IMAM Haji Ngah betul-betul rasa tersinggung. Tersinggung bercampur kecewa. Malah, rasa malu pun ada. Belum pernah, dalam sejarah perkhidmatannya sebagai seorang imam selama lebih 20 tahun, dia berasa begitu kecil hati dengan seseorang seperti sekarang ini. Belum pernah, dia begitu kekok dan teragak-agak nak melaksanakan sebarang permintaan ahli qaryah atau arahan pihak atasan sebelum ini. Tapi, kali ini dia kekok betul. Kekok bercampur malu. Malah, geram dan sakit hati pun ada!
Segala-galanya berpunca dari sepucuk surat. Surat yang baginya tidak layak ditujukan kepada seorang imam masjid daerah macam dirinya. Lebih tidak patut lagi, surat itu datang dari seorang bekas wakil rakyat yang selama ini agak rapat dengannya. Seorang yang terkenal dermawan, yang menjadi jaguh apabila bercakap soal agama. Seseorang berkelulusan tinggi dalam Pengajian Islam pulak tu.
“Sila alihkan kerusi ini ke dalam (berhampiran tangga mimbar) supaya tidak dapat digunakan oleh orang yang tidak berkenaan”, begitulah bunyi bait terakhir surat dari pembantu peribadi Dato Kurnia Ungkit Haji Baitulmal Saham Bin Haji Ehsan.
Surat yang semacam menjadi puaka bagi karier Haji Ngah sebagai imam. Puaka bukan kerana ia menggugat periuk nasi Imam Ngah. Bukan juga kerana surat itu mensabitkan ketidakpuasan hati pihak atasan terhadap mutu perkhidmatan beliau sebagai imam.
Surat itu semacam puaka kerana bait-bait di dalamnya penuh dengan pameran perwatakan sebenar Dato’ Baitulmal. Perwatakan yang suka menyohor segala kebaikannya, yang suka mengungkit segala jasanya. Bahkan semacam ada unsur balas dendam terhadap rakyat yang tidak memilihnya semula dalam pilihan raya lalu.
Sedangkan Dato’ Baitulmal tidak begitu orangnya. Haji Ngah bukan setahun dua ini kenal Dato’ Baitulmal. Dato’ soft-spoken orangnya, mudah dibuat kira-bicara dan sangat suka menolong orang. Pantang diundang, Dato’ akan hadir.
Hatta, bila kumpulan rock meminta beliau hadir membaca doa selamat di majlis pelancaran konsert mereka pun, Dato’ Baitulmal rela mengenepikan soal halal-haram yang dipelajarinya bertahun-tahun di Timur Tengah dulu. Dato’ mampu berlabuh di kerusi dhif, sambil melemparkan senyuman memerhatikan anak-anak muda terlalak-lalak dan terloncat-loncat di hadapannya diiringi muzik rock yang membingitkan.
Haji Ngah ingat betul insiden itu, sebagai bukti ‘kemurahan hati’ dan ‘mudah berkira’ Dato’ Baitulmal! ‘Liberal and open minded’, kata budak-budak sekarang!
Sebab itu Haji Ngah terkejut besar dan hampir tidak percaya apabila membaca isi surat berkenaan. Berkali-kali diulang bacanya surat berkenaan. Dia bimbang, takut-takut tersilap faham, atau tertinggal mana-mana baris ayat surat itu. Akhirnya, sebaris demi sebaris ayat dalam surat itu terlekat di ingatannya.
“Adalah dimaklumkan bahawa kerusi khas bagi kuliah agama di Masjid Daerah Antah Berantah ini adalah sumbangan peribadi Dato’ Kurnia Ungkit Haji Baitulmal Saham Haji Ehsan untuk diduduki oleh orang-orang tertentu sahaja bagi mengadakan kuliah agama.
“Oleh yang demikian, suka saya maklumkan iaitu pihak penyumbang kerusi ini tidak suka dan tidak menghalalkan mana-mana pihak yang tidak berkenaan menduduki kerusi ini”.
Haji Ngah benar-benar hafal sepatah demi sepatah ayat-ayatnya. Bahkan, terbayang jelas dalam benaknya ayat ”tidak suka dan tidak menghalalkan mana-mana pihak yang tidak berkenaan menduduki kerusi ini”, sengaja dihitamkan oleh penulisnya.
“Allah Ya Karim! Apa, dia ingat ana ni rabun ke? Tak hitamkan pun ana boleh faham apa dia nak!”, bentak Haji Ngah sambil menghirup kopi panas di warung Haji Useng selang beberapa hari selepas menerima surat itu. Ustaz Sulong, Cikgu Deramang dan Haji Sahak yang sedang minum bersamanya turut ketawa kelucuan.
“Kalau macam tu, kita panggil dia Dato’ Kerusi lah pula! Macamana?”, sambung Cikgu Deramang pula, disambut deraian tawa besar sekalin yang hadir.
Ustaz Sulong menepuk-nepuk meja tanda setuju, sambil ketawa terbahak-bahak. Haji Sahak yang gedempol itu pula jelas bergegar-gegar badannya dicuit hatinya yang geli.
Suasana di warung Haji Useng petang itu bagaikan tersumbat dengan cerita kerusi Dato’ Baitulmal sahaja. Isu-isu lain bagaikan tak laku petang itu.
Ustaz Yayor yang berada di meja bersebelahan mereka dan mengikuti penerangan Haji Ngah sejak tadi, menggeleng-gelengkan kepala, turut berkongsi kelucuan pada petang itu.
Pak Su Kadir yang terkenal gedebe orangnya, terus menepuk meja melepaskan geram. Seperti Haji Ngah, Pak Su Kadir juga rasa malu dengan tindakan seorang pemimpin bertaraf ulama’ itu. Sambil angkat punggungnya, mulutnya merungut-rungut”, “inilah barangkali yang orang sebut jenis ulama’ belakang parang ni!”
Sekalian yang hadir, yang sudah lumrah dengan tabiat gedebe Pak Su Kadir itu hanya tersengeh melihat dia berlalu. Cuma Ustaz Sulong yang sempat mengusik, “sabar Pak Su, sabar! Jangan pulak esok ada cerita orang tua bakar kerusi di masjid kampung kita ni!”. Satu usikan yang penuh cabaran sinis bercampur kelucuan.
Berderai lagi hilai tawa sekalian yang hadir. Ustaz Sulong tambah kerap menepuk-nepuk meja melepaskan kelucuan hatinya. Haji Useng yang sedang membancuh teh turut ternganga-nganga, sehingga ternampak giginya yang rongak di sana sini.
Haji Sahak pula makin kuat gegaran badannya, hingga bergenangan air di kelopak matanya lantaran terlalu geli hati.
“Dah tu, Ayah Haji cadang nak buat macamana dengan kerusi itu?”, sambung Haji Useng pula, setelah hilai tawa itu agak reda. Secawan teh yang ditatangnya dihulurkan kepada Penghulu Derosid yang baru seketika berlabuh di situ.
“Huh! Kami di masjid dah sepakat. Bukan setakat kerusi, semua peralatan yang didermakan oleh Dato’ Baitulmal...”
“Bukan Dato’ Baitulmal! Dato’ Kerusi...!”, celah Penghulu Derosid pantas, sebelum sempat Haji Ngah menghabiskan ayatnya. Sekali lagi warung itu gegak gempita dengan derai tawa setiap yang hadir.
“Semua benda yang diberi oleh Dato’ Kerusi kita dah kumpulkan setempat. Kita akan serah balik pada dia”, sambung Haji Ngah dengan nada agak serius.
“Banyak ke barang-barang yang dia beri tu?”, tanya Ustaz Sulong pula.
“Ooi, boleh tahan jugaklah!”, jawab Haji Ngah pantas. “Itu, jam besar yang terpacak kat depan tu. Dialah yang bagi tu! Kemudian, dua kipas angin dinding, empat rak kayu tempat letak surah Yaasin di tepi tiang. Hah, sekarang semua benda tu kita dah alihkan.”
“Habis tu, bila pula Tuan Imam cadang nak buat “Majlis Penyerahan Kembali Kerusi” tu?”, tanya Cikgu Deramang pula.
“Tak tahulah. Kita dah minta pihak Dato’ Baitulmal datang ambil balik, bila-bila masa dia suka”, jelas Haji Ngah secara jujur. Air mukanya tergambar kesayuan bercampur kecewa.
“Eh! Tak boleh macam tu Ayah Haji! Kena tentukan tarikh dulu. Karang, barulah senang Penghulu Derosid nak datang bawa kamera ambil gambar kenangan peristiwa bersejarah tu!”, tambah Ustaz Sulong, dengan nada mengusik juga.
Berderai lagi tawa sekalian yang hadir. “Dan saya pula akan contact pemberita surat khabar. Biar gak masuk surat khabar sekali cerita kampung kita ni!”, sambung Haji Sahak pula, disambut sorakan lain-lain di situ.
“Elok benar tu! Biar orang seluruh negara baca “Penduduk Antah Berantah serah kembali kerusi kepada Dato’ Baitulmal yang hilang kerusi dalam pilihan raya lalu. Kan sedap bunyi cerita tu!”, Ustaz Yayor yang sejak tadi sekadar tersenyum tiba-tiba turut tergerak hati mencelah dengan nada sinis dan lucu. Sekalian yang hadir, termasuk Haji Ngah sendiri, ketawa lagi.
Hari sudah pun hampir Maghrib apabila mereka masing-masing angkat punggung dari warung Haji Useng petang itu.
“Entahlah Dato’, nasib engkau nak dapat gelaran baru... Dato’ Kerusi!", getus hati kecil Haji Ngah sambil keretanya menyusuri pagar Masjid Daerah Antah Berantah, untuk meneruskan tugas hariannya.
(Cerpen ini disiarkan buletin Al-Balagh, 31 Oktober 2001, terbitan Lajnah Penerangan PAS Negeri Terengganu dengan tajuk sama. Ia turut disiarkan makalah isu Tarmizi Mohd Jam dengan tajuk "Kerusi". Cerita ini berdasarkan kisah benar yang berlaku di salah sebuah masjid daerah di Terengganu, beberapa bulan selepas kekalahan Barisan Nasional. 'Datuk' yang dimaksudkan pula 'hilang' kerusi Parlimen disandangnya).
No comments:
Post a Comment