Oleh: Mohd. Nasir Awang
SEORANG teman karib yang juga guru Bahasa Inggeris merungut mengenai pencapaian buruk para pelajarnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2001 yang baru diumumkan keputusannya bulan lalu. Bahkan, menurut beliau, negeri Terengganu terletak di tangga tercorot berbanding pencapaian negeri-negeri lain seluruh negara dalam mata pelajaran berkenaan. Namun ianya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan mengambilkira keputusan di tahun-tahun atau dekad-dekad yang sudah-sudah.
Cikgu itu menyebut tiga sebab utama mengapa para pelajar di negeri ini begitu lemah penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Pertama, kekurangan yang amat ketara guru mata pelajaran berkenaan (di seluruh negeri).
Bahkan, sebilangan daripada guru Bahasa Inggeris yang ada kini pun dikatakan asalnya bukan daripada mereka yang mengambil ‘option’ Bahasa Inggeris. Mereka sebaliknya ‘dipaksa’ oleh keadaan untuk bertukar ‘option’ daripada berbagai mata pelajaran pengkhususan asal. Sudah tentu guru-guru itu tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka tidak berupaya mengajarkan mutu berbahasa Inggeris yang terbaik.
Sebab kedua, menurut cikgu itu, ialah suasana kehidupan seharian masyarakat negeri ini yang kurang kondusif dan tidak konstruktif terhadap penggunaan Bahasa Inggeris. Kita pun akui hakikat bahawa tidak banyak ruang di negeri ini yang memungkinkan para pelajarnya mempraktikkan penggunaan bahasa itu dalam interaksi harian mereka.
Manakala sebab ketiga, dan yang dianggap paling mendukacitakan, ialah sikap para pelajar itu sendiri yang kurang berminat memahirkan penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris.
Sehinggakan sewaktu mata pelajaran Bahasa Inggeris diajarkan pun, mereka masih berdegil untuk menggunakan Bahasa Melayu. Kalau pun ada antara mereka yang memaksa diri bercakap Bahasa Inggeris, pelat sebutan Inggeris itu terlalu pekat ke-Terengganu-annya. Kata budak-budak, “bau budunya tak hilang”.
Fenomena yang disebutkan itu bukanlah suatu perkara baru. Ia mengingatkan kita kepada suatu peristiwa hampir 20 tahun lalu, sewaktu kita masih di kampus. Suatu hari seorang rakan sekampus yang juga dari Terengganu bercerita panjang lebar mengenai kehebatan aksi dalam sebuah filem yang baru ditontonnya.
Apabila kami bertanya apakah tajuk filem tersebut, ia menjawab dalam pelat Terengganu yang pekat, ‘A Meng Wih Degodegang’. Setelah dihalusi, barulah kami dapat menangkap rupa-rupanya yang dimaksudkannya ialah sebuah filem penyiasatan James Bond yang sedang popular waktu itu, iaitu ‘A Man With The Golden Gun’.
Kenangan manis itu mungkin hanyalah suatu kes yang terpencil dan tidak wajar digeneralisasikan atas kelemahan yang melanda para pelajar negeri ini sekarang. Namun, kalaulah seorang siswa yang hidup dalam suasana persekitaran yang sangat kondusif dan konstruktif terhadap penggunaan Bahasa Inggeris itu pun masih tidak berupaya menguasainya dengan baik, maka apalah yang dapat diharapkan daripada para pelajar kampungan di serata ceruk negeri ini?
Ditinjau dari segi sejarah, Bahasa Inggeris sebenarnya bukanlah suatu bahasa yang terlalu asing bagi masyarakat negeri ini. Sebab itu kita dapati begitu banyak perkataan Inggeris yang telah sekian lama di-Terengganu-kan sebutannya dan sering pula dipertuturkan dalam masyarakat. Misalnya, orang-orang tua kita memanggil guru atau cikgu sebagai ‘mastar’ yang diadaptasikan sebutannya dari perkataan ‘master’ dalam Bahasa Ingggeris.
Mereka juga menyebut ‘ajening’ untuk jurutera (dari perkataan ‘engineer’), ‘sabeyar’ untuk juruukur (surveyor), ‘sapbosiar’ untuk penyelia (supervisor), dan ‘polehpoh’ untuk Polis Hutan (Field Force).
Begitu juga dengan sebutan ‘merkit’ untuk pasar (market), ‘pasenjeng’ untuk penumpang (passenger), ‘sakar’ untuk gula (sugar), ‘segerik’ untuk rokok (cigarette) dan puluhan lagi istilah yang tiada upaya dicatat kesemuanya di sini.
Namun setakat ini hakikat sejarah itu terbukti tidak banyak memberikan kelebihan kepada para pelajar kita untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Mungkin ada benarnya apa yang diluahkan oleh cikgu tadi bahawa sikap para pelajar itu sendiri merupakan batu penghalang utama penguasaan mereka dalam bahasa itu.
Mereka tahu bahawa dunia era globalisasi dan teknologi maklumat (IT) kini tidak menjanjikan pekerjaan yang selesa untuk seseorang warga yang ‘buta Inggeris’. Kerana paling kurang pun mereka perlu celik IT dan celik computer.
Sedangkan bahasa komputer sedunia adalah Bahasa Inggeris. Malangnya mereka tetap endah tak endah untuk menguasai Bahasa Inggeris.
Barangkali ada baiknya minat untuk menguasai Bahasa Inggeris ini disemai sedari peringkat umur prasekolah lagi. Sebab itu barangkali sudah ada prasekolah berorientasikan Islam yang turut mengajarkan asas-asas pemahaman Bahasa Inggeris kepada muridnya.
Begitu juga kita diberitahu sudah ada sekolah menengah Islam di negeri ini yang menghantar para pelajar lepasannya ke kolej Islam di sebuah negara Eropah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantarnya.
Kita mengharapkan generasi inilah yang bakal menjana generasi ‘celik Inggeris’ di negeri ini.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil 38: 8 Jan 2002 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment