Oleh: Anuwa Aitawa Jamalullail
Apabila Anwar Ibrahim mengumumkan keputusannya untuk bergerak cergas dalam politik Umno pada 29 Mac 1982, arena politik tanahair mengalami semacam kejutan. Ini kerana, Anwar sebelum itu sering dikaitkan dengan perjuangan PAS dan ucapan-ucapannya yang mengkritik kerajaan.
Tetapi, “kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dr. Mahathir Mohamad”, keadaan sebaliknya telah berlaku.
“Saya memilih Umno kerana ia memberi ruangan kepada saya untuk meneruskan perjuangan saya”, kata beliau di hadapan Dr. Mahathir di Jabatan Perdana Menteri ketika mengumumkan keputusannya menjadi anggota Umno.
Pengumuman Anwar untuk menyertai Umno itu bukan sekadar membawa impak besar kepada arena politik, malah arena-arena lain dalam masyarakat. Salah satu sektor masyarakat yang mengalami “gelora besar” ekoran tindakan Anwar itu ialah gerakan pelajar.
Adalah dimaklumi bahawa untuk separuh kedua era 1970-an lalu, Anwar dianggap sebagai idola bagi gerakan pelajar Malaysia, sama ada di kampus-kampus dalam mahu pun luar negara. Sama ada secara langsung atau tidak, Anwar dikira menjadi inspirational force (kuasa inspirasi) kepada kebangkitan gerakan radikal dan Islamik di kalangan pelajar-pelajar kampus.
Di Amerika Utara (Amerika Syarikat dan Kanada), para pelajar yang bergiat aktif dalam persatuan terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan sekular-nasionalis Melayu dan golongan Islamis.
Kedua-dua golongan ini menggabungkan diri masing-masing dalam dua induk afiliasi berasingan, iaitu sekular-nasionalis dalam Persatuan Mahasiswa Malaysia Amerika Utara (PEMMAU) dan Islamis dalam Malaysian Islamic Study Group (MISG) USA and Canada. Bukan suatu yang memeranjatkan jika dikatakan bahawa MISG USA & Canada itu wujud hasil inspirasi Anwar Ibrahim.
Kesan Tindakan Anwar Terhadap Gerakan Pelajar
Protes spontan daripada gerakan pelajar terhadap tindakan Anwar menyertai Umno didokumentasikan pada 1 April 1982, iaitu hanya tiga hari selepas pengumuman Anwar itu. Beberapa bekas pemimpin gerakan pelajar (yang dikatakan lepasan universiti-universiti di United Kingdom), yang menggelarkan diri mereka Jemaah Muslim Malaysia, telah menerbit dan menyebarkan sebuah buku kecil bertajuk Kenapa Kami Tidak Pilih Umno?
Di dalamnya dihuraikan secara ilmiah dan terperinci segala hujah aqliah (akal) dan naqliah (al-Quran dan hadis) mengapa masyarakat Malaysia tidak sepatutnya memilih Umno sebagai platform perjuangan politik. Segala hujah itu disimpulkan dalam lapan sebab, iaitu:
- Pertama: Umno menegakkan cara hidup sekular. Sekularisme sebagai berhala moden.
- Kedua: Umno menegak dan membela Perlembagaan Malaysia yang sekular, yang bertentangan dengan Islam, yang menentang Allah dan Rasul-Nya.
- Ketiga: Perjuangan Umno ialah perjuangan kebangsaan (Asobiyyah) yang tidak diterima oleh Islam.
- Keempat: Umno mendokong fahaman memisahkan agama dari politik (Pemerintah).
- Kelima: Umno merestui orang kafir sebagai Wakil Rakyat, Pemimpin dan Menteri.
- Keenam: Umno menindas Gerakan Islam.
- Ketujuh: Umno menyebarkan fahaman Pembangunan dan Pemujaan Hawa Nafsu atau Ideologi Pembangunan dan Modenisme.
- Kelapan: Umno mencegah manusia ke masjid dan lalai terhadap Allah, lupakan azab neraka.
Bahkan, buku tersebut terus terang mencabar orang-orang seperti Anwar (yang kononnya memasuki Umno untuk memperbaiki dari dalam), adakah tindakan sebegitu mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. atau mengikut nafsu.
“Kami ingin berbicara dengan saudara-saudara kami yang masyarakat dunia menggelarkannya al-ustaz, tuan-tuan guru dan ulama yang memasuki Umno untuk memperbaikinya dari dalam… Rasulullah s.a.w. tidak pernah bekerjasama dengan Abu Jahal dan Abu Lahab dan kemudiannya membaiki dari dalam… Tujuan Islam ialah untuk menghancurkan taghut dan bukan memperbaiki taghut. Sepatutnya saudara menghancurkan taghut (Umno) dan tegakkan yang hak. Inilah teori perjuangan Islam atau perjuangan para rasul.”
Buku itu kemudiannya tersebar luas di kalangan gerakan pelajar Islam dalam dan luar negara. Bahkan terdapat di kalangan kelompok tersebut menjadikannya salah satu bahan perbincangan dalam usrah-usrah yang mereka kendalikan.
Penentangan berterusan gerakan pelajar terhadap langkah Anwar menyebabkan hampir kesemua persatuan pelajar di kampus-kampus dalam dan luar negara mengalami perpecahan yang dahsyat.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), golongan pelajar Islamis yang selama ini bersatu di bawah Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA) telah berpecah dan menghasilkan Islam Penyelamat Ummah (IPU). ATMA ditinggalkan untuk terus dimonopoli oleh golongan pro-Abim yang dianggap bersubahat menyokong Anwar menyertai Umno.
Di Amerika Utara, keadaan sebaliknya berlaku. MISG USA & Canada yang menjadi platform gerakan pelajar Islamis telah menolak kepimpinan yang dianggap “bersimpati” dengan Anwar. Dalam Muktamar Sanawinya pada penghujung tahun 1983, (Dr.) Muhammad Nur Manuty yang cuba mempertahankan jawatan Presiden MISG (dan beliau dianggap calon pro-Anwar) telah ditumbangkan oleh Rozhan Othman, seorang pensyarah UKM yang mendapat sokongan majoriti pelajar-pelajar Islamis (yang dikatakan pro-PAS).
Ekoran daripada kekalahan memalukan itu, golongan pro-Abim itu telah mengambil keputusan menubuhkan Abim Amerika Utara atau Abim-AU dan meninggalkan MISG untuk terus dimonopoli oleh golongan pelajar pro-PAS.
Pengaruh Tokoh Islam Terhadap Sikap Pelajar
Peristiwa “penyingkiran” golongan pro-Abim daripada MISG itu rupanya sedikit pun tidak mematahkan semangat Anwar untuk terus mengatur strategi “menawan kembali” MISG. Cara yang digunakan selepas itu terlalu halus dan hampir tidak dapat dikesan oleh kebanyakan pelajar yang terlibat dengan gerakan itu.
Beliau tidak lagi menggunakan taktik penentangan dari dalam, iaitu mengumpul kekuatan dari dalam MISG untuk menawan kembali kepimpinannya. Anwar tahu strategi menggunakan sesama pelajar Malaysia telah menemui jalan buntu.
Pertembungan dan perbezaan pendapat antara mereka mengenai kemasukan Anwar ke dalam Umno terlalu hebat. Hampir mustahil ada di kalangan pelajar Malaysia sendiri yang berupaya meyakinkan rakan seperjuangan dalam MISG betapa rasionalnya tindakan Anwar itu.
Maka Anwar “memanfaatkan” pihak ketiga sebagai mediator (perantara) yang secara halus menyuntik hujah-hujah rasionaliti tindakan Anwar. Bijaknya Anwar, pihak perantara yang dipilih itu ialah pihak yang tidak dapat tidak mesti dirujuk oleh MISG.
Di mana dalam konteks Amerika Utara, mana-mana pertubuhan atau persatuan kumpulan pelajar Islam tidak dianggap sah sekiranya tidak bernaung di bawah badan induknya iaitu Islamic Society of North America (ISNA) yang beribu pejabat di Plainfield, Indiana. Di bawah naungan ISNA terdapat beberapa pertubuhan pelajar Islam seperti Muslim Students Association of USA &Canada (MSA), Muslim Youths of North America (MYNA), Muslim Arab Youth of America (MAYA), Muslim Students Association Persian Speaking Group (MSA-PSG) dan MISG sendiri.
Sebagai seorang bekas Presiden Abim, yang banyak terlibat dengan kegiatan-kegiatan Islam di peringkat antarabangsa, hubungan peribadi Anwar dengan para pemimpin pelajar dan cendikiawan Islam seluruh dunia amat menakjubkan.
Keterlibatan beliau dalam World Assembly of Muslim Youths (WAMY) telah meninggalkan “goodwill” di kalangan rakan-rakan. Sebilangan kenalan beliau ini kemudiannya muncul sebagai cendikiawan dan pemimpin masyarakat Islam seantero alam. Antara mereka yang terbilang ialah Sheikh Ahmed Zaki Hammad dan Tareq Suweidan yang menjadi pemimpin utama ISNA. Begitu juga dengan Prof. Ismail Raji al-Faruqi, Tariq Qureishi dan Ghulam Nabi Fai yang merupakan lapisan MSA.
Di samping memimpin MSA, Prof. Al-Faruqi juga adalah Pengarah International Institute of Islamic Thought atau disebut “Triple I-T”, sebuah institut pemikiran yang sangat berpengaruh di kalangan cendikiawan Islam seluruh dunia.
Sebagaimana dibuktikan bahawa Prof. Al-Faruqi berperanan meyakinkan Anwar untuk menyertai Umno pada 1982, cendikiawan Islam ini juga terbukti memainkan peranan besar merubah pendirian gerakan pelajar Islam di Amerika terhadap Anwar kemudiannya.
Sekembali Prof. Al-Faruqi daripada satu persidangan Islam anjuran Umno pada penghujung tahun 1984, beliau dilaporkan memberitahu pelajar-pelajar Malaysia di Amerika bahawa “Malaysia is the center of the Islamic Resurgence in this century and has many leaders who can work for the good of the ummah”.
Beberapa siri program diatur oleh pihak MSA/ISNA di kampus seluruh Amerika selepas itu, antara lain untuk menggalakkan para pelajar Malaysia memberi sokongan kepada “Dasar Islamisasi” tajaan Dr. Mahathir-Musa dan Umno.
Tindakan MSA/ISNA yang bercanggah dengan aspirasi Islam anti-Umno dalam MISG ketika itu telah menyemarakkan lagi kemarahan pelajar-pelajar Malaysia terhadap badan induk itu. Berbagai persatuan pelajar Malaysia di kampus-kampus yang bergabung di bawah MISG, menyatakan bantahan keras mereka terhadap propaganda MSA/ISNA itu.
Antaranya Aqsa Organization yang berpusat di Terre Haute, Indiana, mengeluarkan risalah bertajuk A Call To All MISG Members… dan diposkan ke kampus-kampus serata Amerika. Risalah itu antara lain mengutuk tindakan pemimpin-pemimpin MAS/ISNA yang sanggup menjadi “alat” kepada Umno (Anwar,sebenarnya) memujuk pelajar-pelajar menerima Dasar Islamisasi kerajaan Malaysia. Ia menyebut:
“We condemn the unholy alliance between Umno and its handpicked Islamicists who try to legitimize the “Islamic” formulas borrowed from the Middle East taghoots…we ask Muslims to realize that the “Islamization” projects being carried out in Pakistan, Malaysia and Sudan and elsewhere are designed to demonstrate their sudden loyalty and commitment to Islam as a complete way of life, to out maneuver the “extremists” Islamic groups and leaders by discrediting and misrepresenting them and lastly and most importantly to preserve the status quo and their continued rule in rebellion to Allah and His Prophet (s.a.w.)”.
Sekali lagi wasilah usrah menjadi medan utama perbincangan secara ilmiah di kalangan pelajar Malaysia dalam menangkis serangan “Islamisasi” yang dipelopori oleh Anwar di tanahair dan cuba disuntik ke dalam pemikiran pelajar Malaysia di Amerika oleh para pemimpin MSA/ISNA.
“Durian Runtuh” Bagi Anwar
Apabila (Dr.) Abdul Rahim Ghouse mengambilalih jawatan Presiden MISG daripada Azman Husin pada tahun 1985, sikap pelajar terhadap Anwar sedikit demi sedikit mengalami perubahan. Rahim yang dikatakan mempunyai pertalian keluarga dengan Anwar, ternyata bersikap sangat liberal terhadap Umno.
Berbekalkan sikap itu, persoalan pro dan kontra kemasukan Anwar ke dalam Umno seolah-olah sengaja diperbahaskan kembali secara meluas sama ada di dalam tamrin-tamrin atau usrah. Keadaan menjadi tambah memihak kepada Umno (dan Anwar tentunya) dengan kekerapan program-program MISG yang diisi oleh tokoh-tokoh MSA/ISNA seperti Tareq Suweidan, Ghulam Nabi Fai dan Sheikh Ahmed Zaki Hammad.
Secara halus mereka berjaya meyakinkan pelajar Malaysia bahawa “masih ada ruang untuk Islam di dalam Umno”. Ruangnya ialah dengan membantu Anwar dari dalam Umno.
Kemuncak kesediaan MISG untuk menerima rasionaliti tindakan Anwar ialah dengan menjemputnya ke Muktamar Sanawi ke-11 di Peoria, Illinois pada tahun 1986. Jemputan itu memberi peluang yang besar kepada Anwar, selaku Menteri Pendidikan, mempamerkan kebanggaan beliau atas “kejayaan-kejayaan” yang telah beliau capai selama berada dalam kerajaan beberapa tahun ini.
Forum “Masa Hadapan Islam di Malaysia” pada 25 Disember 1986 telah mempertemukan Anwar Ibrahim buat pertama kalinya dengan tokoh lantang pada waktu itu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang (sekarang Timbalan Presiden PAS), sejak 29 Mac 1982.
Pertemuan dua bekas sahabat karib yang berlainan arah politik menghasilkan suatu aksi yang agak menarik. Beberapa minit sebelum forum tersebut dimulakan, kedua-duanya diminta ke belakang pentas di Conference Hall, Continental Regency Hotel.
Sebaik tiba di belakang pentas, Anwar mengangkat tangan ke arah Tuan Guru Abdul Hadi yang sudah terlebih awal tiba. “Lama betul ana tak jumpa enta”, sapa Anwar sambil menerpa seakan-akan mahu memeluk Tuan Guru.
Secara spontan Tuan Guru mengalih diri ke belakang meja (mengelakkan dirinya dari dipeluk) seraya menghulurkan tangan menyambut salam dari Anwar. “Nak jumpa macam mana, enta pergi masuk lubang lain”, jawab Tuan Guru penuh sinis.
Apa yang nyata, Anwar hari itu bukan lagi Anwar yang bersama-sama berusrah dengan Tuan Guru sebelum tragedi 29 Mac 1982. Anwar yang walau pun masih berjanggut dan bercakap Islam tetapi tunduk di bawah naungan parti yang anti orang berjanggut dan tidak suka orang yang lantang menyuarakan Islam.
Sikap anti Islam Umno itu dikupas secara panjang lebar oleh ahli panel pertama forum tersebut, iaitu Zaid Kamaruddin (sekarang pemimpin kanan JIM) yang secara terus terang mengaitkan perjuangan Umno dengan fahaman sekularisme dan pragmatisme. Kupasan beliau secara ilmiah tentang kesesatan perjuangan Umno, ditambah dengan hujah-hujah syarak oleh Tuan Guru nyata merimaskan Anwar.
Para hadirin pula tambah terdorong untuk memaksa Anwar “bertaubat” di atas keterlanjurannya menyertai Umno. Di kalangan pelajar yang hadir, terlalu ramai yang bersedia mengemukakan persoalan-persoalan dan perbahasan yang provokatif terhadap Anwar.
Sekali lagi Anwar bernasib baik. Beliau diselamatkan oleh Abdul Rahim Ghouse yang menggunakan kuasanya sebagai pengerusi majlis yang mengarahkan no question from the floor is allowed. Sebarang persoalan atau pandangan mestilah bertulis. Logiknya, memudahkan Rahim menapisnya dulu sebelum dibacakan umum.
Forum kemuncak itu dianggap oleh banyak pihak sebagai turning point dalam MISG. Bermula tarikh itu, kepimpinan MISG semakin berani dan secara terbuka menunjukkan kelunakan terhadap Anwar (dan juga Umno).
Dalam masa tidak sampai setahun selepas kehadiran Anwar itu, pindaan telah dibuat ke atas perlembagaan MISG untuk memperkenalkan Polisi Non-Partisan. Kononnya polisi itu bertujuan mencegah MISG daripada dipengaruhi oleh mana-mana ahli parti politik atau kumpulan berkepentingan.
Sedangkan ia secara jelas ditujukan kepada golongan pro-PAS yang sama-sama berkongsi kuasa dalam MISG yang tidak senang perubahan sikap kepimpinan terhadap Umno.
Tanggapan ini terbukti benar melalui huraian-huraian terhadap maksud polisi tersebut yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin MISG. Antara yang mereka tekankan ialah agar pelajar-pelajar Malaysia tidak mengadakan sebarang hubungan dengan PAS dalam mengatur program-program di kampus masing-masing.
Pelajar-pelajar disemai sikap “berdikari” dalam perjuangan Islam di tanahair iaitu digalakkan menyertai pertubuhan yang terasing daripada PAS sekembali mereka ke Malaysia. Inilah permulaan idea pembentukan MISG Alumni, yang kemudiannya diterjemahkan dalam realiti Malaysia sebagai Jemaah Islam Malaysia (JIM).
Kejayaan Anwar Dalam Gerakan Pelajar di Amerika
Keadaan “non-partisan” ini sekali lagi menguntungkan Anwar dan Umno. Kerana dengan kejayaan strategi ini, walau pun Umno gagal meraih penyertaan yang ramai daripada bekas pelajar MISG, paling tidak Anwar menyekat mereka daripada terus menyertai PAS.
Polisi non-partisan MISG juga menjadi titik pengasingan antara golongan pro-Anwar dan pro-PAS dalam MISG.
Selepas Muktamar Sanawi MISG 1987, usaha-usaha lebih tersusun mula dibuat oleh golongan pro-PAS untuk mewujudkan wadah perjuangan berasingan daripada MISG. Pada 1989 mereka secara terbuka mengisytiharkan diri meninggalkan MISG dan menubuhkan induk afiliasi baru bernama Malaysian Islamic Society of North America (MISNA).
Itulah kejayaan Anwar dalam gerakan pelajar di Amerika. Beliau berjaya menghasilkan perpecahan yang dahsyat dalam MISG sehingga mewujudkan kumpulan serpihan sebanyak dua kali, iaitu Abim-AU (1984) dan MISNA (1989).
Anwar juga berjasa besar kepada Umno apabila berjaya memikat beberapa bekas pemimpin utama MISG, bukan sekadar mengambil sikap tidak menyertai PAS dan bergiat dalam pertubuhan ketiga (JIM), tetapi memilih untuk menyertai dan bersama Anwar di dalam Umno.
Antara mereka yang pernah ada nama dalam Pergerakan Pemuda Umno ialah Dr. Fuad Zarkashi, Dr. Abdul Rahim Ghouse, Dr. Wan Mohd Hasni Sulaiman dan Norizan Sharif. Kehadiran mereka nyata menambahkan koleksi “cendikiawan Islam” dalam Umno.
Mereka naik mendadak dalam hierarki Pergerakan Pemuda Umno dengan bantuan yang tidak sedikit daripada Anwar, tentunya! Entah bagaimanalah nasib mereka sekarang?
(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala Editor Tarmizi Mohd Jam (siri 3): “Anwar Terbuang Tapi Terbilang”, Mei 1999, dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment