Oleh: Mohd. Nasir Awang
SEORANG penyair cilik dari Seberang Takir, Abdul Alim Zakaria di dalam salah satu puisinya yang masyhur menyifatkan guru sebagai ‘penyuluh hidup’ yang menerangi alam ini. Selain itu, beliau menyebutkan lagi:
“Wahai guruku kau ibarat sebatang lilin, menerangi alam kegelapan. Kau sanggup membakar dirimu wahai guruku. Kau insan yang mulia mendidik dan membimbing daku. Kaulah insan yang ku sanjungi”.
Ilmu adalah penyuluh kehidupan. Manakala peranan penting guru sebagai penyampai ilmu kepada masyarakat sudah tidak dipertikaikan lagi. Didikan secara formal oleh seorang guru terhadap muridnya adalah complementary (pelengkap) kepada didikan tidak formal yang dibekalkan kedua ibu bapa.
Sebab itu di dalam banyak hal, guru adalah ibarat ibu bapa kepada murid.
Betapa besarnya peranan guru dalam mendidik anak bangsa sering diperkatakan terutama di waktu menyambut Hari Guru saban tahun. Bahkan, terdapat beberapa tahun yang mana tema sambutan yang dipilih itu khusus membicarakan peranan guru.
Antaranya ‘Guru Pembentuk Generasi Akan Datang’ bagi Hari Guru 1978, ‘Guru Pengasas Budaya Membaca’ (1988), ‘Guru Pembina Budaya Ilmu’ (1989), ‘Guru Bestari Sekolah Bestari’ (1997), ‘Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama’ (1998), dan ‘Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang’ (1999).
Tema tahun ini sekali lagi memberikan penekanan khusus kepada peranan guru, iaitu ‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’. Sudah tentu apabila disebutkan ‘kualiti’, maka yang dimaksudkan ialah nilai-nilai atau penampilan positif seperti dedikasi dan komited dalam kerja, kreatif dan inovatif dalam kaedah mendidik, mesra dan accountable (bertanggungjawab dan telus) dalam sikap, serta cakna dan prihatin kepada kecenderungan masyarakat.
Sebagai pembekal ilmu, guru sememangnya bertanggungjawab menentukan corak kehidupan seseorang. Kerana, ilmu dan didikan yang dicurahkan oleh seseorang guru menjadi ‘penyuluh hidup’ yang mampu membebaskan seseorang daripada kegelapan hidup tanpa ilmu.
Bahkan, mereka yang sepanjang hari bergaul murid itu sama ada disedari atau tidak sentiasa dijadikan role model oleh murid.
Sepertimana yang pernah disebutkan oleh Imam Malik rahimahullah, seorang kanak-kanak itu belajar dari kehidupan di sekelilingnya. Kalau dia hidup dengan kritikan, dia belajar untuk mengutuk. Kalau dia hidup dalam kekerasan dan kekacauan, dia belajar untuk bergaduh.
Kalau seseorang kanak-kanak itu hidup dengan tolak ansur, dia belajar menjadi penyabar. Kalau dia hidup dengan galakan dan dorongan, dia belajar untuk yakin pada diri. Kalau dia hidup dengan pujian, dia belajar untuk menghormati. Kalau dia hidup dalam kesamarataan, dia belajar untuk berlaku adil.
Sebab itulah tutur kata dan perbuatan seorang guru amat berkesan di mata dan di hati seorang murid. Amat penting bagi seorang guru untuk mempamer dan menyemai nilai-nilai positif kepada murid-murid. Kerana, kalau murid dibiasakan dengan herdikan dan leteran, dia akan belajar untuk memaki dan menseranah.
Untuk itu, sang guru hendaklah sedaya mungkin mengelak daripada membiasakan diri dengan tindakan negatif. Kerana, bak kata pepatah orang tua, kalau guru kencing berdiri, murid akan kencing berlari.
Maksudnya, seorang murid itu akan mudah mencontohi kelakuan dan perbuatan gurunya, terutama dalam hal-hal yang tidak elok.
Sesetengah guru memandang enteng peribahasa ini. Lalu di kalangan mereka ada yang mengajarkan kepada murid mereka falsafah yang mereka cipta sendiri, iaitu ‘buat apa yang saya suruh, jangan buat apa yang saya buat’.
Sebenarnya falsafah tersebut tidak boleh dijadikan prinsip dalam mendidik murid-murid. Sebaliknya, ia jelas menggambarkan sikap tidak accountable sang guru dengan ilmu yang diajarkannya.
Cakap tidak serupa bikin, bikin tidak serupa cakap. Sudah tentu bukan ‘kualiti’ seumpama itu yang diharapkan oleh masyarakat daripada guru-guru.
Sebagai warganegara, guru juga bertanggungjawab terhadap masyarakat termasuk dalam menentukan corak pemerintahan. Telah terbukti sejak beberapa ketika lalu bahawa golongan pendidik ini merupakan kelompok masyarkat yang sangat sensitif dan responsif terhadap perubahan iklim politik tanahair.
Berkat ‘kualiti’ yang ada pada guru-guru negara ini, mereka berupaya menilai dan membezakan yang hak dan batil, adil dan zalim. Parti mana yang ada ‘kualiti sebenar’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, dan mana yang sebaliknya.
Mana parti yang dipenuhi kaki rompak, rasuah dan songlap, dan mana yang didokong oleh orang-orang ‘berjurus’. Alhamdulillah berbekal ‘kualiti’ itu mereka telah memberikan aspirasi baru kepada perubahan dan pembaharuan politik, khususnya di bumi Darul Iman yang bertuah ini.
Sambutan Hari Guru ditetapkan pada setiap 16 Mei. Namun setakat ini ia belum diiktiraf sebagai cuti umum. Pun begitu, pihak sekolah diberi kelonggaran menyambutnya secara sederhana di peringkat masing-masing, tetapi tidak melibatkan cuti.
Justeru, diharapkan tidak terlalu awal untuk kita ucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik, khususnya bagi yang membaca catatan ini. Hayati dan halusi tema ‘Guru Berkualiti Aspirasi Negara’.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 46, 8 Mei 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment