis biasanya ditujukan kepada ibubapa atau penjaga anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan utama (UPSR, PMR, SPM).
Maka, di atas hasrat mendapat penjelasan mengenai prestasi akademik anak-anak, kebanyakan ibu bapa sanggup meninggalkan kerja buat sehari suntuk itu untuk datang ke sekolah.
Bukan lagi menjadi suatu rahsia betapa majlis-majlis berkenaan juga diambil kesempatan oleh parti pembangkang untuk kepentingan politiknya. Pihak sekolah dipertanggungjawabkan memadah ibu bapa. Manakala pihak pembangkang pula mengaturkan orang-orangnya untuk ‘membasuh minda’ ibu bapa.
Bukan ke arah membantu kecemerlangan anak masing-masing dalam peperiksaan yang bakal dihadapi tetapi ke arah membenci Kerajaan Negeri dan membulatkan sokongan kepada Kerajaan Pusat. Tak barua namanya tu?
Beberapa pesta atau program hiburan yang sengaja ditaja bagi mencabar agenda pemerintahan negeri juga turut memanfaatkan padang sekolah.
Acara-acara seperti tinju Siam (Muoy) dan Dikir ‘Karut’, yang selalunya gagal mendapat kebenaran menggunakan premis awam milik Kerajaan Negeri seringkali beralih tempat ke premis milik Kerajaan Pusat itu.
Kuasa autonomi yang mereka miliki di kawasan berkenaan menyukarkan pihak Kerajaan Negeri menguatkuasakan peraturan yang kita kehendaki berkaitan pesta atau program seumpama itu.
‘Pesta Baling Kerusi dan Bertukar-Tukar Buah Tangan’ oleh ahli-ahli parti pembangkang juga turut diadakan di sekolah. Itulah apa yang dilaporkan berlaku dalam mesyuarat agung satu cawangan pembangkang di negeri ini beberapa bulan lalu, sehingga memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan amaran.
Ia bukan sahaja mencemarkan arena politik negara, malah meninggalkan kesan negatif di dalam jiwa anak-anak. Mereka tentunya pelik bagaimana medan mereka menimba ilmu dan asuhan telah bertukar menjadi gelanggang maki hamun dan sumpah seranah orang-orang politik yang berjiwa kotor itu.
Ya Allah! Selamatkan negeri ku ini dari kekuasaan manusia-manusia barua itu!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 48, 8 Jun 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment