Oleh: Mohd. Nasir Awang
MENJADI suatu hikmat yang besar mengapa Allah Ta’ala meletakkan ikrar dua kalimah syahadah itu sebagai syarat pertama dan utama (first and foremost) keIslaman seseorang.
Di dalam ikrar tersebut tersurat dan tersirat segala ketaatan dan pengabdian sepenuhnya seseorang Muslim terhadap segala perintah dan larangan Allah Ta’ala dan Rasul-Nya s.a.w..
Ikrar berkenaan sekaligus menjadi suatu ‘akujanji’ seorang hamba untuk tunduk dan patuh kepada penciptanya. Ia juga merupakan pengisytiharan menerimapakai kod etika dan perilaku (code of ethics and conduct) bagi seorang Muslim.
Kerana, memperakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. bererti bersedia menjadikan Baginda sebagai uswatun hasanah (teladan terbaik) dalam segenap aspek kehidupan. Maka sudah tentu segala apa yang disabda dan dipraktikkan oleh Baginda s.a.w. menjadi satu set kod etika dan perilaku yang terbaik buat panduan kehidupan manusia.
Generasi pertama umat Islam telah diuji ketaatan dan keimanan mereka kepada Allah dan Rasul-Nya selama 13 tahun dengan berbagai ujian dan penyeksaan di Makkah.
Mereka telah membuktikan keteguhan aqidah masing-masing, walau pun terpaksa menanggung sengsara penyiksaan pemuka Quraisy sehingga ke peringkat mengorbankan nyawa sebilangan mereka.
Para sahabat yang mendapat keredhaan Allah itu tidak menukar iman mereka dengan dunia dan segala isinya. Sebab itu apabila Allah Ta’ala memerintahkan mereka supaya meninggalkan tanahair, keluarga dan harta benda yang mereka sayangi dan berhijrah ke Madinah, mereka tetap melaksanakan perintah Allah.
Sehinggakan ada di kalangan para sahabat yang demam dan meracau-racau lantaran terlalu rindukan tanahair yang ditinggalkan itu.
Seorang sahabat, Suhaib Ar-Rumi yang sempat membawa hartanya bersama, dikepung oleh kafir Quraisy di pertengahan jalan. Suhaib r.a. akhirnya menawarkan segala hartanya sebagai bayaran melepaskannya untuk terus berhijrah. Baginya, Allah Ta’ala dan Rasul-Nya adalah terlebih utama mengatasi segala hartanya.
Golongan muhajirin itu telah membuktikan bahawa aqidah yang ada di dalam diri mereka itu jauh lebih mahal daripada nyawa, harta benda dan segala nikmat yang lain. Siapa yang tidak cintakan tanahair? Siapa yang tidak sayangkan harta benda dan keluarga? Tapi, apalah ertinya hidup senang dengan kemewahan harta, keamanan tanahair atau kebahagiaan keluarga, kalau di masa yang sama aqidah, ibadah dan syariat tidak selamat dan tidak bebas diamalkan.
Melalui peristiwa hijratur Rasul, Allah Ta’ala telah mengiktiraf golongan Muhajirin dan Ansar sebagai umat Islam sebenar yang telah membuktikan keimanan mereka menghadapi ujian Allah s.w.t.
Kerana, iman itu tidak cukup sekadar mengikrarkan ‘akujanji’ keimanan, bahkan mestilah dibuktikan secara praktik, termasuk tabah menanggung segala cabaran demi mempertahankan keimanan itu.
Di pihak golongan Ansar pula, mereka dengan penuh rela telah menyerahkan tanahair Madinah untuk dijadikan tapak mendirikan negara Islam yang mendaulatkan syariat Allah.
Mereka telah menunaikan ikrar ‘akujanji’ mereka terhadap Baginda s.a.w. sebagaimana diterangkan di dalam hadith bermaksud: “Berjanjilah kepadaku untuk mendengar dan mentaati sama ada dalam keadaan rajin atau malas, menolong Islam dengan membelanjakan harta kamu sama ada kamu senang atau pun susah dan kamu berjanji akan melakukan tugas menyuruh kepada ma’aruf dan mencegah daripada perbuatan mungkar, berjanji akan berdiri tegak berjuang di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela, berjanji akan mempertahankan aku (Rasulullah) apabila aku datang kepada kamu sepertimana kamu mempertahankan keluarga dan harta benda kamu. Maka kamu akan beroleh balasan syurga”.
Hijrah dalam ertikata berpindah tempat tinggal sepertimana yang berlaku ke atas Rasulullah s.a.w. dan para sahabat itu telah pun tamat dengan Pembukaan Makkah.
Bagaimana pun, Baginda s.a.w. ada bersabda, maksudnya: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah daripada mendekatinya”.
Ertinya, hijrah dalam maknanya yang lebih luas termasuklah juga meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dan berpegang dengan apa yang diperintah-Nya.
Berhijrah meninggalkan amalan dan perangai yang buruk kepada amalan dan perangai yang baik adalah hijrah yang berpanjangan sehingga hari kiamat. Perangai meminum arak, bermain judi, melakukan kezaliman, memakan riba’ dan sebagainya adalah amalan buruk.
Sama ada disedari atau tidak, melakukan perkara-perkara tersebut sebenarnya telah meletakkan seseorang itu dalam keadaan ‘melanggar akujanji’ yang dibuatnya di hadapan Tuhan suatu ketika dahulu.
Sebuah kerajaan yang menyeru rakyatnya memperingati peristiwa Hijratur Rasul sudah tentu meletakkan aspek berhijrah daripada keburukan kepada kebaikan ini dalam agenda pemerintahannya.
Alhamdulillah, kita telah mengharamkan riba’ dalam pengurusan kewangan kerajaan, mengharamkan judi dan mengawal penggunaan arak. Kerana itulah yang bertepatan dengan ‘akujanji’ kita terhadap Rabbul Jalil.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 43, 22 Mac 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment