Saturday, April 15, 2000

Umno 2000 Sudah Terjual?


Oleh: Anuwa Jamalullail

ABAD ke-21 tidak menjanjikan perjalanan yang mudah bagi Umno dalam mengharungi lautan politik tanahair. Kedua-dua unsur kekuatan dalaman dan luaran Umno amat ketara perbezaannya antara dulu dan sekarang, sekali pun beberapa aspek kekuatan itu masih dapat dilihat diamalkan. Penggunaan sistem pemilihan secara demokrasi, sebagai contoh, adalah antara kaedah yang masih diterima pakai.

Sejak pemilihan Umno tahun 1946, penggunaan sistem demokrasi dalam Umno dihormati dengan baik sekali. Pemilihan pucuk pimpinan parti dibuat dengan proses demokrasi yang mementingkan prosedur dan pengundian dengan satu undi bagi setiap wakil bahagian Umno yang menghadiri mesyuarat agung Umno peringkat kebangsaan.

Persetujuan atau sokongan kepada calon dibuat dengan cara terbuka. Kempen dan lobi-melobi kalau pun ada dijalankan, ianya tidak pula sehingga menjejaskan proses pemilihan itu.  Sewaktu memilih Presiden Umno yang pertama, sebagai contoh, setiap wakil persatuan-persatuan negeri yang menghadiri mesyuarat penubuhan Umno di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 itu dengan sebulat suara dan dengan undi terbuka, telah mengangkat tangan memilih Dato’ Onn sebagai Yang DiPertua (Presiden) Umno yang pertama.

Soal merebut jawatan tidak timbul walau pun pada masa itu terdapat ramai pemimpin politik negeri-negeri dan parti Melayu yang terkenal. Antaranya Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, Za’ba dan lain-lain lagi.

Namun, sifat merendah diri dan tidak menonjolkan keegoan menjadi batas perasaan malu mereka. Malah perpaduan Melayu amat dipentingkan dalam saat genting menentang Malayan Union.

Apa yang berlaku kepada Umno tahun 2000, jangan dikatakan mahu dilaksanakan proses pengundian secara terbuka (mengangkat tangan), malah pencalonan terbuka juga agak sukar untuk dilaksanakan. Bahkan, siang-siang lagi pihak Majlis Tertinggi Umno terpaksa mengeluarkan arahan berbentuk ‘cadangan’ agar dua jawatan tertinggi iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Kerana, jika dibuka peluang untuk pencalonan secara bebas, nescaya akan berlakulah perebutan yang hebat setiap kali pemilihan pucuk pimpinan Umno diadakan. Akan berlaku juga label-melabel yang hebat akan siapa yang cadang siapa dan siapa yang sokong siapa. Dan pengecaman itu akan terseret pula kepada perkara-perkara yang lain selepas pemilihan itu, termasuklah diskriminasi politik dan ‘balas dendam’ sesama ahli-ahli Umno.

Ertinya, walau pun sistem pemilihan secara demokrasi dilihat masih diamalkan, tetapi ia sebenarnya telah disaduri unsur-unsur autokrasi dan diskriminasi yang sangat hebat. Para ahli sudah tidak berupaya memilih dengan hati ikhlas dan fikiran terbuka. Sebaliknya, pemilihan yang dibuat lebih banyak didorong kepentingan-kepentingan tertentu atau pun pertimbangan-pertimbangan yang bermacam-macam.

Pada umumnya, asas pemilihan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat awal berlaku di atas dasar yang baik iaitu memilih mereka yang boleh bekerja, mempunyai idea/wawasan dan tentunya karisme/ketrampilan yang meyakinkan dan matang. Sikap pihak memihak atau pun mementingkan dasar kenegerian atau kumpulan tidak berlaku dengan jelas, walau pun mungkin ada.

Ini kerana mereka yang dipilih itu tidak semestinya datang daripada sesebuah negeri tertentu, atau pun dibentuk dalam kumpulan tertentu. Begitu juga dengan sikap mengutamakan golongan berada atau yang mampu memberi pertolongan kebendaan, tidak juga dilihat berlaku dengan jelas.

Kemasukan tenaga profesional dan korporat bersama-sama perjuangan mengisi cita-cita politik peribadi masing-masing bagaimana pun telah mengubah corak pergerakan politik dalaman Umno. Setiap pemilihan yang diadakan di setiap peringkat memperlihatkan pertandingan sengit dalam Umno.

Kestabilan parti dan nilai-nilai lama tidak lagi menjadi penting dalam diri ahli-ahli Umno. Akhirnya, kekuatan dalaman Umno sudah tidak dapat dijadikan cagaran utama bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti itu.

Ada pun kekuatan luaran Umno sebenarnya bergantung kepada sejauh mana orang-orang Melayu masih menaruh kepercayaan, keyakinan dan sokongan kepada parti itu. Apakah Umno tahun 2000 masih memperjuangkan (dan dilihat memperjuangkan) kepentingan bangsa, agama dan negara sebagaimana yang dijadikan motto perjuangan Umno sejak dulu? Apakah rakyat benar-benar terbela dengan perjuangan Umno, atau hanya segelintir pemimpin yang sebenarnya kekenyangan hasil perjuangan itu?

Umno sebenarnya telah gagal memahami hati sanubari orang Melayu yang masih tebal mengamalkan sistem nilai yang halus yang berlandaskan ajaran agama. Beberapa pemerhatian di bawah boleh diperbincangkan bagi menjelaskan maksud tersebut.

Pertama: Perpaduan
Antara unsur utama dalam sistem nilai orang-orang Melayu ialah bersatu atau berpadu.  Orang Melayu pada asasnya sangat bencikan perbalahan atau perpecahan, lebih-lebih lagi jika ianya berlaku di antara sesama Melayu-Islam.

Sejarah politik Umno dengan jelas mencatatkan bahawa yang diletakkan sebagai ‘musuh utama politik’ Umno sejak dahulu hingga sekarang ialah PAS, sebuah parti yang dianggotai sepenuhnya oleh orang-orang Islam. Walau pun Umno melabelkan PAS sebagai punca perpecahan, penjelasan yang diberikan oleh para pemimpin Umno kepada masyarakat amat tidak meyakinkan.

Setiap kali isu agama dibangkitkan, rata-rata pemimpin Umno sekadar mampu menuding jari ke arah PAS, kononnya parti itu memutarbelitkan ayat Allah dan ajaran Islam. Contoh yang spesifik bagaimana pun tidak pernah dikemukakan. Kalau pun ada yang diberikan, contoh tersebut terlalu tidak masuk akal dan jelas menggambarkan ianya suatu fitnah yang sengaja diada-adakan.

Umno perlu ingat orang Melayu masih kuat berpegang kepada sistem nilai agama mereka.  Dan sesuatu yang dikaitkan dengan agama tidak akan dapat dipisahkan dari ayat al-Quran dan hadith Nabi s.a.w. Manakala tempat rujukan mereka ialah para ustaz dan alim-ulama, yang sudah tentu berpusat kegiatan mereka di rumah-rumah Allah (masjid dan surau). 

Malangnya, secara lahiriah sahaja pun, para pemimpin Umno sudah kalah kepada PAS dalam ilmu agama dan dalam mendampingi rumah ibadat. Dan masyarakat dapat melihat kecenderungan ini dengan jelas di mana-mana jua.

Jadi, kalau sekadar menyalahkan PAS, sedangkan Umno sendiri tidak berkeupayaan atau  tidak mempunyai kemahiran dalam bidang agama, masyarakat tidak dapat menerima keikhlasan Umno memperjuangkan agama.  ‘Harapkan Umno buat, Umno tidak buat. Bila PAS buat, Umno marahkan PAS’. Siapa sebenarnya yang menjadi punca perpecahan?

Soalan itu lebih mudah dijawab oleh orang-orang Melayu apabila dibuat perbandingan antara pemilihan pucuk pimpinan yang berlaku dalam Umno dengan smooth transition dalam kepimpinan PAS di semua peringkat. Umno yang sering melaungkan perpaduan sesama Melayu, Umno itulah juga yang sering bertelagah sesama sendiri setiap kali datang pemilihan di mana-mana peringkat.

Proses pemilihan bertukar serta-merta menjadi proses perebutan.  Bahkan, batang tubuh Umno pernah terserkah dua buat beberapa kali akibat ‘politik pasca pemilihan’. Ia pernah berlaku tahun 1987 dan juga tahun 1993 lalu.

Jadi, walau pun Umno mencanangkan perpaduan dan di masa yang sama menuduh PAS menaja perpecahan, rakyat yang waras akan tetap dapat menilai mana intan dan mana kaca.  Mana yang sering menyeru kepada perpaduan tetapi sering bertelagah dan mana yang sering dituduh berpecah tetapi secara amalinya memperlihatkan perpaduan yang jitu?

Kedua: Musuh Bersama
Berbeza dengan Umno di zaman awal dahulu, Umno tahun 2000 tidak mempunyai musuh utama yang mampu mengancam keselamatan bangsa Melayu atau agama Islam. Umno di era penjajahan memperlihatkan perjuangan yang suci dan sudah sewajarnya mendapat simpati atau sokongan daripada segenap lapisan masyarakat. Musuh bersama bagi setiap rakyat ialah penjajah.

Ketiadaan musuh bersama itu menyebabkan Umno hilang ‘sebab’ untuk menyeru masyarakat terus kekal berpayung di bawah naungan perjuangannya. Tambahan pula, dengan menjadi tulang belakang pemerintahan negara, Umno sudah tidak boleh menyalahkan pihak lain di atas segala kecacatan atau keburukan yang melanda bangsa dan agamanya sendiri. Umnolah yang patut dipersalahkan jika maruah bangsa tergadai dan nilai agama ternoda.

Ketiga: Kesedaran Agama
Umno tahun 2000 sebenarnya dilihat melawan arus kesedaran agama di kalangan masyarakat.  Tidak perlu diperbahaskan soal yang jauh-jauh. Cukup sahaja dengan perubahan yang ditunjukkan secara lahiriah di kalangan para perwakilan dan ahli-ahli wanita Umno itu sendiri. Kesedaran perwakilan mahukan perubahan ke arah penghayatan Islam dipamerkan secara lahiriah melalui pemakaian tudung kepala di kalangan pemimpin dan ahi-ahli wanita Umno.

Isu tudung kepala sebenarnya bukan suatu yang kecil. Ia ibarat api dalam sekam bagi Umno, jika Umno menganggapnya sebagai suatu ancaman kepada identiti parti itu. Kesedaran di kalangan para perwakilan wanita dan juga pemerhati di kalangan ahli-ahli wanita Umno untuk bertudung amat ketara sejak sedekad lalu. Umno sepatutnya menerima perubahan ke arah menghayati tuntutan agama itu dengan lapang dada dan penuh kebijaksanaan.

Malangnya, disebabkan dasar asal Umno bukannya untuk benar-benar memperjuangkan agama agar dihayati oleh masyarakat, maka cakap-cakap sumbing beberapa pemimpin utama Umno menzahirkan sikap dan pendirian sebenar Umno terhadap tuntutan agama. Dr. Mahathir pernah dalam ucapannya di salah satu Perhimpunan Agung Umno beberapa tahun lalu secara sinis menghina perempuan yang bertudung.

Sedangkan sewaktu ucapan itu dilafazkan, ribuan yang ada di hadapannya termasuk isteri timbalannya ketika itu adalah bertudung kepala. Bahkan, puluhan ribu lagi penyokong beliau yang sedang mengikuti ucapannya itu melalui kaca TV di seluruh negara, juga adalah wanita bertudung.

Tahun ini pula, Datuk Seri Rafidah Aziz yang baru dipilih mengetuai semula Pergerakan Wanita Umno, secara tegas menjelaskan bahawa cadangannya mensyaratkan perwakilan wanita bertudung bukanlah atas alasan agama, tetapi sekadar memenuhi peraturan pakaian rasmi mesyuarat.

Dalam ertikata yang lain, ‘bertudung hanya sebagai pakaian seragam rasmi’, bukan di atas rasa tanggungjawab melaksanakan tuntutan agama. Sedangkan, sebahagian besar anggota Exco Wanitanya adalah bertudung atas kesedaran tuntutan agama.

Jika Umno mahu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya dalam Islam, maka Umno perlu lakukan apa saja yang patut, yang wajar dan dimahukan oleh masyarakat Melayu Islam dalam segenap aspek keagamaan. Paling tidak, para pemimpin Umno perlu lebih cermat dalam ucapan-ucapan mereka yang menyentuh soal hukum-hakam dan peraturan agama. Orang Melayu-Islam sangat sensitif apabila soal hukum agama mereka ditafsir sewenang-wenang menurut hujah akal semata-mata.

Keempat: Penyakit Moral
Antara ciri utama dalam sistem nilai orang Melayu ialah soal moral. Penyakit moral utama dalam Umno ialah rasuah. Sungguh pun tidak dapat dibuktikan melalui mahkamah, atau dengan kata yang lebih tepat “telah dibuktikan tidak bersalah melalui proses undang-undang”, soal moral sebenarnya melangkaui batasan undang-undang atau peraturan.

Apakah Umno mengira suatu perkara yang mudah baginya untuk mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadap beberapa pemimpinnya yang “dilihat terlibat” dengan rasuah? Rakyat sering mempersoalkan Tun Daim dengan empayar perniagaannya. Rafidah dengan saham menantunya, Mat Taib dengan beg duitnya, Saidin Tamby dengan cek sejutanya dan beberapa Exco Kerajaan Negeri dengan berbagai-bagai kes mereka.

Manakala soal politik wang dalam Umno sudah menjadi suatu tradisi yang diakui oleh segenap lapisan dalam Umno dan juga dalam masyarakat.

Begitu juga dalam soal adab sopan seseorang pemimpin. Pemimpin Umno, khususnya Dr. Mahathir boleh mengemukakan berbagai-bagai cerita mengapa seseorang pemimpinnya bertindak ‘ala-gangster’ pada sesuatu kejadian. Bahkan, Mahathir sampai menunjukkan pembelaan yang di luar rasional dalam kes mempertahankan tindakan Datuk Seri Adnan Yaakob, MB Pahang menunjukkan isyarat lucah kepada para penyokong Barisan Alternatif (BA) di hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Sanggang, Mac lalu. ‘Kununnya’ Adnan terlebih dahulu diprovok oleh para penyokong BA. Tapi, tidakkah Adnan yang sama pernah mempunyai rekod menyerang penyokong PAS beberapa bulan sebelum itu?

Bagaimana pula penjelasan Mahathir dengan isu Tan Sri Sanusi Junid, bekas MB Kedah memukul dan menendang dua kakitangan lapangan terbang yang terlewat membawakan kerusi roda untuk ibu saudaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, 5 Mei lalu?

Tindakan Datuk Wira Mohd Ali Rustam, MB Melaka yang agak keras terhadap dua buah bank dan beberapa agensi yang didakwa terbabit melindungi ahli dan penyokong parti pembangkang di negeri itu juga tidak terlepas dari penilaian masyarakat. Ia benar-benar menggambarkan nilai moral yang sangat rendah di kalangan para pemimpin Umno. Sikap yang dipenuhi oleh perasaan balas dendam dan penuh emosi, sehingga menyebabkan ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’.

Dengan kelunturan unsur-unsur kekuatan dalaman dan luaran Umno itu, terlalu banyak yang boleh dipersoalkan atas relevansi perjuangan Umno tahun 2000 ini. Apakah perjuangan untuk memartabatkan bangsa, mendaulatkan negara dan menjaga kesucian agama masih relevan dengan suasana yang ada dalam Umno kini? Jangan-jangan ianya sudah habis ‘terjual’ oleh perjuangan politik dan kebendaan untuk kepentingan peribadi-peribadi yang menguasai Umno kini!

(Artikel ini disiarkan makalah isu "Memo Bersama Editor Tarmizi Mohd Jam" diterbitkan sekitar April 2000 dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment