Oleh: Mohd. Nasir Awang
Usaha mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan sesuatu kebiasaan yang sudah menjadi tabiat. Sebarang usaha mengubahnya menuntut langkah yang cermat dan tabah, kerana ia berkemungkinan mengundang kontroversi dalam masyarakat.
Kerja yang paling payah ialah bagi mengubah persepsi masyarakat darihal perkara yang dianggap ’kebiasaan’ untuk menjadikannya bertepatan dengan tuntutan agama.
Negara kita sudah merdeka sejak hampir 44 tahun lalu. Selama tempoh itu juga masyarakat telah terdidik dengan amalan memberi ’ikut suka aku’. Dalam ertikata yang lain, mengikut amalan biasa parti yang menguasai negara kita ini, apa sahaja pemberian daripada pihak kerajaan adalah berdasarkan ’budi bicara’ orang-orang politik.
Merekalah yang menguasai kerajaan. Jadi, soal apa atau berapa yang nak diberikan, dan kepada siapa ianya patut diberikan adalah hak mereka sebagai ’tuan punya’ kerajaan untuk menentukannya.
Akibatnya, ketidakadilan sosial dan ekonomi sudah menjadi tabiat. Sebagai contoh, pengagihan baja subsidi bukan lagi berdasarkan tahap kemiskinan petani. Pemilihan golongan penerima bantuan am kebajikan juga bukan atas dasar keperluan hidup sebenar.
Bahkan, pemberian wang zakat juga dilakukan bukan atas nilaian tuntutan syarak. Semuanya dilakukan atas diskriminasi politik.
Selama hampir 44 tahun masyarakat negara ini telah terdidik dengan kebiasaan ini. Ia bukan sahaja berdarah daging sebagai tabiat kerajaan yang memerintah, malah turut mempengaruhi nilai-nilai kehidupan masyarakat. Lebih malang lagi, tabiat atau kebiasaan itu terseret sama ke dalam pelaksanaan amalan ibadat.
Baru-baru ini, umat Islam seluruh dunia menyambut Idul Adha. Menjadi kelaziman di kalangan masyarakat negara ini untuk melaksanakan ibadat korban setiap kali datangnya perayaan itu.
Pihak ’tuan kerja’ kebiasaannya akan mengagih-agihkan daging kepada sahabat handai, golongan fakir miskin dan juga jiran-jiran. Tidak kurang juga yang menganjurkan kenduri dan mengundang sesiapa juga yang disukainya menjamu selera.
Menyahut seruan agama untuk melaksanakan ibadat korban adalah langkah terpuji. Apa yang agak mendukacitakan ialah cara ’tuan kerja’ mengenalpasti pihak penerima daging korban berkenaan.
Apakah tidak ada sebarang peraturan atau garis panduan di dalam Islam mengenai siapa yang patut dan yang tidak patut menerima daging sembelihan? Apakah pengagihannya juga tertakluk kepada kebiasaan ’ikut suka aku’?
Terdorong oleh ’kebiasaan’ juga, anggota masyarakat terkadang sukar membezakan mana amalan yang lebih afdal dan patut diutamakan, mana sebaliknya. Nilaian mana yang patut seringkali dibuat berdasarkan amalan ’kebiasaan’ yang dibaluti pemahaman ’harta aku, ikut suka aku’. Cuba renungkan pemerhatian dibawah ini.
Berbanggalah seorang hamba Allah s.w.t. di atas kehidupan keluarganya yang agak mewah. Anak-anaknya pula melalui kehidupan yang berjaya. Hampir setiap tahun, tatkala menjelang Idul Adhha, anak-anak di perantauan pulang berkumpul di kampung.
Si bapa pula menyediakan binatang ternakan untuk ibadat korban. Seluruh kampung turut berbicara tentang ’kebiasaan’ keluarga berkenaan mengadakan kenduri kesyukuran setiap tahun. Seolah-olahnya seisi kampung turut menumpang nikmat keberadaan keluarga berkenaan.
Malangnya, masyarakat seolah-olah terlupa untuk turut membicarakan soal jiran terdekat keluarga itu. Bayangkan, hanya sepelaung daripada rumah keluarga bahagia tadi, terpacak sebuah rumah usang yang bakal menyembah bumi bila-bila masa.
Rumah yang jika dibiayai pembaikiannya, keseluruhan perbelanjaan itu akan hanya menyamai separuh daripada kos membina pagar rumah keluarga berada tadi. Tetapi, atapnya sudah lama compang-camping, dindingnya berlubang di sana sini.
Seorang ibu tunggal dalam usia lewat 30-an sedang berjuang sendirian menyara kehidupan lima anaknya. Anak-anak itu telah bergelar ’anak yatim’ sejak lebih 10 tahun lalu.
Kita semua tahu bahawa soal menjaga kebajikan dan mengambil hirau nasib anak yatim bukanlah soal remeh-temeh. Hanya orang yang berkeperibadian buruk sahaja yang sanggup mengenepikan soal anak yatim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
”Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang mendustakan agama? Itulah orang yang tidak menghiraukan nasib anak yatim, dan tidak menggalakkan untuk memberi makan orang miskin.” (Surah Al-Ma’un: 1-3)
Soal siapakah pemilik keluarga bahagia itu dan di daerah manakah hakikat kehidupan ini wujud bukanlah perkara utama yang nak diutarakan. Soalnya, apakah semata-mata di atas dasar menjaga ’kebiasaan’ itu membolehkan seseorang itu mengenepikan pertimbangan mana yang lebih afdal antara membela nasib anak yatim dengan melakukan korban setiap tahun?
Sanggupkah kita dikategorikan oleh Allah Ta’ala sebagai golongan ’yang mendustakan agama’?
Sekali lagi, usaha mendidik masyarakat bukanlah suatu tugas yang mudah!
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 20, 22 Mac 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment