Oleh: Mohd Nasir Awang
SEORANG wartawan veteran sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini turut muncul di kaca televisyen memberikan komentar beliau mengenai polemik Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)-Penulis yang sedang hangat diperkatakan dewasa ini.
Seperti yang dijangkakan kemunculan beliau itu tiada beza sedikitpun dengan beberapa tokoh masyarakat lain yang turut ditemubual.
Kesemuanya menjurus kepada mengutuk tindakan PUM dan membela kebebasan para penulis yang dimaksudkan itu untuk menyuarakan pendapat.
Namun, mengambilkira latarbelakang beliau yang agak lama di bidang kewartawanan, komentar beliau yang tidak teliti dan out of context itu nyata mengecewakan para penonton khususnya rakan wartawan yang pernah mengenali beliau.
Pada 4 Februari lalu, PUM telah menyerahkan satu Memorandum memohon perkenan Majlis Raja-Raja Melayu bagi menghadap untuk perbincangan tindakan ke atas penulis-penulis dan media yang menghina Islam dan memperkecilkan Rasulullah s.a.w. serta ulama’.
Memorandum setebal lapan mukasurat itu turut menamakan beberapa penulis Islam beserta petikan tulisan-tulisan mereka yang disiarkan beberapa akhbar arus perdana.
Turut sama menandatangani memorandum tersebut ialah sembilan lagi NGO Islam negara ini.
Sepertimana yang pernah diutarakan seorang mufti, perbahasan mengenai isu ini secara jelas telah menyimpang daripada maksud asal memorandum tersebut. Semacam ada suatu kesepakatan di kalangan para pengamal media untuk mengalihkan fokus isu tersebut.
Perbicaraan bukan lagi ke atas sekumpulan penulis yang dianggap menghina Islam itu. Sebaliknya, PUM pula yang menjadi bahan kecaman dan balunan segenap saluran media.
Dalam ertikata yang lain, masyarakat sebagai ‘juri awam’ telah cuba dibentuk minda mereka agar menghukum PUM selaku pengadu atau pendakwa.
Manakala para penulis tersebut sebagai orang kena adu atau tertuduh dibela dan diberikan imej positif.
Agak kartun juga bunyinya. Kerana, episod seumpama ini selalunya hanya dapat kita tonton melalui filem-filem Bollywood. Memanglah tema kebanyakan filem Hindi adalah korupsi, putarbelit, kezaliman dan kuasa kebendaan.
Soal orang yang mengadu akhirnya mendapat hukuman, dan orang yang dituduh terlepas adalah paparan biasa dalam filem-filem mereka.
Tetapi kehidupan kita di ‘Negara Islam Malaysia’ ini bukan fiksyen atau lakonan filem. Ia adalah realiti. Kalau episod filem Hindi itu dirasakan agak kartun, maka tidak kurang kartunlah juga rakyat Malaysia hari ini!
Sebab itu, kita masih ingat bagaimana di akhir dekad 80-an dulu, tragedi yang hampir sama dengan apa yang menimpa PUM kini telah berlaku di dalam sistem kehakiman negara.
Bacalah May Day For Justice tulisan Tun Mohd. Salleh Abas. Di sana diperincikan satu-persatu kronologi pemecatan beliau sebagai Yang Arif Ketua HakimNegara. Punca utama adalah aduan beliau kepada ketua negara tentang perlakuan seorang perdana menteri yang terlalu banyak campurtangan dalam urusan kehakiman negara.
Akibatnya, beliau yang mengadu hilang kedudukannya sebagai peneraju badan kehakiman. Manakala sang perdana menteri yang kena adu itu terus juga menerajui negara.
Episod serupa turut menimpa penguatkuasaan syariah sedekad kemudian. Kita tentu masih ingat bagaimana sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menahan tiga wanita Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik telah mendapat kecaman berbagai pihak, sedangkan mereka hanya melaksanakan tugas menurut peruntukan undang-undang yang telah diluluskan oleh kerajaan mereka.
Lebih malang lagi, apabila Dato’ Mufti Selangor bersuara menyokong tindakan para pegawai tersebut, beliau turut dikecam pelbagai pihak termasuk para pembesar negara.
Bahkan, beliau telah ditamatkan kontrak perkhidmatannya sebagai mufti. Sekali lagi, orang yang mengadu dihukum dan orang kena adu dibela. Kan kartun bunyinya tu?
Apa yang jelas, dunia hari ini semacam bersepakat melayan Islam secara yang sangat tidak adil. Kebebasan hanya dicanangkan untuk melawan sesuatu hukum atau peraturan Islam.
Sebaliknya, kebebasan bagi umat Islam untuk mengamalkan Islam atau menguatkuasakan peraturan Islam tidak pula dianggap sebagai suatu yang perlu diberikan ruang.
Dalam hal ini, apakah para penulis itu saja yang ada kebebasan untuk menulis apa sahaja yang mereka mahu? Apakah PUM, sebagai sebuah badan Islam tidak mempunyai hak dan kebebasannya untuk mengemukakan pandangan mereka tentang apa yang betul dan salah mengenai Islam?
Dan lebih utama lagi, apakah semata-mata di atas nama kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat, maka Islam layak dan boleh dihina termasuk oleh para penganutnya sendiri?
Islam adalah hak semua penganutnya. Menjadi hak setiap peribadi yang bernama Islam untuk melaksanakan ajaran Islam dan mempertahankan kesuciannya. Maka kebebasan menyuarakan pendapat mengenai Islam mestilah ada batasnya.
Jangan sampai kebebasan itu disalahgunakan untuk menceroboh dan menghina kebebasan umat Islam lain. Sepertimana yang lazim disebutkan oleh orang-orang Barat, your freedom ends where my nose begins.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 44, 8 April 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment