Sunday, April 22, 2001

Rompakan tidak jadi halal kerana ‘membela rakyat’


Oleh: Mohd. Nasir Awang

NAMPAKNYA masih ada di kalangan rakyat negeri ini yang tidak bersedia menerima hakikat bahawa ’merompak’ adalah perbuatan terkutuk, keji dan tidak bermoral. Ia bukan sahaja haram di sisi agama, malah tidak pernah diterima sebagai budaya sebuah masyarakat yang beradab.

Perbuatan merompak harta orang lain tidak pernah di pandang mulia oleh masyarakat negara ini, wa imma semurni mana sekali pun tujuan rompakan tersebut dibuat.

Mutakhir ini, hakisan terhadap persepsi tersebut nampaknya semakin kuat melanda masyarakat, khususnya di negeri ini. Semacam ada suatu usaha indoktrinasi baru ke dalam fikiran rakyat bahawa sesuatu yang pada asalnya adalah haram atau terlarang, boleh dilakukan asal sahaja tujuan atau matlamatnya adalah untuk ’kebaikan’ rakyat.

Kita sering dipertontonkan dengan adegan menarik siri cerita Robin Hood, seorang ’Perompak Terhormat’ yang menjadi mitos di kalangan masyarakat Eropah.

Beliau dianggap wira bagi golongan miskin dan golongan pembela rakyat.  Kerukunan hidup di perkampungan Robin Hood digambarkan semata-mata kemurahan hatinya yang sering menghulurkan bantuan apa sahaja.

Sehinggakan tidak digambarkan langsung aspek negatif pada batang tubuh Robin Hood. Beliau adalah wira dan pembela rakyat, walau pun pada hakikatnya beliau adalah ’perompak sepenuh masa’.

Di negara kita juga pernah wujud watak-watak yang modus operandi mereka dikatakan mirip Robin Hood. Sejak lebih sedekad lalu, negara berhadapan dengan dua perompak terkenal dengan nama Botak Chin dan Bentong Kali @ Kalimuthu.  Khabarnya, kerja kedua-dua mereka juga merompak daripada orang kaya untuk membantu orang-orang miskin.

Entah betul atau tidak cerita itu, kita tidak pasti. Apa yang pastinya, masyarakat dan pemerintah negara ini belum bersedia menerima uslub membantu golongan miskin dengan cara merompak harta orang lain.

Maka, Botak Chin dan Bentong Kali diburu dan ditembak oleh pasukan keselamatan.  Kedua-dua mereka diabadikan dalam sejarah negara sebagai penjenayah paling ganas walau pun barangkali segolongan yang lain mendakwa mereka melakukan ’kerja-kerja kebajikan’.

Dalam ertikata yang lain, benteng moral dan adat budaya masyarakat negara ini masih tebal. Mereka belum menerima label kebaikan sesuatu kerja semata-mata berdasarkan tujuan atau matlamat baik yang cuba dicapai. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Mengutip derma untuk tabung kebajikan dan khairat masjid, misalnya, adalah suatu kerja amal yang tersangat baik. Tetapi, tidak ada pula kita dengar pihak penganjur mengadakan pertandingan ratu cantik untuk tujuan yang baik itu, sekalipun pertandingan itu mampu menggamit kehadiran ratusan korporat dan orang kaya dalam negara!

Tamsil yang serupa pernah diajukan oleh Tuan Guru Menteri Besar kita. Katanya, menyediakan jamuan untuk orang berbuka puasa adalah kerja mulia. Tetapi adakah amalan itu akan diterima Allah sekiranya lembu atau kerbau yang disembelih untuk jamuan itu adalah lembu atau kerbau yang dicuri?

Sudah tentu bagi mendapatkan jawapan yang jujur dan adil, kita tidak boleh bertanya kepada si perompak atau pencuri atau ahli-ahli kumpulan mereka itu. Kerana, kalau diikutkan resmi perompak, semuanya baik belaka asal sahaja masing-masing mereka mendapat habuan dan bahagian secara adil. Mana ada perompak yang  peduli soal halal atau haram?

Dalam hal ini, beberapa teater peninggalan bintang legenda Allahyarham Tan Sri P.Ramlee boleh dijadikan renungan. Di dalam Nasib Do Re Mi, misalnya dipaparkan sekumpulan perompak yang diketuai oleh Komeng. Apabila selesai merompak sebuah kedai emas, Komeng membahagi-bahagikan ’bonus’ kepada empat anak buahnya.

Apa kata mereka kepada Komeng? ”Boss sungguh baik, boss memang bagus!”, walaupun mereka tahu boss mereka itu seorang kepala perompak!

Apa yang penting bagi perompak ialah masing-masing antara mereka mendapat habuan. Mereka hanya akan bising dan komplen bermacam-macam apabila ada yang tidak dapat habuan, atau berlaku pengagihan yang tidak adil.

Jangan pelik kalau di kalangan perompak pun, soal keadilan turut diutamakan. Sebab itu, dalam Nujum Pak Belalang, berlaku pertelingkahan antara si Badan dan si Nyawa yang merompak istana Sultan Shahrulnizam, ketika mereka membahagi-bahagikan wang emas.

Maka timbullah babak ”hentam sajalah untuk engkau hentam sajalah untuk aku!”. Semuanya itu kerana mereka juga tahu menuntut keadilan, walau pun mereka sendiri adalah perompak besar dalam negara.

Kita tidak menafikan bahawa kerja membahagikan basikal kepada kanak-kanak miskin adalah kerja mulia. Membantu golongan fakir miskin adalah kerja baik.  Begitu juga, memberi modal kepada usahawan kecil bumiputera tanpa mengira fahaman politik adalah kerja yang bagus dan adil.

Tetapi, adakah matlamat yang mulia, baik, bagus dan adil itu mampu mengubah hakikat bahawa perbuatan ”merompak” adalah haram dan terlarang di sisi agama? Kita rasa kalau P.Ramlee nasih adapun, sudah tentu dia tidak akan kata ’ya’.  Bahkan, mungkin dia akan kata, ”berapa banyak rompak daa!”

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 22, 22 April 2001, di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment