Oleh Mohd. Nasir Awang
BUAT kesekian kalinya Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan ulama’ menganjurkan majlis solat hajat lagi. Seingatan kita, majlis kali ini bukanlah yang kedua atau ketiga seumpama itu yang pernah diadakan.
Seawal pemerintahan dahulu, pihak kerajaan pernah menganjurkan majlis solat hajat sempena genap 100 hari usia kerajaan baru. Tidak lama selepas itu, berlaku tragedi rompakan ke atas royalti hasil petroleum milik rakyat Terengganu. Kita sekali lagi diajak bersolat hajat agar Allah membuka hati para perompak itu untuk mengembalikan hak kita.
Rakyat juga pernah diminta bersolat hajat sempena Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Tuanku Al-Sultan. Kita juga bersolat hajat bersempena dengan ulangtahun pertama pemerintahan kerajaan baru, di samping turut bersolat hajat memohon kesejahteraan seluruh rakyat bersempena sambutan ulangtahun Hari Kemerdekaan negara.
Berbeza dengan majlis-majlis terdahulu itu, solat hajat terkini yang dianjurkan Kerajaan Negeri tidak melibatkan kepentingan rakyat atau Kerajaan Negeri secara khusus.
Ia dianjurkan bagi menzahirkan kebersamaan kita sebagai umat Islam dengan saudara-saudara seagama di bumi Afghanistan. Bumi yang belum pun sempat keluar dari kecelakaan bikinan satu kuasa mustakbirin, kini dicelakakan lagi oleh kerakusan sebuah kuasa mustakbirin kuffar yang lain pula.
Bumi yang kini dihujani peluru, disirami darah dan dibasahi airmata umat Islam.
Kita diajar bahawa setiap mukmin dengan mukmin yang lain adalah bersaudara. Bahkan, Rasullullah SAW di dalam hadithnya ada membandingkan perihal ikatan persaudaraan sesama mukmin itu ibarat anggota pada satu tubuh. Andainya satu anggota terasa sakit, segala anggota di seluruh tubuh itu turut merasai sakit.
Ada pun cara setiap anggota merasai kesakitan itu adalah berbeza mengikut tabi’e dan kadar masing-masing. Katakanlah yang sakit itu kaki. Maka tangan yang mampu menggapainya sudah tentu akan mengusap atau memicitnya. Tatkala mata menitiskan airmata, mulut pula sama ada menangis atau meminta pertolongan.
Begitulah juga dengan dunia Islam hari ini. Ketika sebuah negara umat Islam diserang, sudah tentu ada negara-negara yang berupaya bertindak sebagai tangan. Ada juga yang hanya mampu menjadi mata. Manakala yang selebihnya menjadi mulut. Sama ada yang mengisytiharkan kutukan terhadap serangan itu, atau pun mendoakan kekuatan dan kemenangan kepada saudara seagama di sana.
Sebagai umat Islam, kita diajar untuk sentiasa mengadukan hal kepada Allah Ta’ala. Wa imma di dalam menghadapi perkara kecil, mahupun yang besar. Seorang Islam mestilah sentiasa ingat kepada pesanan Al-Quran, yang sekira-kiranya bermaksud ‘hanya Engkau yang kami sembah dan hanya Engkau tempat kami meminta pertolongan’.
Di dalam ayat yang lain, Allah SWT mengingatkan pula umat Islam agar meminta pertolongan kepada-Nya dengan berlaku sabar dan bersolat. Manakala di tempat yang lain pula Dia menyuruh kita agar berdoa kepada-Nya, dengan janji nescaya Dia akan menjawab doa kita.
Perkara-perkara sebeginilah nampaknya kurang difahami sebilangan umat Islam di tanah air kita. Antara mereka, ada yang langsung tidak mengambil hirau tentang apa yang sedang berlaku di Afghanistan. Ada pula yang mengambil tahu, tetapi tidak mahu melibatkan diri secara serius. Kononnya hal itu termasuk di dalam pantang-larang mencampuri urusan negara orang lain.
Mereka ini seolah-olah tidak pernah tersua atau disuakan dengan hadith-hadith berkaitan ikatan persaudaraan Islam.
Bahkan, mungkin mereka ini akan melenting jika dikatakan bahawa Rasullullah s.a.w. ada bersabda, “Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, dia bukan dari kalangan kita (orang Islam)”.
Kita juga pernah terdengar pihak yang merungut tentang kekerapan kita menganjurkan solat hajat. “Sikit-sikit solat hajat! Buat menyusahkan Tuhan saja!”, kata mereka.
Barangkali, mereka ingat Tuhan itu macam makhluk yang tertakluk kepada penat, susah, sibuk dan lemah. Astaghfirullah al-Aziim!
Lebih menyedihkan lagi ialah peranan segolongan ilmuan Islam yang secara terang-terangan menafikan kewajiban umat Islam berjihad menentang kuasa kuffar.
Mereka cuba memesongkan perhatian umat Islam kononnya peperangan yang sedang berlaku itu adalah di antara Islam sesama Islam, iaitu antara puak Taliban menentang Pakatan Utara.
Logiknya, apabila peperangan itu antara satu puak Islam dengan puak Islam yang lain, sudah tentu ia tidak boleh dianggap sebagai jihad.
Mereka ini seolah-olah telah dibutakan mata dan dipekakkan telinga oleh Allah untuk melihat bahawa yang sedang mengebom dan membedil bumi Afghanistan itu ialah Amerika Syarikat (AS), sebuah kuasa mustakbirin kuffar.
Manakala yang bergelimpangan di sana ialah mayat-mayat umat Islam. Sepatutnya, dalam keadaan umat Islam menjadi mangsa serangan ganas kuasa kuffar, umat Islam yang lain mengambil kesempatan untuk bersatu.
Manakala tanggungjawab mendoakan keselamatan dan kemenangan umat Islam di sana tidak sepatutnya diletakkan kepada pihak-pihak atau parti-parti tertentu sahaja kerana persaudaraan Islam itu tidak ada batas sempadannya.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, Bil 34: 22 Oktober 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk 'Afghanistan bumi Islam dihujani peluru, disirami darah, dibasahi airmata')
No comments:
Post a Comment