Oleh: Mohd. Nasir Awang
DI DALAM ucapannya di Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Seluruh Malaysia yang diadakan di Putrajaya pada 8 Mei lalu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad secara terbuka menegur ‘sikap sesetengah pegawai daerah yang melengah-lengahkan pengeluaran perbelanjaan pembangunan atau membayar kontraktor sehingga menyebabkan projek yang dirancang tergendala’.
Menurut laporan akhbar, Perdana Menteri turut berkata: “Kita hendak menentukan seboleh-bolehnya projek yang dirancang tahun ini, ia kena dilaksanakan dan disiapkan tahun ini juga. Ia perlu mengikut jadual dan prosedur yang tepat”.
Hampir seminggu kemudian, ingatan yang sama turut dituturkan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada ketua-ketua jabatan dan agensi Persekutuan di Terengganu.
TPM dilaporkan mengingatkan para pegawai berkenaan ‘agar pembayaran kepada kontraktor atau pembekal mesti dibuat dengan cepat dan tidak menampakkan ia sengaja dilengah-lengahkan.”
Katanya: “Ia perlu kerana apa yang dilaksanakan oleh kontraktor atau pembekal dijalankan mengikut jadual dan menepati spesifikasi.”
Tidak dapat dipastikan sejauh manakah yang diucapkan oleh TPM itu turut terpakai sama bagi ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri ini. Apa yang jelas, ucapan PM di Putrajaya yang juga menekankan persoalan yang sama sememangnya ditujukan kepada para pegawai daerah dari negeri ini. Kerana, kita dimaklumkan bahawa mereka turut menerima undangan ke persidangan berkenaan dan Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri telah memberikan keizinan kepada para pegawai itu menghadirinya.
Terdapat dua penegasan utama yang sama-sama diutarakan oleh kedua-dua pemimpin tersebut di dua majlis berasingan itu. Pertama, soal pengeluaran perbelanjaan atau pembayaran yang dilengah-lengahkan. Manakala soal kedua ialah pelaksanaan projek pembangunan mengikut jadual.
Tanpa hipokrit, perlulah diakui bahawa PM telah banyak berjasa kepada pembangunan negara ini. Justeru, saranan atau apa jua teguran beliau membabitkan pelaksanaan pembangunan negara dilihat sebagai manifestasi kesungguhan beliau untuk melihat kejayaannya. Dan, sebagaimana yang beliau sendiri akui, sebarang pelaksanaan projek pembangunan pasti sukar disempurnakan mengikut jadual sekiranya berlaku kelengahan di dalam penyaluran perbelanjaan.
Agak melucukan juga, kerana apa yang diakui PM itulah sebenarnya antara punca utama yang mengeruhkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Pusat selama ini. Puluhan, malah ratusan, projek pembangunan yang telah dirancangkan Kerajaan Negeri gagal dilaksanakan mengikut jadual. Semuanya sama ada disebabkan penarikan balik peruntukan yang telah diluluskan, ataupun pembayaran geran wajib yang sengaja dilengah-lengahkan.
Kita percaya PM dan sekalian yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan tersebut menyedari hakikat yang wujud ini. Jadi, kita tertanya-tanya, kepada siapakah sebenarnya kenyataan PM itu patut ditujukan?
Menurut sumber Kerajaan Negeri, beberapa peruntukan pembangunan (sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman) dari Kerajaan Pusat tidak disalurkan mengikut jadualnya bagi tahun 2000 lalu. Antaranya ialah, peruntukan perumahan kos rendah dan perparitan, yang langsung tidak diberikan.
Manakala peruntukan bagi projek Keindahan Bandar pula, Kerajaan Negeri telah menerima sebanyak (sedikit sebenarnya!) RM505,000, iaitu hanya 26.5 peratus daripada peruntukan asal yang telah diluluskan untuk tahun 2000 yang berjumlah RM1,907 juta. Kekurangan pembiayaan tersebut termasuklah penarikan balik Waran Peruntukan Penyelenggaraan Landskap 2000 yang berjumlah RM470,000.
Kita juga pernah dimaklumkan tentang belasan projek perumahan yang sebilangannya telah pun bermula pembinaannya, tetapi dibatalkan oleh Kerajaan Pusat. Manakala penafian peruntukan pembangunan RM500,000 setahun untuk setiap ahli parlimen pembangkang telah dimaklumi sebagai tradisi pemerintah negara ini.
Perlu disebutkan juga bahawa tragedi ‘rompakan’ royalti petroleum adalah satu lagi contoh ketara tindakan Kerajaan Pusat “menghalang pembayaran”. Akibatnya, ratusan projek pembangunan untuk kebaikan rakyat telah tergendala. Rakyat yang sepatutnya mengecapi hidup yang lebih selesa telah dinafikan peluang berkenaan.
“Jika ini berlaku ia amat mendukacitakan. Kelulusan tanah untuk pelaksanaan projek adalah demi kebaikan rakyat. Jika ia tergendala, yang merasai kerugian adalah rakyat. Apa yang kita boleh buat jika ia sengaja dilengah-lengahkan,” itu kata Dato’ Seri TPM mengulas kelewatan kelulusan tanah oleh Kerajaan Negeri untuk projek-projek Kerajaan Pusat.
Tahu pun dia bahawa yang merasai kerugian adalah rakyat! Sepatutnya, kalau sudah tahu keburukan dan kesan melengah-lengahkan pembayaran (atau ‘merampas royalti), pemimpin negara perlu menyelesaikannya secepat mungkin. Buktikan kepada negara, dan juga dunia, bahawa mereka tidak sekadar bercakap tak serupa bikin.
Atau hanya nampak sesuatu kesalahan itu apabila dilakukan oleh pihak lain, sedangkan kesalahan yang sama turut dilakukan oleh diri mereka. Kerana, inilah yang sedang berlaku dan ia amat mendukacitakan ambe, Dato’ Seri!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 24, 22 Mei 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment