Thursday, March 8, 2001

Pemulauan buktikan kebodohan pembangkang

Oleh: Mohd. Nasir Awang

WALAUPUN Kamus Dewan menghuraikan maksud ‘perpaduan’ sebagai ‘bergabung menjadi satu, sepakat dan lain-lain’, pihak pembangkang di negeri ini nampaknya tidak bersedia menerima pakai takrif tersebut. Di dalam kamus politik Umno Terengganu, ‘perpaduan’ barangkali bermaksud ‘memulau solat Jumaat yang dihadiri wakil rakyat PAS’. Atau, mungkin bererti ‘mewujudkan institusi tersendiri sebagai saingan kepada institusi di bawah Kerajaan Negeri’.

Sebab itu, pembangkang nampaknya tidak habis-habis dengan agenda dhirarnya (jahatnya). Tidak berapa lama selepas kekalahannya dulu, ia mengisytiharkan akan meneruskan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai saingan kepada Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) yang ditubuhkan Kerajaan Negeri.  Kewujudan JKKK sebagai institusi dihirar kini menjadi pemangkin sentimen anti-perpaduan di kampung-kampung.

Di saat seluruh rakyat menunjukkan kesepakatan demi ’Keranamu Malaysia’ bersempena sambutan Hari Kebangsaan lalu, Umno Terengganu telah mengenepikan seruan perpaduan itu. Mereka menganjurkan majlis berasingan di malam Kerajaan Negeri mengadakan countdown di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu.   Mereka tidak hadir bersama-sama rakyat Terengganu yang lain, sebaliknya berkumpul di sebuah sekolah di Batu Rakit, bagi melangsungkan agenda dhirar mereka.

Tidak cukup dengan itu, acara perbarisan Hari Kebangsaan keesokan harinya turut tidak diambil bahagian oleh Umno.  Buat pertama kalinya, PAS, DAP dan Keadilan sebagai parti-parti politik menghantar kontinjen perarakan masing-masing menyertai puluhan pasukan rakyat Terengganu yang lain bagi menyatakan bahawa mereka mampu bersatu padu demi ’Keranamu Malaysia’.

Malangnya, ia terpaksa menyaksikan ketidakhadiran Umno.  Parti itu belum bersedia bersatu padu dengan rakyat Terengganu yang lain. Seolah-olah perpaduan seluruh rakyat yang diseru-serukan oleh pimpinan Umno Pusat bukan ditujukan sama untuk ahli dan penyokong mereka di Terengganu.

Sebab itulah, di saat rakyat seluruh negara bercakap soal ’Perpaduan Melayu’, pada 16 Februari lalu ahli dan penyokong Umno di Kampung Langkap, Setiu memilih untuk memulaukan solat Jumaat, terdorong oleh sentimen politik.

Seksyen 179 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (1986) di dalam perkara ”Kehadiran di Masjid” menyebutkan, ”kecuali di atas sebab-sebab munasabah, tidaklah boleh mana-mana anak mukim tidak menghadiri sembahyang Jumaaat di dalam mukim masjidnya sendiri jika dengan sebab ketiadaannya itu akan mengendalakan pengerjaan sembahyang Jumaat di dalam mukim masjid itu”.

Sebuah akhbar harian di dalam melaporkan insiden tersebut menyebutkan ’lebih 50 anak jemaah mukim Masjid Kampung Langkap bertindak keluar meninggalkan masjid itu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Mohamad Hitam, membaca khutbah’. Akhbar yang sama turut memperakui, ’walaupun khutbah itu tidak mengandungi sebarang isu kontroversi’.

Media cetak dan elektronik turut menemubual beberapa penyokong pembangkang terbabit. Antara yang dipaparkan di kaca TV pada malam itu ialah seorang bekas imam, Timbalan Pengerusi JKKK dan Bendahari Masjid.

Salah seorang di antara mereka bertiga memberikan jawapan yang bermaksud ’dulu orang PAS kata tak boleh buat imam orang Barisan (BN), ni giliran kita lah pulok!’. Ertinya, dia mengakui bahawa tindakan mereka itu sebenarnya atas dendam politik. Apakah itu satu sebab yang ’munasabah’?

Kepada akhbar, mereka terus terang mengakui telah meninggalkan solat Jumaat dan sekadar bersolat Zohor ’kerana was-was’ apabila ’tidak sampai 40 anak mukim yang menjadi jemaah’. Bunyinya agak ’lawyer buruk’! kerana, yang menjadi punca jemaah anak mukim tidak cukup bilangan itu ialah mereka sendiri.

Padanlah Perdan Menteri sendiri, sebagai pemimpin nombor satu parti mereka dilaporkan pernah menganggap para pemimpin Umno Terengganu sebagai ’bodoh sangat’ dan ’layak kalah dalam pilihanraya lalu’ (baca Warta Darul Iman, 8 Januari 2001). Insiden di Langkap ini adalah satu lagi bukti yang membenarkan hakikat itu.

Ia turut mengingatkan kita kembali kepada Kertas Putih Kementerian Dalam Negeri bertarikh 8 November 1984 lalu yang bertajuk ’Ancaman Kepada Umat Islam dan Keselamatan Negara’. Sebagai keterangan kepada butiran 37.1 mengenai tindakan memulau solat Jumaat, Lampiran ’ra’ (versi Jawi) kertas putih itu menyebutkan, ’gambar-gambar menunjukkan golongan pelampau’ meninggalkan Masjid Titi Selangor, Batu 4, Jalan Sanglang, Kodiang, Kedah.’

Ertinya, menurut Kertas Putih KDN 1984 pihak yang memulau solat Jumaat adalah ’golongan pelampau’ yang menjadi ancaman kepada perpaduan umat Islam.

Pertama, anti-perpaduan. Kedua, dhirar.  Ketiga, ’bodoh sangat’.  Keempat, ’golongan pelampau’. Rakyat Terengganu terbukti bijak apabila menolak pemerintahan golongan seumpama ini. Bijak, bijak!

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 19, 8 Mac 2001, di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment