Oleh: Mohd Nasir Awang
USAHA mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah bukanlah agenda politik semata-mata.
USAHA mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah bukanlah agenda politik semata-mata.
Bagi orang Islam, menegakkan pemerintahan sedemikian adalah merupakan suatu tuntutan agama. Ini kerana, setiap diri yang bergelar Muslim semestinya memperakui bahawa bumi ini adalah milik dan ciptaan Allah.
Tuhan yang sama juga bertanggungjawab mencipta Islam sebagai ajaran dan panduan hidup manusia. Manakala panduan dan ajaran tersebut dirangkumkan pula di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
Menafikan kewibawaan dan kesesuaian Islam untuk mentadbir dunia adalah merupakan suatu kederhakaan dan kekufuran terhadap Allah yang menciptakan Islam itu sendiri. Ia sekaligus mengundang kemurkaan Allah yang akhirnya mengakibatkan dunia ini porak-peranda dan kacau-bilau dilanda ribuan permasalahan sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
Tidak syak lagi, langkah memisahkan agama dengan urusan kehidupan telah mendedahkan dunia ini kepada keburukan dan kemusnahan. Apabila ekonomi disukukan daripada agama, misalnya, maka soal riba’ adalah haram di sisi agama tidak menjadi perkiraan lagi.
Sebaliknya, riba’ yang bersifat menindas itu dijadikan tunjang utama sistem ekonomi dunia. Akhirnya, dunia menyaksikan kejatuhan demi kejatuhan ekonomi.
Fahaman memisahkan agama dari politik pula meninggalkan kesan sangat parah kepada dunia. Kerana, apabila fahaman ’politik suku-agama suku’ ini diterima sebagai dasar pemerintahan sesebuah negara, manusia politik akan bebas melakukan apa sahaja yang dia mahu.
Di bawah fahaman ’politik suku-agama suku’, seorang ahli politik boleh bercakap bohong. Boleh sahaja dia berjanji begian-begian kepada rakyat, tetapi hanya membiarkannya sebagai janji kosong yang tidak perlu ditunaikan.
Seorang pemimpin negara boleh mengamalkan rasuah, politik wang, salahguna kuasa dan diskriminasi. Mereka boleh memilih uslub ancam-ugut, paksaan atau kezaliman terhadap kawan dan lawan. Islam mengajar kita bahawa sebilangan perbuatan seperti bercakap bohong, memungkiri janji, rasuah, diskriminasi, ancam-ugut, dan zalim adalah perbuatan keji dan terkutuk.
Barangsiapa melakukan yang demikian dikira berdosa di sisi Allah. Manakala balasan kedosaan ialah azab neraka yang pedih di Akhirat kelak.
Tetapi, kita harus ingat bahawa semua ajaran tentang dosa pahala, azab atau nikmat, syurga dan neraka itu adalah urusan agama. Menurut fahaman ’politik suku agama suku’, ia tidak ada kena-mengena dengan politik!
Fahaman itu mengajar sebilangan manusia bahawa urusan dosa pahala atau syurga neraka tidak sepatutnya dicampur-adukkan di dalam ehwal politik. Agama adalah agama, dan politik adalah politik. Dalam ertikata yang lain, fahaman ’politik suku-agama suku’ menuntut bahawa tidak boleh ada pada suatu masa yang sama pada seseorang itu agama dan politik.
Seorang ahli politik sewaktu berpolitik, berceramah, berkempen pilihanraya, menyertai Sidang Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, atau apa jua yang dibuat atas nama ’ahli politik’ tidak boleh di masa yang sama menjadi orang yang Islam (beragama)?. Begitukah gamaknya?
Ataupun, oleh kerana Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar dan Exco adalah jawatan-jawatan politik, maka selama mereka itu bergelar dengan gelaran politik masing-masing, mereka tidak sepatutnya bersembahyang, berpuasa, atau melakukan lain-lain ibadat. Kenapa? Kerana, soal ibadat adalah soal agama. Orang politik tidak boleh campur dengan urusan agama. Betulkah begitu?
Apabila soal politik disukukan daripada soal agama, orang-orang politik nampaknya tidak menghiraukan soal halal-haram, dosa atau pahala.
Mereka seolah-olah tidak rasa takut kepada Allah, terhadap azab kubur dan neraka. Bahkan, mereka sebenarnya telah menolak kewibawaan dan kesesuaian Islam untuk mentadbir negara dan dunia.
Hukum Islam mengenai hal ini amatlah jelas. Itulah sebenarnya yang telah ditegaskan oleh Menteri Besar kita Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 20 tahun lalu: ”Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, kita tidak payah masuk Buddha, tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku”.
Kerajaan Negeri telah meletakkan dasar utama pemerintahannya untuk mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Sekali lagi, ia bukannya agenda politik semata-mata, malah memenuhi tuntutan agama.
Oleh sebab ianya tuntutan agama, maka sebarang penentangan terhadap usaha melaksanakan kewajiban ini, daripada kumpulan atau puak mana sekali pun, semestinya ditentang dengan segala daya usaha. Tepat sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Tuan Guru Menteri Besar:
”Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Dan kerana kita berjuang dengan puak-puak (yang menentang Islam) ini, kalau kita mati kerana berlawan (penentang Islam) ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam”.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman Bil: 23, 8 Mei 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment