Oleh: Mohd. Nasir Awang
DATO’ Seri Tuan Guru Menteri Besar buat kesekian kalinya menegur sikap segelintir rakyat negeri ini yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga menyulitkan usaha kerajaan membantu golongan tidak berkemampuan.
Sambil menyifatkan sikap sebegitu sebagai ‘tidak bermaruah’, Tuan Guru juga melahirkan rasa kesalnya kerana ia turut membantutkan usaha kerajaan menangani masalah kemiskinan rakyatnya.
Awal bulan ini, Tuan Guru dilaporkan memetik satu contoh bagaimana seorang yang mampu memiliki kenderaan mewah tetapi masih menagih bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ibunya.
“Saya diberitahu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada anak yang datang bawa kereta Mercedes…bukan dia driver (pemandu), memang itu kereta dia. Marah (kepada JKM) kerana lambat beri bantuan kepada emaknya. Itu memalukan dan tak ada maruah”, kata Tuan Guru.
Kita masih ingat bagaimana program ‘pemutihan’ yang dilakukan kerajaan negeri terhadap senarai penerima bantuan kebajikan dan zakat tahunan telah menjadi isu yang hangat di awal pemerintahan dahulu. Berbagai pihak telah memanipulasi isu berkenaan bagi menaikkan sentimen kemarahan golongan terbabit terhadap kerajaan negeri.
Perkara itu serta-merta bertukar menjadi isu politik. Akibatnya, beberapa kumpulan rakyat dilaporkan ‘berhijrah beramai-ramai’ daripada pendirian politik yang pro-aspirasi kerajaan kepada sikap anti-kerajaan.
Sebagai sebuah pemerintahan yang tegak di atas asas memberikan keadilan sosio-ekonomi kepada rakyatnya, kerajaan negeri tidak dapat melarikan diri daripada berhadapan dengan golongan bermentaliti subsidi ini.
Itulah barangkali warisan pemerintahan dahulu yang paling bersebati di dalam masyarakat. Sebab itu usaha mengikis ‘mentaliti subsidi’ ini adalah amat menyulitkan.
Hampir 40 tahun rakyat negeri ini dibelai dengan didikan supaya bergantung harap kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Jangan dikatakan golongan miskin seumpama petani dan nelayan, atau yang tidak berkemampuan seperti ibu tunggal, anak yatim, orang tua dan hilang upaya, golongan berkeupayaan seperti peniaga, kontraktor mahu pun usahawan pun ‘dimanjai’ dengan pelbagai bentuk bantuan dan subsidi.
Apa yang jelas, checking mechanism seolah-olah tidak wujud dalam pemeritahan dahulu. Kalau pun ia wujud, prosedur dan dasar dalam mengesahkan maklumat pemohon bantuan itu amatlah kabur dan bersahaja.
Kita pernah menyebutkan dalam ruangan ini bagaimana penyelewengan ketara telah berlaku dalam pengagihan bantuan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di negeri ini. Hal itu didedahkan sendiri oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya bagi tahun 1997 lalu. Antara lain laporan itu menyebutkan: “Hasil daripada lawatan ke beberapa buah kampung yang penduduk-penduduknya menerima bantuan di bawah PPRT, didapati program ini tidak dilaksanakan dengan teliti. Maklumat peribadi dan pendapatan pemohon tidak ditapis dan disahkan kesahihannya. Ia semata-mata bergantung kepada perakuan ketua kampung atau penghulu. Mekanisme tertentu bagi menapis ketepatan maklumat tidak diwujudkan oleh Pejabat Daerah berkenaan. Oleh sebab itu terdapat kejadian bantuan diberi kepada individu yang bukannya daripada golongan ‘rakyat termiskin’.
Fenomena yang sama didapati berlaku terhadap penerima bantuan JKM. Antaranya ialah apa yang didedahkan oleh Tuan Guru sendiri.
“Pernah berlaku kita ambil tindakan (pemutihan) terhadap mereka yang ada kebun getah dan kelapa sawit atau berniaga di man-mana tetapi masih mendapat bantuan. Itu tidak patut kerana mereka ada alat untuk bekerja. Itu kita kena betulkan”, katanya.
Penelitian semula ke atas senarai penerima bantuan zakat tahunan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dua tahun lalu juga turut menemukan kita dengan fenomena yang serupa.
Pernah terdapat di dalam senarai berkenaan orang-orang yang diketahui umum sebagai ‘berkemampuan’. Antara mereka ada yang memiliki bot laut, ada yang mampu membeli kereta dan tidak kurang juga yang mempunyai sebilangan anak yang bekerja makan gaji. Bukan senang berhadapan dengan karenah mereka apabila nama mereka digugurkan daripada senarai penerima bantuan.
Agak sukar untuk dinafikan bahawa ‘kesilapan’ ini berlaku disebabkan tindakan ‘tangan-tangan politik’ pemerintahan lalu. Bukti terbaru ialah bagaimana tabiat serupa turut mewarnai pengagihan ‘duit raya’ baru-baru ini.
Bantuan diberikan kononnya atas nama membantu golongan miskin untuk menghadapi Idul Fitri. Malangnya, kita diberitahu bahawa mereka yang datang untuk menerima ‘duit raya’ itu ada yang memiliki kereta dan bekerja makan gaji.
Akhirnya ‘duit raya’ itu digunakan bukan untuk membeli baju raya anak-anak, tetapi untuk menukar aksesori kereta dan perabot rumah.
Mungkin di kalangan mereka beranggapan “ikut suka aku duit aku”. Tetapi mereka juga perlu ingat bahawa selagi mereka bergelar ‘rakyat Terengganu’ maka selagi itulah kerajaan negeri tidak terlepas tanggungjawab memperbetulkan kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi membebaskan mereka dari tabiat ‘tidak bermaruah’ sebegitu!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 39, 22 Januari 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment