Oleh: Mohd. Nasir Awang
SEORANG ahli keluarga, yang menjadi pegawai tadbir di sebuah pejabat pihak berkuasa tempatan, suatu hari merungut soal tabiat orang ramai membuang sampah merata-rata.
Katanya kepada kita: “Tak boleh ke educate sikit orang tempat demo tu, minta jangan buang sampah di luar tong? Payah lori kita nak angkut, makan masa!”
Selang tidak berapa hari selepas itu, dalam Buletin Utama di kaca TV, seorang wartawan terkenal tanahair juga tampil melaporkan masalah sampah. Siapa tidak kenal dengan Karam Singh Walia, seorang wartawan yang berani dan dedikasi dalam mendedahkan kes-kes pencemaran alam sekitar.
Berdasarkan namanya, kita boleh katakan bahawa beliau bukannya seorang yang beragama Islam. Tetapi, di dalam laporannya pada malam itu, Karam Singh telah membuat kesimpulan yang sangat menarik.
Beliau mengakhiri laporannya di Kota Bharu itu dengan berkata lebih kurang begini: “Tanggungjawab menjaga kebersihan kini bukan terletak kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sahaja. Ia merupakan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap anggota masyarakat, lebih-lebih lagi bagi orang-orang yang beriman.”
Nah! Apakah ‘orang-orang yang beriman’ tidak terusik hati mendengar teguran tersebut diungkapkan oleh seorang bukan Islam?
Hakikat kebersihan yang tidak terjaga atau tabiat membuang sampah merata-rata ini sememangnya amat memalukan. Lebih-lebih lagi, sebagai seorang yang beriman, kita diajar oleh Islam tentang perkara itu. Bukankah Rasulullah s.a.w. ada bersabda, “kebersihan itu sebahagian daripada iman?”
Seorang pelancong dari Kuala Lumpur yang datang bersama keluarga untuk bercuti di Pulau Redang juga turut menyentuh soal kebersihan di Terengganu.
Sekembalinya ke KL beliau manulis kepada sebuah akhbar tempatan menceritakan pengalaman manis selama bercuti menikmati keindahan panorama semulajadi di bumi bertuah ini.
Di samping itu, beliau juga turut mencatatkan beberapa perkara yang mencacatkan keindahan percutiannya itu. Antaranya ialah tentang kebersihan di Pasar Kedai Payang sebagai tempat kunjungan para pelancong membeli-belah.
Beliau juga menulis tentang perjalanannya dari Lapangan Terbang Kuala Terengganu ke Merang (jeti ke Pulau Redang) melalui beberapa buah kampung. Beliau menggambarkan, ‘rumah-rumah usang dengan suasana sekitarnya yang bersepah-sepah amat menyakitkan mata memandang’. Komentarnya itu ditatap oleh pembaca seluruh Negara.
Kita bukan mahu menbicarakan soal ‘rumah-rumah usang’ itu di sini. Kerana, mungkin bagi orang luar Terengganu, ianya amat menyakitkan mata. Tetapi, bagi kita anak negeri ini, ‘rumah-rumah usang’ itu sebenarnya adalah lambang ‘pembelaan’ yang rakyat perolehi daripada kerajaan yang selama 38 tahun memerintah negeri yang kaya ini.
Lagi pun, bukan semua destinasi pelancongan utama dunia dihiasi rumah-rumah banglo atau chalet dan kotej yang indah-indah. Pulau Bali, Hawaii dan penempatan orang-orang asli yang sering dikunjungi pelancong sudah tentu bukan semuanya dipenuhi rumah-rumah yang indah.
Tetapi, soal ‘suasana sekitarnya yang bersepah-sepah’ adalah suatu hal yang lain. Betul, rumah kita adalah usang dan kelam. Apa nak buat, itu sahaja yang kita mampu bina. Tetapi, membiarkan sampah dan kotoran bersepah dan menyemakkan kawasan sekitar sebenarnya tambah mengusang dan mengkelamkan lagi kampung kita.
Seorang wakil rakyat, di awal-awal kemenangannya dahulu, sering membangkitkan soal kebersihan di dalam beberapa siri ucapannya di kampung-kampung. Beliau menegur sikap masyarakat yang tidak ambil berat soal kebersihan tandas awam termasuk di masjid dan surau.
Sehinggakan di beberapa tempat yang beliau kunjungi, ‘aroma’ tandas itu kadang-kadang menusuk hidung para jemaah yang bersolat. Begitu juga dengan tabiat masyarakat yang membuat reban ayam-itik atau lembu-kambing di bawah rumah. Malangnya, teguran beliau itu telah mengundang kontroversi, dan dianggap soal remeh-temeh.
Kita pernah sebutkan bahawa usaha mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan sesuatu kebiasaan yang sudah menjadi tabiat. Sebarang usaha mengubahnya menuntut langkah yang cermat dan tabah, kerana ia berkemungkinan mengundang kontroversi dalam masyarakat. Kerana, kerja yang paling payah ialah bagi mengubah persepsi yang dianggap ‘kebiasaan’ untuk menjadikannya bertepatan dengan tuntutan agama.
Mungkin, bagi pihak berkuasa tempatan, pelbagai pendekatan telah dilakukan untuk menangani masalah kebersihan ini. Sebab itu pegawai tadbirnya meminta kita educate masyarakat pula. Kerana bagi beliau, dan bagi kita juga, masalah kebersihan ini banyak mempunyai kaitan dengan sikap dan tabiat penduduk setempat.
Adakalanya tindakan tegas termasuk mengenakan denda yang berat bagi kesalahan membuang sampah merata-rata dapat membantu mendisiplinkan masyarakat. Mungkin juga kempen secara besar-besaran dengan kerjasama semua pihak, perlu diadakan dari masa kesemasa bagi menimbulkan kesedaran sivik dan kebersihan di kalangan masyarakat.
Harap-harapnya kita tidak akan tunggu Karam Singh datang membuat laporan di tempat kita, barulah kita bersegera nak bertindak!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 25, 8 Jun 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment