Sunday, May 3, 2009

Hishammuddin ulangi sejarah Onn Jaafar atau Abdullah Badawi?


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

SELALU disebut orang bahawa sejarah mungkin akan berulang. Ada yang berulang itu dinisbahkan kepada kesan dan akibat sesuatu aktiviti manusia, seperti kejayaan atau kekalahan, kebaikan atau keburukan. Ada juga yang mengaitkan pengulangan sejarah itu dengan pencapaian atau untung nasib menimpa sesuatu kaum, kumpulan, keluarga atau keturunan.

Contohnya, apabila seseorang pernah menjadi pemimpin kepada masyarakat di sesuatu tempat suatu ketika dulu, tiba-tiba 50 tahun kemudian giliran cucunya pula secara tidak semena-mena muncul memainkan peranan serupa dengan apa yang pernah dibuat arwah datuknya dulu, maka orang secara spontan akan menyifatkan perkara itu sebagai sejarah yang berulang kembali.

Itulah persis apa yang diperkatakan sesetengah kalangan kini mengenai pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Kononnya ia merupakan pengulangan sejarah di tempat datuknya, Allahyarham Datuk Onn Jaafar setengah abad lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959, yang pertama selepas negara mencapai kemerdekaan, Presiden Parti Negara itu memenangi kerusi Parlimen Kuala Trengganu Selatan. Kepimpinan Datuk Onn yang diterima masyarakat Kuala Terengganu ketika itulah yang kini cuba disamakan dengan penerimaan Umno Terengganu terhadap pelantikan Hishammuddin.

“Saya mengalu-alukan pelantikan berkenaan kerana beliau (Hishammuddin) sememangnya mempunyai “sentimental value” tersendiri bagi rakyat negeri ini kerana arwah datuknya, Datuk Onn Jaafar yang mewakili Parti Negara pada pilihan raya 1959 memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu (Selatan)”, ulas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Isnin (27 April) lalu.

Ya, sepintas lalu orang berhak menyamakan untung nasib Hishammuddin kini dengan kejayaan arwah datuknya itu. Bagaimana pun terdapat perbezaan amat ketara antara kehadiran beliau ke Terengganu kini jika nak dibandingkan dengan kemenangan Datuk Onn, 50 tahun lalu.

Aspirasi perjuangan yang menjulang kedua-dua mereka di Terengganu adalah pada landasan yang bertentangan.

Jika dikatakan orang Terengganu dapat menerima Datuk Onn, maka ucapan terimakasih di atas penghargaan diberikan kepadanya itu sepatutnya ditujukan kepada PAS. Dalam cakap berlapiknya, jika tidak kerana kesediaan PAS memberikan laluan selesa kepada Datuk Onn berhadapan satu lawan satu dengan calon Umno-Perikatan, maka pada adatnya agak sukar bagi pengasas Umno itu mencapai kemenangan.

Wajar diambilkira bahawa proses pilihan raya pada 1959 diadakan secara berasingan antara negeri-negeri dan juga Parlimen. Pilihan raya negeri Terengganu diadakan pada 20 Jun 1959, manakala pilihan raya Parlimen pula pada 19 Ogos tahun yang sama. Ertinya, sewaktu Datuk Onn bertanding di Kuala Trengganu Selatan itu, negeri itu sudah dua bulan diperintah PAS.

Penerimaan kepimpinan Datuk Onn di Terengganu ketika itu adalah atas perjuangan menentang Umno-Perikatan. Ia tentu sekali dari posisi amat bertentangan dengan apa yang dilalui cucunya kini. Ertinya, agak tidak kena jika mahu dikatakan Hishammuddin kini mengulangi sejarah arwah datuknya iu.

Ada pula yang menyamakan pelantikan bekas Ketua Pemuda Umno itu dengan apa yang pernah dilalui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kata mereka, ini bukan kali pertama Umno Terengganu diterajui seorang pemimpin “luar”.

Selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS dalam pilihan raya 1999, Abdullah dilantik menjadi Pengerusi Umno Terengganu menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Sepertimana pelantikan Abdullah ketika itu diterima baik seluruh peringkat partinya di Terengganu dan akhirnya membuahkan hasil sangat positif bagi Umno dalam pilihan raya berikutnya, maka orang-orang Umno Terengganu kini juga meletakkan harapan serupa terhadap pelantikan Hishammuddin.

Malangnya, mereka lupa bahawa situasi dihadapi Umno dan realiti politik Terengganu yang memaksa Abdullah menerajuinya ketika itu tidak serupa dengan apa yang ada kini. Ketika itu tidak ada perebutan kuasa antara sesama Umno negeri. Parti itu hanya memerlukan perubahan pucuk pimpinan.

Maka tugas Abdullah bukan mendamaikan antara puak-puak bersengketa atau melakukan agihan kuasa secara adil antara kumpulan yang saling berebut-rebut. Sedangkan itulah situasi terpaksa dihadapi Hishammuddin kini.

Sedekad lalu juga Umno adalah parti kalah. Ia menjadi pembangkang di Terengganu. Maka apabila bercakap mengenai memperkasa dan memulihkan Umno ketika itu, ia turut meletakkan sasaran kerja untuk merampas kembali pemerintahan negeri.

Kini, Umno Terengganu turut menganggap pelantikan Hishammuddin bakal memulih dan memperkasakan kembali parti itu. Namun pemerkasaan itu bukannya untuk merampas kuasa dari parti lawan. Umno sudah jadi parti yang memerintah di Terengganu. Ertinya, pelantikan Hishammuddin tidak juga boleh diibaratkan mengulangi sejarah dilalui Abdullah sedekad lalu.

Cuma seperkara yang pernah dilakukan bekas Perdana Menteri itu yang barangkali akan turut dibuat Hishammuddin. Persamaan nyata antara mereka ialah kedua-dua mereka tidak menetap di Terengganu.

Mereka juga pemimpin tertinggi negara yang ada tugas lebih besar. Sebagaimana Abdullah tidak mampu menyertai urusan partinya di Terengganu secara seratus-peratus, maka begitulah diandaikan situasi bakal dihadapi Hishammuddin.

Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menyerahkan sebilangan urusan parti kepada timbalannya. Abdullah pengerusi pada nama, tetapi urusan parti dikendalikan Datuk Seri Idris Jusoh. Begitu juga, Hishammuddin hanya pengerusi pada nama, tetapi akhirnya Ahmad juga yang mentadbir Umno Terengganu.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 3-9 Mei 2009 dengan tajuk sama)

Friday, May 1, 2009

Pak Tam selesa khidmat cara sendiri


Oleh: Mohd Nasir Awang

Rutin hariannya agak tetap. Bermula seawal 6.30 pagi, ketika sebahagian penduduk sibuk mempersiapkan diri untuk memulakan hari masing-masing, lelaki berusia 60 tahun ini sudahpun memulakan tugasnya.

Pada waktu itu Mohamad bin Mat Hassan telah berada di rumah salah seorang pembekal kuih-muih dan makanan yang akan dijajanya. Beliau tidak mengambil masa lama untuk mengangkut barangan jualan yang telah ditempah lebih awal itu, sebelum beredar ke rumah dua lagi pembekal di lokasi berbeza.

Setiap pagi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Tam Mat Husin di kalangan masyarakat setempat, membawa makanan dengan nilai jualan antara RM100 hingga RM200. Berbekal sebuah beca roda tiga yang agak uzur, beliau akan menjelajah dan menyelinap ke hampir setiap jalan dan lorong di beberapa kampung sekitar tempat tinggalnya.

Pak Tam berasal dari Kanpung Air Tawar, Besut, Terengganu. Kedua ibu bapanya sudah lama meninggal. Beliau ada beberapa adik beradik, termasuk yang berlainan emak. Antara mereka ada yang tinggal sekampung dan sedaerah, ada juga yang menetap di beberapa daerah lain di Terengganu.

“Isteri dah lama cerai. Anak ada lima orang, semua sudah berumah tangga, duduk di tempat lain”, cerita Pak Tam mengenai latar belakang keluarganya.

Kisah itu menjelaskan mengapa beliau hidup sebatang kara di sebuah rumah tinggal di kawasan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pengkalan Nyireh.

“Rumah ini tuan dia bagi saya duduk free (percuma). Air, api (elektrik) tumpang rumah sebelah”, jelas beliau.

Di usia mudanya, Pak Tam pernah menjadi nelayan. Beliau kemudian beralih kerjaya sebagai pegawai keselamatan di salah sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu.

“Tahun 2007, saya balik ke kampung. Mula-mula kutip (beli) besi buruk. Ketika itu harganya masih tinggi”, cerita Pak Tam ketika penulis berkunjung ke rumahnya.

Menurutnya, selepas harga besi di pasaran menjunam tahun lalu, beliau beralih kerjaya berjaja kuih-muih pula.

“Dari sini (RAKR), saya round (pusing) ikut Pengkalan Nyireh, masuk Air Tawar, Taman Noryanti, Alik Naik (Tanjung Demong). Patah balik ke Alik Jatuh (Kampung Baru), Seberang Kastam, masuk Pengkalan Nyireh semula. Ada ketika tu kalau makanan belum habis, terus ke Limbungan dan Tok Fakir”, cerita Pak Tam mengenai lokasi-lokasi laluan penjajaannya.

Menurut hitungan penulis sendiri, berdasarkan segenap jalan dan lorong dilaluinya di beberapa kampung itu, Pak Tam membuat jumlah kayuhan tidak kurang daripada 30 km setiap pagi.

Menariknya, di sebalik kerahan keringat itu, jadual ketibaannya ke setiap lokasi hampir tetap di setiap hari. Hal itu memudahkan para pelanggan tetapnya yang juga sibuk menguruskan rumah di waktu itu. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu menunggu lama di luar rumah untuk berurusan dengan Pak Tam.

Bagi dirinya pula, Pak Tam tidak pernah rasa rendah diri dengan apa yang dilakukannya. Beliau malah menganggap kerjanya itu satu bentuk khidmat yang memberi kemudahan kepada masyarakat, terutama suri rumah.

Upah 30 sen bagi setiap jualan RM1 adalah cukup memadai baginya. Apatah lagi beliau tidak perlu bersusah payah membuat sendiri makanan yang dijual. Yang tidak habis dijual pula dipulangkan kepada pembekal masing-masing.

“Saya selesa (hidup) macam ini. Anak memang ada ajak duduk sekali (tinggal bersama mereka).  Tapi (saya) malaslah nak susah mereka”, ujar Pak Tam menutup perbualan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mei 2009 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’ dengan tajuk sama)

PTNI - Usaha lahirkan anak muda berakhlak, komited terhadap Islam


Oleh: Nuwa Aitawa

Bangunan dua tingkat di antara rimbunan semak dan sawah padi terbiar di pinggir Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, bukan sekadar tempat menunaikan solat jemaah lima waktu.  Bangunan yang dinamakan Pusat Tarbiyah Nurul Iman (PTNI) itu dimakmurkan dengan berbagai aktiviti sepanjang minggu, terutama yang menekankan aspek pembinaan akhlak dan pemurnian hati para pengunjungnya.

Disebabkan penekanan yang berbeza itulah barangkali menyebabkan kewujudan PTNI mendapat reaksi agak pelbagai oleh anggota masyarakat dan pihak berkuasa, terutama pada awal penubuhannya.

“Mula-mula dulu orang rasa pelik kita buat (pusat tarbiyah) ini. Dia (kerajaan) hantar orang Pejabat Agama (Daerah Besut) mari tanya khabar, anggota keselamatan, polis pun ada mari (menyiasat). Tapi kita terbuka, kita bukan susut (sembunyi) ilmu ini, dia (penyiasat) boleh dengar sendiri lagu (macam) mana, dia boleh ikuti sendiri (kuliah)”, cerita pengasas merangkap Mudir PTNI, Ustaz Haji Adam Said.

Menurutnya, operasi pusat itu bermula seawal 1998 lalu, dengan kelas-kelas pengajian yang dikendalikan di serambi rumahnya, berdekatan bangunan sekarang. Bangunan baru dua tingkat yang ada kini hanya mula dibina pada 2007 hasil sumbangan derma orang ramai.

“Konsep belajarnya kita gabungkan konsep Pattani dan Mekah, belajar dan tarbiyah sekaligus. Jadi keutamaannya bukan setakat kita ajar ilmu saja, fardhu ain, bahkan tarbiyah sekali. Maksudnya kita nak mengajak hati manusia kepada Allah, bukan nak mendapatkan ilmu semata-mata”, ulas Ustaz Adam yang juga lepasan pengajian pondok di Pattani dan Mekah.

Ustaz Adam adalah anak watan Kampung Kubang Ikan. Selepas menamatkan pengajian peringkat SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Besut, beliau melanjutkan pengajian ke Madrasah Al-Arabiah Tarbiyah, Batu Pahat, Johor selama 3 tahun.

Beliau kemudian menyambung pelajaran dalam aliran pondok di Pattani, juga selama tiga tahun, sebelum melanjutkan pengajian ke Mekah, juga di bawah sistem pondok selama lima tahun.

Berbekalkan semangat dan pesanan guru-guru sewaktu belajar di sanalah, Ustaz Adam terdorong menubuhkan pusat tarbiyah sendiri tatkala pulang ke kampung halamannya.

“Semangat yang ditanam para guru saya, di Pattani dan juga di Mekah, menjadi pendorong utama saya membuka kelas pengajian sendiri ini, supaya saya membuat kerja agama ini pada kadar yang termampu”, katanya.

Asas utama dipegangnya, setiap individu Islam itu memerlukan tahap ilmu dan tarbiyah yang berbeza-beza.

“Pesanan guru supaya buat kerja (agama) ini, dia buat perbandingan seperti berniaga. Kadang-kadang berniaga kecil pun perlu, sebab ada orang perlukan (barangan dari) perniagaan kecil, tidak semestinya besar”, ulasnya lagi.

Menerangkan lebih lanjut mengenai aktiviti tetap di PTNI, beliau menjelaskan program tarbiyah dan qiyamullail diadakan setiap hari Jumaat malam Sabtu. Ia bermula dengan kuliah Maghrib untuk masyarakat umum, yang kemudiannya di sambung ke sebelah malam dan berakhir dengan kuliah Subuh di pagi Sabtu.

Bagi program pada Ahad malam Isnin dan Isnin (malam Selasa), ia diadakan antara pukul 10 hingga 12 malam. Menurutnya, sesi ini khusus untuk murid-murid yang telah istiqomah mengikuti program di situ sejak lebih sedekad lalu. Kebanyakan mereka adalah anak-anak muda dalam lingkungan umur 30-40 tahun.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana jumlah anak muda ini telah meningkat kira-kira 40 orang. Mereka pula menunjukkan komitmen sangat tinggi terhadap kerja-kerja Islam.

“Kepuasan (melihat hasil tarbiyah) itu ada, cuma tak cukup lagi. Kita perlu berusaha lagi. Kepuasan yang dirasai ialah apabila melihat anak-anak muda yang hadir mula komited dengan jamaah, dengan gerakan Islam dan kerja-kerja Islam”, ulas Ustaz Adam dalam nada ceria.

Di antara perubahan ketara, katanya, ialah minat anak-anak muda itu terhadap solat berjamaah. Mereka bahkan menjadi orang harapan memakmurkan surau di kampung mereka.

“Budak-budak muda susah untuk bersolat jamaah. Tapi di sini kita boleh melihat mereka menjaga surau. Harapnya apabila mereka balik ke kampung, mereka boleh jaga surau masing-masing. Nampak ada kesan positif tu”, tegas Ustaz Adam.

Mengimbau bagaimana mendapat ilham nama PTNI, Ustaz Adam mengakui ia ada hubungkait dengan seorang ulama’ terkenal, Sheikh Mahmud Al-Majzub, yang pernah dikenalinya di Mekah dulu. Sheikh Mahmud mengasaskan rangkaian Madrasah Nur Iman di beberapa negeri seperti Kedah, Selangor dan Pattani.

“Saya pernah melawat pondok dia, rasa berkenan dengan kaedah digunapakainya dalam pengajian. Jadi saya ambil nama sempena nama pondok dia. Bahkan, dia ada mari (ke PTNI) sebelum kita buat pusat ini”, cerita Ustaz Adam.

Sebelum sesi temubual kami berakhir, ustaz yang masih dalam usia 30-an itu sempat memberikan beberapa pesanan. Pertama, katanya, buatlah kerja agama ini walau pun kita ada kemampuan yang sedikit, kerana orang yang berhajat kepada ilmu agama tidak semestinya berhajatkan yang besar sahaja.

Prinsip dipegangnya mudah. Redha Allah Ta’ala bukan bergantung kepada kerja yang besar semata-mata. Kadang-kadang benda kecil kita buat, tetapi di sisi Allah besar pahalanya.

Pesannya lagi, dalam usaha membina agama ini, kita perlu mengajak hati-hati manusia kepada Allah, bukan mengajak batang tubuh sahaja. Sebab itu buatlah kerja agama tanpa mengharapkan untuk mendapat kemegahan atau apa-apa keperluan dunia. Memadailah kita buat kerana Allah, kerana mencari redha-Nya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mei 2009 di ruangan "jambatan ilmu" dengan tajuk sama)

Salahkah orang bukan Islam membaca al-Quran?


Oleh: Mohd Nasir Awang

Ada beberapa persoalan yang serta-merta mengasak benak fikiran penulis tatkala tercetusnya pertikaian mengenai tindakan seorang pemimpin bukan Islam membaca ayat al-Quran. Kesangsian itu tambah kusut apabila satu demi satu percanggahan pandangan oleh sebilangan ulama’ dan agamawan dipaparkan lewat media massa.

Isunya bermula dari ucapan seorang Ahli Parlimen di Perak yang membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Bukit Gantang, awal April lalu.

Kegagalannya menyebut ayat itu dengan betul dijadikan alasan kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu memetik ayat suci itu, kononnya bertujuan memperalatkannya bagi kepentingan politik.

Ekoran episod itu beberapa pihak sealiran dengan parti pemerintah mengemukakan bantahan.  Ada yang membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang itu. Beberapa tokoh agama juga disorot pandangan mereka. Secara mudah mereka menghukumkan (berdasarkan apa yang dilaporkan media) apa yang dibuat pemimpin berkenaan suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.

Reaksi berbeza diluahkan para pemimpin pembangkang. Mereka menganggap apa yang dibuat pemimpin tadi tidak salah. Islam tidak menghalang orang bukan Islam membaca ayat-ayat suci al-Quran.

“Sesiapa pun boleh baca al-Quran sama ada orang Islam atau bukan Islam, dan al-Quran bukan hak orang Melayu atau Arab, cuma bahasa al-Quran kebetulannya bahasa Arab, maka kelihatan ganjil jika dibaca orang bukan Islam yang biasanya tidak tahu bahasa Arab”, kata seorang ulama’ terkemuka sebuah parti pembangkang.

“Kalau nak kira tak betul, kita orang Melayu (Islam) sendiri masih ramai tak betul (bacaan).  Kalau tak betul, perbetukanlah bacaannya, bukannya dikecam”, katanya lagi.

Pandangan serupa turut diajukan seorang pemimpin partinya di Perak. Baginya usaha pemimpin bukan Islam itu mempelajari al-Quran sepatutnya digalakkan.

“Apa yang berlaku ialah intonasi dia dan cara sebutan tersalah. Itu bukannya isu besar (penghinaan). Kalau salah betulkanlah. Kalau salah baca dan terus suruh hentikan, bila seseorang itu nak fasih dan nak jadi pandai?” soalnya, yang juga bertaraf ulama’.

Malangnya rasional ini nampaknya amat sukar diterima para pemimpin Melayu/Islam dari kalangan parti lawan. Mereka bukan sahaja terus menghukum pemimpin bukan Islam tadi sebagai cuba mempersendakan ayat suci dan memperalatkannya untuk tujuan politik, malah seolah-olah cuba menutup terus peluang dan ruang kepada mana-mana orang bukan Islam mendekati al-Quran.

Ada pemimpin tinggi agama malah mempersoalkan, apa hak pemimpin politik bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramah politiknya sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?

Di sinilah timbul persoalan demi persoalan. Sebagai anggota masyarakat yang bagaikan tersepit di tengah-tengah pandangan bertentangan antara dua golongan ulama’ dan pemimpin, kita berhak dijelaskan apa pendirian sebenar dalam perkara ini yang bertepatan dengan hukum Islam dan prinsip dakwah Islam.

Dalam dunia serba maju dan terbuka kini, masyarakat tidak lagi gemar dipaksa untuk menerima bulat-bulat sesuatu penjelasan atau “hukuman sembrono”, terutama yang dirasakan dibuat atas kepentingan politik mana-mana pihak. Masyarakat sudah mampu berfikir dan merasional sendiri sesuatu perkembangan yang berlaku.

Untuk berlaku adil, penulis meringkaskan pendapat peribadi dalam pertikaian ini. Cuma di sini disenaraikan beberapa persoalan berkaitannya. Terpulang kepada para pembaca untuk mencari dan memikirkan jawaban-jawabannya, berbekalkan keimanan dan keikhlasan kepada agama ini.

Pertama, apakah semua umat Islam sendiri (terutama para pemimpin politik Islam) membaca al-Quran? Jika jawabannya tidak, maka bukankah satu tamparan apabila seorang bukan Islam bersedia mempelajari al-Quran, kemudian menjadikannya sandaran hujah dalam mengingatkan umat Islam?

Kedua, apakah semua orang Islam yang membaca al-Quran itu menjaga segala adabnya, sama ada lahir atau batin? Apakah mereka melafazkannya dengan betul?

Ketiga, apakah semua yang membaca dengan betul itu faham isu dan makna al-Quran itu?

Keempat, apakah semua yang faham makna itu membaca dengan niat betul? Bukan niat mempertandingkannya, atau mencari keuntungan duniawi darinya?

Kelima, jika dipersoalkan tentang keimanan seseorang yang membaca al-Quran, apakah yang betul bacaan, faham makna dan betul niatnya itu benar-benar beriman dan beramal dengan ayat-ayat yang dibaca?

Bukti keimanan ialah melaksanakan apa yang dititahkan Tuhan dalam al-Quran. Apakah umat Islam sendiri mengamalkan segala suruhan itu?

Ataukah mereka sekadar tahu membacanya sahaja. Ertinya, jika di atas sandaran itu, bukan sahaja pemimpin politik bukan Islam tadi yang wajar dipersoalkan atas keimanan terhadap al-Quran.

Kemudian persoalkan juga, jika bukan Islam dilarang dari membaca dan memahami al-Quran, sama ada disebabkan ketiadaan iman atau ketidaksucian jasad mereka, bagaimana mereka mahu faham dan mendalami Islam, serta mendekati Islam?

Kita pernah didedahkan dengan kisah sebegitu ramai tokoh terkemuka bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran. Bagaimana mereka berkesempatan mengkajinya sekiranya sedari awal mereka dihalang memegang atau membaca kitab suci itu?

“Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenal al-Quran melalui kitab berkenaan, cuba dihalang”, akhbar memetik ulasan pemimpin bukan Islam itu, sekaligus menerangkan niatnya atas tindakan itu.

Maka persoalan besar yang memerlukan penjelasan ialah salahkah bagi orang bukan Islam membaca al-Quran?

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mei 2009 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)