Oleh: Mohd. Nasir Awang
BELUM pernah berlaku dalam sejarah dunia moden sebuah kuasa besar dunia dimalukan di dalam negaranya sendiri. Namun, itulah nampaknya yang telah menimpa Amerika Syarikat (AS) pada 11 September lalu, tarikh hitam yang telah menempelak keegoannya selama ini.
Sebagai kuasa besar dunia, AS di dalam banyak hal sering bertindak ‘ikut suka aku’. Lebih-lebih lagi dengan keruntuhan Empayar Soviet Union lebih sedekad lalu, AS merasakan dialah satu-satunya kuasa besar tunggal di dunia ini.
Dalam banyak hal AS sentiasa memperlihatkan dirinya sebagai ‘polis dunia’ yang bebas menentukan siapa benar dan siapa salah dalam semua konflik. AS sering berlagak sombong dalam sikapnya sama ada untuk menyerang atau mempertahankan mana-mana pihak.
Seperkara yang jelas, dalam percaturan kuasa antara AS dan pencabar-pencabarnya, yang menjadi padang jarak padang tekukur ialah negara-negara berkenaan. Belum pernah walau sekali pun dalam sejarah terdekat ini negara AS sendiri yang menjadi medan pertempuran.
AS hanya tahu menyerang dan manghancur-lumatkan negara orang. Manakala rakyatnya sendiri hanya menjadi penyokong atau penonton kekejamannya dari kejauhan.
Sejarah kekejaman dan kezaliman AS terhadap masyarakat dunia terlalu panjang. Seolah-olah AS tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian dalam sebarang konflik di mana-mana negara di serata dunia.
Panama dan Nicaragua di Amerika Tengah, Vietnam dan Laos di Indochina, Palestin, Lubnan, Yemen, Iraq dan Iran di Asia Barat serta puluhan lagi negara telah menjadi medan tempur bala tentera AS.
Bagi memudahkan pelaksanaan agenda ‘busy body’ nya itu, AS berbelanja besar juga bagi menempatkan tenteranya di beberapa negara sepanjang masa. Ia ada di Jepun, di Filipina dan di pulau Singapura.
Ada juga di Croatia, Turki, Jerman dan beberapa negara lagi. Dengan kekuatan dan kehebatan bala tenteranya itu, AS merasakan dirinya tidak mungkin dapat dikalah atau dimalukan oleh mana-mana pihak.
Itulah bahayanya orang yang merasakan dirinya terlalu berkuasa! Kekuasaaan dan kekuatan itu telah menghasilkan rasa ego dan manggak yang keterlaluan. Dan, demi mempertahankan keegoan itu, ia sanggup melakukan apa sahaja, termasuk melemparkan tuduhan dan sangkaan melulu kepada pihak lain.
Seringkali apabila terdesak, Islam akan menjadi scapegoat (kambing hitam). Islam sering digambarkan sebagai agama yang menggalakkan keganasan dan suka berperang. Sheikh Omar Abdul Rahman yang buta itu, Sheikh Ahmad Yassin (Hamas), Saddam Houssein (Iraq) dan Osama Bin Laden adalah antara pemimpin Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan.
Kenaifan dan ketidaksepakatan di kalangan negara-negara umat Islam di dunia ini memudahkan lagi kerja-kerja mengkambing-hitamkan Islam ini dilakukan.
Sebab itu, apabila sebuah bangunan pentadbiran di Oklahoma City, AS, dibom beberapa tahun lalu, seluruh dunia begitu cepat menuding jari kepada kumpulan militan Islam.
Belumpun sempat mana-mana badan penyiasat memulakan tinjauan, konklusi itu telah pun dibuat. Tahu-tahu seorang warga AS sendiri, yang tidak ada langsung kaitannya dengan Islam, mengaku melakukan keganasan itu.
Islam tidak pernah mengajar umatnya berlaku ganas, zalim, kejam atau menindas. Maka, adalah sangat tidak adil untuk mana-mana pihak menilai Islam berdasarkan perilaku para penganutnya. Kerana, di kalangan penganut Islam itu sendiri, terlalu ramai yang tidak berperilaku sebagaimana yang sepatutnya yang diajarkan oleh Islam. Sebaliknya, ramai juga yang memilih untuk melakukan perkara-perkara yang langsung tidak diajarkan oleh Islam.
Misalnya, Islam tidak pernah mengajar bahawa merompak itu halal. Tetapi, yang melakukan kerja merompak royalti minyak milik kerajaan Terengganu itu adalah jiwa-jiwa yang mengaku Islam belaka.
Mereka tidak ada sedikit pun rasa malu melakukannya secara terang-terangan. Dengan itu, bolehkah Islam ini dicap sebagai agama untuk para perompak?
Islam juga tidak mengajar umatnya untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa tanpa perbicaraan atau pertimbangan waras. Kerana di sisi Allah Ta’ala nyawa seorang Muslim itu lebih berharga daripada dunia dan seluruh isinya.
Malangnya, dalam Peristiwa Memali pada akhir tahun 1985 lalu, 14 orang awam terkorban. Sedangkan hingga kini belum dapat dibuktikan di mahkamah apakah kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan sehingga melayakkan mereka dibunuh.
Kita sedar bahawa ada ketikanya wujud perjudis yang luarbiasa di sesetengah kalangan terhadap apa sahaja yang menyangkuti Islam. Sebut sahaja kalimah Islam, semacam ada suatu fobia bagi mereka. Lebih menyedihkan, salah sangka ini tidak hanya berlaku di kalangan bukan Islam, tetapi juga membabitkan orang Islam sendiri.
Mereka memomokkan Islam dengan berbagai kejahatan, keganasan, keburukan dan kelemahan. Apakah Islam ini memang begitu rupanya?
Apapun yang mereka katakan, sebenarnya jauh di lubuk hati para pemimpin dunia sudah ada kesedaran bahawa Islam mampu menggugat kekuasaan dan keegoan mereka. Serakah mempertahankan kuasa dan ego itulah sebenarnya yang telah mengakibatkan kacau-bilau dan huru-hara di dunia kini.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 32, 22 September 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment