Thursday, February 22, 2001

Tiada maaf atas rampasan wang royalti


Oleh: Mohd Nasir Awang

“PAS Tenat Tetapi Rakyat Terengganu Terus Dapat Faedah”, baca tajuk sebuah rencana dalam sebuah majalah berita mingguan akhir Oktober lalu.

“Wang Ehsan, Rakyat Bersyukur 18,000 Golongan Miskin Dapat Duit Hari Raya”, jerit pula sehelai pemidang di tengah-tengah kesibukan sebuah pekan di daerah utara Terengganu. Ia sebenarnya mahu memproklamir pembahagian wang RM200 kepada sebilangan rakyat menjelang Idulfitri yang lalu.

Semacam ada suatu kesepakatan di antara para aktivis parti pembangkang negeri ini yang menggantung pemidang itu dengan penguasa media cetak yang menerbitkan majalah tersebut di ibukota negara.

Kedua-dua pihak nampaknya tidak mahu ketinggalan mengambil bahagian dalam psychological warfare (perang psikologi) yang sengaja dicetuskan ekoran rampasan royalti petroleum oleh kerajaan Pusat September lalu.

Di antara jarum utama yang cuba didoktrinkan ke dalam pemikiran masyarakat ialah bahawa Barisan Nasional (BN) bukan bertindak terhadap rakyat Terengganu, tetapi hanya menidakkan hak PAS untuk mentadbir wang royalti milik rakyat Terengganu itu. Sebab itu, ratib popular di kalangan aktivis BN ialah “Wang Ehsan Hak Rakyat, Bukan Hak PAS”.

Kita bersetuju bahawa wang royalti petroleum itu bukan hak PAS. Kita juga menuntut pihak pembangkang turut faham bahawa wang tersebut juga bukan hak mak-bapak mana-mana pemimpin mereka. Betul! Ia adalah hak rakyat Terengganu, dan mesti dipulangkan kepada rakyat. Soalnya, siapakah yang berhak menguruskan wang tersebut bagi pihak rakyat Terengganu?  

Dunia tidak boleh lari daripada hakikat bahawa sebagai pengundi, rakyat Terengganu telah membuat pilihan pada 29 November 1999 lalu. Sebuah kerajaan yang sah telah terbentuk hasil pilihan rakyat secara demokratik.

Sepatutnya semua pihak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat. Tepat sebagaimana disuarakan oleh sehelai pemidang tajaan sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), “Jangan Cabuli Hak Kerajaan Pilihan Rakyat Terengganu”.

Malangnya, hak ini jelas dinafikan oleh para pemimpin BN. Malah, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, sewaktu mengulas hasil lawatan beliau ke negeri ini awal Oktober lalu secara jelas cuba lari daripada kenyataan bahawa rakyat Terengganu telah menolak BN.

TPM telah melakukan false sampling apabila mengatakan bahawa ‘rakyat Terengganu’ menyambut baik cadangan Program Pembiayaan Wang Ehsan yang dikemukakan oleh Kerajaan Pusat.

Pemesongan fakta sebegitu sedikit pun tidak memeranjatkan kita. Kerana, roh pembohongan itulah juga yang terkandung di dalam kenyataan akhbar yang didakwa dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan bertarikh 5 September 2000 lalu.

“Sungguh pun Kerajaan Negeri Terengganu pada bulan Februari 2000 telah menerima bayaran ehsan RM432 juta, rakyat Terengganu dan Kerajaan Pusat tiada maklumat atau keterangan mengenai program dan penggunaan bayaran ihsan tersebut”, kata kenyataan itu.

Siapakah yang dimaksudkan ‘rakyat Terengganu’ yang beria-ia mahukan maklumat atau keterangan itu? Jawabannya sudah tentu berkait rapat dengan golongan yang ‘terus mendapat faedah’ seperti yang dimaksudkan oleh tajuk rencana majalah tadi.

Ia juga tidak lari daripada kumpulan rakyat yang kononnya ‘bersyukur’ kerana dapat memberi duit raya kepada orang miskin tadi. Sudah tentu golongan itulah juga yang dimaksudkan oleh TPM ‘menyambut baik cadangan Program Pembiayaan Wang Ehsan’ itu.

Mereka adalah para pemimpin dan aktivis pembangkang yang telah ditolak oleh rakyat Terengganu. Rakyat telah kenal hati budi mereka. Rakyat tersangat maklum tentang track record penyelewengan dan salahguna kuasa mereka.

Rakyat sudah tidak nampak kewajarannya untuk menyerahkan pengurusan wang negeri kepada mereka itu. Kerana, jika diberi kesempatan, sudah barang tentu mereka akan mengulangi semula penyelewengan sebegitu. Buktinya, belum pun sampai setengah tahun pengagihan hasil ‘rompakan’ royalti dilaksanakan, pelbagai cerita tentang penyelewengan sesama ‘rakyat Terengganu’ itu telah menerjah ke telinga kita.

Kementerian Kewangan cuba memberi gambaran seolah-olahnya BN (selepas kalah?) amat bersungguh-sungguh hendak membela nasib rakyat Terengganu. Betul! Ada segolongan rakyat Terengganu yang terbela nasib mereka. Ada juga yang terus mendapat faedah daripada pengagihan tersebut, dan mereka inilah barangkali sekumpulan manusia yang paling ‘bersyukur’ di atas Program Pembiayaan Wang Ehsan tajaan Kementerian Kewangan itu.

Namun, penyakit diskriminasi, nepotisme dan kronisme yang telah berdarah-daging di kalangan para pengagih itu telah menimbulkan satu persoalan lain, iaitu siapakah sebenarnya rakyat Terengganu yang mendapat pembelaan atau terus mendapat faedah itu tadi?

Dan lebih penting lagi, adakah kita sebagai rakyat negeri ini redha dengan penyelewengan yang mereka lakukan itu? Demi Allah, ambe sorang dok redha!

(Artikel ini disiarkan buletin dwimingguan Warta Darul Iman, terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), edisi 22 Februari 2001 di kolum tetap ‘Komentar’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment