Friday, May 1, 2009

PTNI - Usaha lahirkan anak muda berakhlak, komited terhadap Islam


Oleh: Nuwa Aitawa

Bangunan dua tingkat di antara rimbunan semak dan sawah padi terbiar di pinggir Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, bukan sekadar tempat menunaikan solat jemaah lima waktu.  Bangunan yang dinamakan Pusat Tarbiyah Nurul Iman (PTNI) itu dimakmurkan dengan berbagai aktiviti sepanjang minggu, terutama yang menekankan aspek pembinaan akhlak dan pemurnian hati para pengunjungnya.

Disebabkan penekanan yang berbeza itulah barangkali menyebabkan kewujudan PTNI mendapat reaksi agak pelbagai oleh anggota masyarakat dan pihak berkuasa, terutama pada awal penubuhannya.

“Mula-mula dulu orang rasa pelik kita buat (pusat tarbiyah) ini. Dia (kerajaan) hantar orang Pejabat Agama (Daerah Besut) mari tanya khabar, anggota keselamatan, polis pun ada mari (menyiasat). Tapi kita terbuka, kita bukan susut (sembunyi) ilmu ini, dia (penyiasat) boleh dengar sendiri lagu (macam) mana, dia boleh ikuti sendiri (kuliah)”, cerita pengasas merangkap Mudir PTNI, Ustaz Haji Adam Said.

Menurutnya, operasi pusat itu bermula seawal 1998 lalu, dengan kelas-kelas pengajian yang dikendalikan di serambi rumahnya, berdekatan bangunan sekarang. Bangunan baru dua tingkat yang ada kini hanya mula dibina pada 2007 hasil sumbangan derma orang ramai.

“Konsep belajarnya kita gabungkan konsep Pattani dan Mekah, belajar dan tarbiyah sekaligus. Jadi keutamaannya bukan setakat kita ajar ilmu saja, fardhu ain, bahkan tarbiyah sekali. Maksudnya kita nak mengajak hati manusia kepada Allah, bukan nak mendapatkan ilmu semata-mata”, ulas Ustaz Adam yang juga lepasan pengajian pondok di Pattani dan Mekah.

Ustaz Adam adalah anak watan Kampung Kubang Ikan. Selepas menamatkan pengajian peringkat SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah, Besut, beliau melanjutkan pengajian ke Madrasah Al-Arabiah Tarbiyah, Batu Pahat, Johor selama 3 tahun.

Beliau kemudian menyambung pelajaran dalam aliran pondok di Pattani, juga selama tiga tahun, sebelum melanjutkan pengajian ke Mekah, juga di bawah sistem pondok selama lima tahun.

Berbekalkan semangat dan pesanan guru-guru sewaktu belajar di sanalah, Ustaz Adam terdorong menubuhkan pusat tarbiyah sendiri tatkala pulang ke kampung halamannya.

“Semangat yang ditanam para guru saya, di Pattani dan juga di Mekah, menjadi pendorong utama saya membuka kelas pengajian sendiri ini, supaya saya membuat kerja agama ini pada kadar yang termampu”, katanya.

Asas utama dipegangnya, setiap individu Islam itu memerlukan tahap ilmu dan tarbiyah yang berbeza-beza.

“Pesanan guru supaya buat kerja (agama) ini, dia buat perbandingan seperti berniaga. Kadang-kadang berniaga kecil pun perlu, sebab ada orang perlukan (barangan dari) perniagaan kecil, tidak semestinya besar”, ulasnya lagi.

Menerangkan lebih lanjut mengenai aktiviti tetap di PTNI, beliau menjelaskan program tarbiyah dan qiyamullail diadakan setiap hari Jumaat malam Sabtu. Ia bermula dengan kuliah Maghrib untuk masyarakat umum, yang kemudiannya di sambung ke sebelah malam dan berakhir dengan kuliah Subuh di pagi Sabtu.

Bagi program pada Ahad malam Isnin dan Isnin (malam Selasa), ia diadakan antara pukul 10 hingga 12 malam. Menurutnya, sesi ini khusus untuk murid-murid yang telah istiqomah mengikuti program di situ sejak lebih sedekad lalu. Kebanyakan mereka adalah anak-anak muda dalam lingkungan umur 30-40 tahun.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana jumlah anak muda ini telah meningkat kira-kira 40 orang. Mereka pula menunjukkan komitmen sangat tinggi terhadap kerja-kerja Islam.

“Kepuasan (melihat hasil tarbiyah) itu ada, cuma tak cukup lagi. Kita perlu berusaha lagi. Kepuasan yang dirasai ialah apabila melihat anak-anak muda yang hadir mula komited dengan jamaah, dengan gerakan Islam dan kerja-kerja Islam”, ulas Ustaz Adam dalam nada ceria.

Di antara perubahan ketara, katanya, ialah minat anak-anak muda itu terhadap solat berjamaah. Mereka bahkan menjadi orang harapan memakmurkan surau di kampung mereka.

“Budak-budak muda susah untuk bersolat jamaah. Tapi di sini kita boleh melihat mereka menjaga surau. Harapnya apabila mereka balik ke kampung, mereka boleh jaga surau masing-masing. Nampak ada kesan positif tu”, tegas Ustaz Adam.

Mengimbau bagaimana mendapat ilham nama PTNI, Ustaz Adam mengakui ia ada hubungkait dengan seorang ulama’ terkenal, Sheikh Mahmud Al-Majzub, yang pernah dikenalinya di Mekah dulu. Sheikh Mahmud mengasaskan rangkaian Madrasah Nur Iman di beberapa negeri seperti Kedah, Selangor dan Pattani.

“Saya pernah melawat pondok dia, rasa berkenan dengan kaedah digunapakainya dalam pengajian. Jadi saya ambil nama sempena nama pondok dia. Bahkan, dia ada mari (ke PTNI) sebelum kita buat pusat ini”, cerita Ustaz Adam.

Sebelum sesi temubual kami berakhir, ustaz yang masih dalam usia 30-an itu sempat memberikan beberapa pesanan. Pertama, katanya, buatlah kerja agama ini walau pun kita ada kemampuan yang sedikit, kerana orang yang berhajat kepada ilmu agama tidak semestinya berhajatkan yang besar sahaja.

Prinsip dipegangnya mudah. Redha Allah Ta’ala bukan bergantung kepada kerja yang besar semata-mata. Kadang-kadang benda kecil kita buat, tetapi di sisi Allah besar pahalanya.

Pesannya lagi, dalam usaha membina agama ini, kita perlu mengajak hati-hati manusia kepada Allah, bukan mengajak batang tubuh sahaja. Sebab itu buatlah kerja agama tanpa mengharapkan untuk mendapat kemegahan atau apa-apa keperluan dunia. Memadailah kita buat kerana Allah, kerana mencari redha-Nya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mei 2009 di ruangan "jambatan ilmu" dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment