Sunday, December 7, 2008

Pemesongan akidah tidak boleh diukur dengan akal

Yoga diharam untuk kebaikan umat Islam

Oleh: Anuwa Jamalullail

Keputusan pengharaman senaman yoga oleh pihak bertanggungjawab berkaitan hal ehwal agama Islam negara ini baru-baru ini nampaknya mengundang lebih banyak reaksi negatif berbanding positif.

Ada yang meminta Majlis Fatwa Kebangsaan memberi fokus kepada isu lain yang lebih utama dan serius, bukannya mengharamkan yoga yang pada mereka hanya satu jenis senaman.

Ada yang mengemukakan ‘testimoni’ bahawa dirinya tidak merasakan terpesong akidah meski pun telah mengamalkan senaman itu bertahun lamanya. Amalan yoga yang disifatkan mereka sebagai senaman menyihatkan tidak pernah menyebabkan pengamalnya menukar agama daripada Islam kepada Hindu atau mengancam kedudukan Islam.

Bahkan, ada yang berhujah, berbekalkan kesihatan tubuh hasil senaman yoga itulah menyebabkan dia semakin selesa beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah.

Pandangan yang lebih mirip kepada sanggahan itu disiarkan media sebagai reaksi pihak-pihak tersebut terhadap keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga secara sistematik. Pengumuman keputusan tersebut dibuat Pengerusi MPK, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin, 22 November lalu.

Menurutnya, amalan senaman yoga secara sistematik membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan adalah bertentangan dengan syariat Islam. Justeru, mengamalkannya dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam.

“Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan, senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak Sebelum Masehi itu yang menggabungkan amalan fizikal, unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah”, kata Abdul Shukor.

Justeru katanya, ahli muzakarah MFK memutuskan apa juga jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sejak 3,300 Sebelum Masehi. Ia dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Amalan senaman harian itu bagaimana pun kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu. Ia termasuk konsentrasi, posisi tubuh dan tangan yang dilakukan sambil membaca mantera.

Sebab itu umat Islam dinasihatkan agar menjauhi amalan yoga meski pun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya tanpa membaca mantera atau pemujaan, kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem senaman tersebut.

“Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini kita menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang pandangan Islam terhadap yoga,” ujar Abdul Shukor lagi.

Amat menyedihkan apabila ada pihak, terutama dari kalangan umat Islam sendiri mempertikaikan fatwa yang diputuskan MFK itu. Adalah wajar diingat bahawa fatwa ini bukan dibuat secara main-main, sembrono atau sewenang-wenang.

Sebagaimana ditegaskan Pengerusi MFK, keputusan itu adalah hasil kajian dan penelitian terhadap segala hujah dan pandangan berkaitan yoga. Ia akhirnya diputuskan demikian semata-mata demi memelihara akidah umat Islam.

Ada pun alasan kesihatan yang dikemukakan beberapa pihak bagi merasionalkan tindakan mereka mengamalkan yoga adalah semata-mata berlandaskan ukuran dan pemikiran akal. Wajar difahami bahawa tidak semua ajaran dan larangan Islam itu boleh dinilai mengikut kefahaman akal. Apatah lagi jika seseorang itu tidak begitu mahir atau mendalam ilmunya berkaitan ajaran Islam.

Itulah masalah utama umat Islam dewasa ini. Mereka cenderung menggunakan pertimbangan akal tanpa pengetahuan jelas mengenai hukum Islam. Kejahilan akhirnya mendorong mereka melakukan perkara-perkara yang terlarang dalam Islam tanpa mereka sedari.

Contoh kes-kes sebegini amat banyak. Masakan anda tidak pernah mendengar cerita pasangan yang dicekup berdua-duaan di tempat sunyi dalam aksi mencurigakan? Antara mereka masih sempat berhujah balas kepada pegawai agama yang menahan mereka, “apasal pula marah kami, kami bukan buat apa-apa pun!”

Ternyata orang itu mengira tidak ada salahnya berpegangan tangan atau berpelukan antara lelaki dan wanita bukan mahram. Barangkali menurut kefahamannya operasi pencegahan maksiat hanya bagi pasangan yang melakukan persetubuhan haram.

Begitu juga hukum meminum arak. Ia adalah haram kerana sifatnya yang memabukkan. Katakanlah ada seorang yang sangat terbiasa meminum arak. Disebabkan terlalu biasa dengan tabiat itu, maka sekadar dua tiga gelas arak sudah tidak memberi apa-apa kesan kepada mentalnya.

Jika logik akal digunakan, maka bolehkah bagi orang seumpama itu mengatakan arak tidak haram baginya kerana ia sudah ‘hilang’ sifat memabukkan itu?

Di sinilah perlunya bagi umat Islam ingat bahawa agama ini bukan tertegak dengan akal atau logik. Banyak hukum dan ketetapan dalam Islam tidak mampu digarap semata-mata dengan akal.

Tindakan terbaik bagi mereka ialah cuba mematuhi dan menghormati keputusan dibuat MFK selaku badan berotoriti dalam hal ehwal Islam. Apatah lagi jika keputusan itu membabitkan amalan yang berkemungkinan memesongkan akidah, sedangkan menurut ukuran akal ia tidak sebegitu.

Kebelakangan ini juga semacam ada kecenderungan di kalangan masyarakat bukan Islam tampil lebih berani mengusik sensitiviti khalayak majoriti negara ini, termasuk mempertikai keputusan MFK. Baru-baru ini ada NGO bukan Islam mengadakan demonstrasi membantah keputusan MFK mengharamkan perlakuan perempuan yang menyerupai lelaki atau ‘pengkid’.

Dalam kes pengharaman yoga ini pula, kedengaran suara ‘sumbang’ dari beberapa pihak bukan Islam, terutama kalangan penganut Hindu. Presiden Persatuan Malaysia Hindu Sangam, Datuk A. Vaithilingam menyifatkan langkah MFK mengharamkan yoga sebagai menghina komuniti Hindu di negara ini.

Nada tidak senang sebegitu turut disuarakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu. Beliau mendakwa fatwa itu telah menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan di kalangan rakyat bukan Islam, terutama penganut Hindu.

Di sinilah perlu difahami bahawa fatwa dikeluarkan itu bukan bertujuan mencerca, memperkecilkan atau menghina agama lain, termasuk Hindu. Sebaliknya ia sebagai panduan agar umat Islam tidak melakukan amalan yang dilarang agama.

“Setiap fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah panduan kepada umat Islam saja. Hukum itu tidak membabitkan penganut agama lain dan semua pusat yoga boleh meneruskan operasi senaman itu untuk penganut bukan Islam,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengulas kebimbangan khalayak bukan Islam mengenai fatwa berkenaan.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 7 Disember 2008 dengan tajuk sama)

Monday, December 1, 2008

Masjid Cina pemangkin dakwah, pemecah benteng perkauman


Oleh: Mohd Nasir Awang

DALAM salah satu hadisnya yang masyhur berkaitan keutamaan menuntut ilmu, Rasulullah saw menggalakkan umatnya memburu ilmu pengetahuan walau pun terpaksa mengembara ke negara sejauh China.

Meski pun perjalanan antara Semenanjung Tanah Arab dengan negara itu kini memakan masa hanya beberapa jam, hakikat hadis tersebut hendaklah difahami dalam konteks zaman Baginda saw lebih 1400 tahun lalu. Dengan menyarankan umat Islam bermusafir hingga ke China itu, Rasulullah saw mungkin bermaksud menggambarkan bahawa tuntutan mencari ilmu tidak mengenal batas sempadan negara mahu pun kepayahan perjalanan.

Dari perspektif berbeza, hadis itu juga mengajak kita berfikir bahawa tentu tersirat suatu hikmah sangat besar mengapa Baginda saw memilih untuk menyebut negeri China sebagai destinasi yang wajar dipertimbangkan umatnya untuk mencari ilmu. Sedangkan di zaman itu sudah ada puluhan negeri lain serata dunia yang dianggap maju dan bertamadun.

Apakah mungkin Rasullullah saw sudah dapat mencium kehebatan bangsa berkenaan, terutama dalam membekalkan ilmu-ilmu yang dapat dimanfaatkan umat Islam? Dinilai dari sudut itu, bermakna hadis tersebut adalah satu pengiktirafan Baginda terhadap kemajuan ilmu dimiliki China ketika itu.

Atau mungkinkah sedari kala itu Rasullullah saw sudah melihat bangsa Cina sebagai kaum yang sangat berpotensi didampingi dan dijadikan sasaran dakwah Islam?

Jika gesaan mendampingi kaum Cina itu dianggap satu cabaran buat umat Islam, kita di Malaysia agak beruntung kerana sudah tidak perlu mengembara ke negara itu untuk berbuat demikian. Di negara kita sendiri, kaum Cina membentuk lebih sepertiga komposisi penduduk.

Cuma agak malang, kaum majoriti Melayu bukan sahaja ketinggalan di belakang mereka dalam perlumbaan duniawi, malah turut gagal dalam misi dakwah menyampaikan kebaikan Islam kepada kaum Cina. Selepas sudah hampir satu abad berinteraksi dan hidup bersama, kita masih gagal memanfaatkan peluang itu untuk mempesonakan mereka dengan kehebatan agama Islam.

Salah satu punca dikenalpasti ialah kekurangan mekanisme dakwah yang mantap khusus untuk kaum tersebut. Sebab itu agak kena pada masanya apabila akhir Oktober lalu, Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, mencadangkan agar kerajaan membina sebuah masjid khusus untuk Cina Muslim di pusat bandar Kuala Lumpur. Segala aktivitinya termasuk kuliah dan khutbah Jumaat dicadangkan menggunakan bahasa Mandarin.

Bagi Zulkifli, langkah itu akan dapat menarik masyarakat Cina yang menghuni kota raya mendekati Islam serta akhirnya memeluk agama suci ini.

Cadangan itu bagaimana pun dipertikaikan. Ada yang menganggap ia menggalakkan sifat perkauman apabila dikhususkan kepada sesuatu kaum sahaja. Dalam Islam, kata mereka, masjid adalah tempat untuk menyatukan semua bangsa.

Ada pula yang mempertikaikan dari sudut penggunaan bahasa pengantarnya. Kononnya penggunaan bahasa Mandarin membelakangkan bahasa kebangsaan yang sepatutnya difahami setiap warga negara ini.

Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bagaimana pun ada pendirian berbeza. Naib Presidennya, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, usaha membina masjid Cina sebenarnya amat penting dalam konteks negara ini. Kewujudannya akan dapat mengubah fahaman sempit dan persepsi salah kebanyakan rakyat Malaysia bahawa agama Islam hanya milik orang Melayu, atau hanya boleh dikembangkan menggunakan bahasa Melayu.

“Dengan (pembinaan masjid) itu, usaha dakwah lebih mudah dijalankan kepada kaum Cina kerana terdapat tempat rujukan bagi mereka mendapatkan gambaran Islam yang sebenar”, katanya.

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin turut bersetuju dengan cadangan pembinaan masjid itu. Baginya usaha itu akan membantu golongan Muslim bukan Melayu mendalami agama Islam dengan lebih berkesan.

Baginya, penubuhan masjid itu adalah langkah terbaik kerana pengurusan masjid yang dikendalikan golongan tersebut sendiri lebih memahami masalah yang dihadapi komuniti Cina Muslim. Bahkan, pengembangan agama Islam menjadi lebih mudah melalui penggunaan bahasa yang mudah mereka fahami.

Sebenarnya masjid pertama seumpamanya di negara ini sudah pun terbina di Rantau Panjang, Kelantan. Menggunakan sebahagian besar seni bina Cina sebagai terasnya, masjid pelbagai budaya yang dikenali juga dengan Masjid Beijing itu dianggarkan menelan kos RM9 juta. Ia sudah hampir siap dan telahpun digunakan bermula Ramadhan lalu. Seorang imam dari China didatangkan khas untuk mengimani solat terawih di situ.

Ia bagaimana pun turut tidak terlepas daripada nilaian negatif kalangan tertentu. Ada yang mengkritik reka bentuknya sebagai satu kecelaruan seni bina yang menyimpang dari tradisi dan meminggirkan akar umbi tradisi Melayu yang berkait rapat dengan Islam di negara ini. Ia dianggap terasing dari seni bina setempat dan terasing dari persekitaran di tengah-tengah masyarakat Melayu tradisional.

Bagi kita, itulah sebenarnya punca utama kegagalan dakwah Islam kepada kaum bukan Melayu. Kita terlalu mengagungkan fahaman kemelayuan itu sehingga seolah-olah menetapkan Islam di Malaysia mestilah berindentitikan Melayu sahaja.

Demi kebaikan dakwah Islam, fahaman salah itu mesti dihapuskan. Sudah sampai masanya kita melihat secara positif kewujudan masjid Cina sebagai pemangkin kepada usaha dakwah lebih efektif.

Kewujudan masjid beridentitikan Cina di tengah-tengah persekitaran Melayu juga sebenarnya memancarkan lagi bahawa Islam itu agama universal. Akan terasa Islam itu dipunyai seluruh komuniti tanpa mengira perbezaan bahasa mahu pun budaya. Mudah-mudahan hakikat itu akan memecahkan benteng perkauman yang sangat kebal di negara ini selama ini.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Bil: 210, Disember 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

Kepimpinan bukan di waktu rasmi sahaja


Oleh: Mohd Nasir Awang

Akhir-akhir ini, kemelut kepimpinan semakin manjadi isu yang hangat diperkatakan.  Pertikaman lidah, tuduh menuduh, cabar mencabar berlaku secara terang-terangan. Malah ada yang menawar diri menjadi pemimpin dengan menikam lawan dari belakang.

MUSLIMAH berasa terpanggil untuk mengupas persoalan ini. Wakil MUSLIMAH, Mohd Nasir Awang telah berkesempatan menemubual Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr. Johari Mat dalam satu wawancara eksklusif yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan.

Al-Muslimah: Maksud kepimpinan dari sudut bahasa dan istilah syarak.
Dr. Johari: Kepimpinan berasal dari perkataan ‘pimpin’. Memimpin bererti mengurus, mendidik, menunjuk jalan kepada kebaikan dan pada waktu yang sama memberitahu perkara tidak baik supaya dijauhi. Sebab itu, Nabi s.a.w sebagai pemimpin, kepimpinannya adalah (berteraskan) dua perkara. Dia tunjuk apa yang baik dan dia suruh buat. Baginda juga menjelaskan perkara yang buruk, dia sendiri menganjur supaya tidak melakukan dan mencegahnya supaya tidak berlaku. Itu maksud kepimpinan. Dia (Rasullullah) menjadikan dirinya sendiri sebagai contoh kepada umatnya.

Al-Muslimah: Bagaimana dengan tanggungjawab seorang pemimpin?
Dr. Johari: Dalam qiyadah (kepimpinan), ada kewajiban, ada tanggungjawab dan haknya. Hak yang dia perlu dapat dan kewajiban yang dia kena laksanakan.

Kewajibannya ialah dia kena memberi perhatian sepenuh masa untuk memimpin masyarakat yang dia dapat amanah dalam bentuk yang besar atau kecil, mengikut ukuran dia. Jadi kepimpinan ini bukan sahaja di waktu rasmi. Tidak! Ia berterusan, 24 jam, dalam bahasa mudahnya.

Apabila dia menjadi pemimpin, maka dialah orang pertama akan disoal dan ditanya di hadapan Allah dan juga masyarakat manusia. Kedua-dua soalan ini sangat besar dan berat kepada seorang pemimpin.

Boleh tawar diri jika layak jadi pemimpin

Al-Muslimah: Bolehkah jawatan pemimpin itu diminta?
Dr. Johari: Dalam hadis Rasullullah s.a.w menyebut, maksudnya, sesiapa yang meminta untuk sesuatu jawatan atau pemimpin, Allah Ta’ala akan serah kepadanya dan Allah tidak akan bantu.  (Ertinya) kalau dia tidak layak dan meminta, Allah Ta’ala akan beri juga (tetapi) ketika itu Allah tidak akan bantu.

Sebaliknya, orang yang layak dan diberi kepercayaan oleh orang, (sedangkan) dia tidak minta (jawatan) tetapi dia ditunjukkan, dilantik, Allah akan bantu dia. Sebab itu kita tengok, sekiranya seseorang itu meminta untuk menjadi pemimpin, dan dia tidak layak, kemungkinan dia dapat menjadi pemimpin dan Allah serah kepadanya untuk jadi pemimpin, tapi Allah tidak tolong.

Al-Muslimah: Bagaimana dengan trend sekarang ini menawarkan diri untuk dipilih? Bukankah itu meminta untuk dipilih?
Dr. Johari: Itu tidak menjadi halangan sekiranya dia seorang yang layak. Misalnya, dia tengok keadaan masyarakat yang tidak menentu dan dia rasa dia bertanggungjawab, lalu dia menawarkan diri, itu tidak jadi masalah.

Al-Muslimah: Sebagaimana dalam kes Nabi Yusof a.s?
Dr. Johari: Ya, Nabi Yusof, dia tidak jadi masalah. (Ataupun) dia boleh terima kalau orang yang nak calonkan dia, sebagaimana berlaku kepada Saidina Ali k.a.w dan Saidina Osman r.a.  Kerana orang tanya, bersedia tak (untuk dipilih)? Kalau bersedia, okay.

(Atau) kalau dia tengok orang dalam suasana kekalutan dan mungkin jawatan (kepimpinan) itu akan terlepas kepada orang yang tidak munasabah, boleh membawa kepada rosak (masyarakat) dan dia rasa dia lebih baik, dia boleh menawarkan diri.

Al-Muslimah: Hujah inilah yang selalu digunakan pemimpin politik. Dia rasa orang lain tak berapa layak, kalau diberikan kepimpinan kepada orang lain, akan rosak binasa. Jadi dia menawarkan diri. Ukuran kelayakan kepimpinan itu seolah-olah sudah diambil mudah. Apakah kecenderungan itu baik untuk masyarakat?
Dr. Johari: Sebenarnya kepimpinan ini kita ukur dengan agama. Ramai orang ukurnya dengan ukuran yang berbagai. Pemahaman itu perlu kita perbetul semula dengan kefahaman Islam, agama kita. Islam ada syaratnya sendiri. Yang pertama orang berilmu, yang kedua berakhlak, yang ketiga takwa, yang keempat amanah, yang kelima jujur, ikhlas. Bukan mengukur dengan perasaan.

Sekarang mungkin ramai orang yang melihat dari sudut yang berbeza dari yang dikendaki oleh agama Islam.  Mungkin setiap orang rasa dia berhak, dia rasa dialah paling amanah, dia paling bagus. Yang itu perasaan kita sahaja. Kita kena tengok, ukur diri kita dengan agama.

Dan orang yang memahami Islam, dia merasakan (kepimpinan) ini adalah satu tugas dan ibadatnya kepada Allah. Jadi apabila dia diberi tampuk pemerintahan, kuasa, dia akan jadikan dengan kuasa itu dia boleh masuk syurga, di samping ibadat lain.

Apabila perasaan ini ada, orang (pemimpin) akan jadi betul dengan Allah. Sebab itu seorang yang jadi pemimpin, sebagaimana dia nak masuk syurga dengan sembahyang dia, maka dia tempel satu lagi, masuk syurga dengan memerintah. Selama mana orang itu merasai dia nak masuk syurga sebagai pemimpin, dia akan memastikan apa yang dia buat kena dengan kehendak Allah. Kalau kita boleh pacak di situ, selesai amanah kepimpinan kita.

Pilih pemimpin berdasarkan harta adalah khianat  

Al-Muslimah: Ada kecenderungan masyarakat kini menentukan kelayakan seseorang pemimpin yang nak dipilih itu berdasarkan keupayaan material. Orang yang ada kekuatan kewangan, orang itulah yang cenderung dipilih.
Dr. Johari: Ini pun telah diberi amaran oleh Rasullullah s.a.w. Pilih pemimpin jangan berdasarkan kepada anak-beranak, jangan berdasar kepada harta dan kedudukan, tetapi berdasarkan pada kelayakan. Kalau kita berdasar kepada anak-beranak, itu tidak diterima sebagai kelayakan.

Malah Rasullullah s.a.w sebut, (apabila) ada orang yang lebih berwibawa untuk memimpin, mempunyai syarat yang baik dan lebih baik daripada orang lain, tiba-tiba kita tak pilih dia kerana dia tiada duit, tidak ada kedudukan, tak ada apa-apa dan kita pilih orang lain yang ada duit, ada harta dan pangkat atau keturunan, maka pemilih-pemilih itu telah mengkhianati Allah dan Rasul.  Mereka bukan mengkhianati orang itu, tetapi mengkhianati Allah dan Rasul.

Kepimpinan ini bukan benda main-main. Kerana itu dikatakan jika pemimpin itu baik, masyarkat akan turut baik. Kalau pemimpin rosak, masyarakat akan turut punah. Pemimpin merupakan nadi kepada sesebuah tempat atau negara.

Al-Muslimah: Konteks hadis tadi hanya tertakluk untuk individu atau boleh diaplikasi terhadap pertembungan antara organisasi atau kumpulan?
Dr. Johari: Boleh semua, kerana yang dikehendaki ialah siapa yang diredhai Allah dan Rasul.  Orang yang diredhai Allah dan Rasul mestilah dia berdasarkan kepada agama, kepada Islam.  Dalam konteks kita sesama kumpulan Islam pun kena cari orang yang paling layak berdasarkan kepada ilmu, kepada kewarakan, keupayaan pentadbiran dan kepintaran. Kalau kita tidak ambil benda ini, kita ambil unsur-unsur kewangan, kekayaan, kepimpinan akan menjadi rosak.

Kerana itu Nabi s.a.w ada sifat ‘fatonah’ (kebijaksanaan), dia pintar dalam menyelesaikan semua masalah. Sama ada dia selesai sendiri atau minta tolong orang, itu terpulang. Dia pentadbir.

Sifat-sifat Nabi yang lain ialah sidiq, amanah dan tabligh. Dia tak sebut (sifat) harta di sini.  Sebab itu mudah saja kita nak tahu sifat pemimpin. Tengok sifat Nabi, sidqun, amanah (jujur), tabligh, dan fatonah (bijaksana).

Kena ada unsur-unsurnya. Apabila unsur itu ada, baru dia boleh jadi pemimpin. Kalau sidiq (jujur) ada, tapi tabligh tak ada, tak menyampaikan mesej, tak menyampaikan peraturan, tak boleh juga. Tablighnya ada tapi tak cerdik, tiada fatonah, pun tidak boleh juga. Mesti ada keempat-empat itu, mengikut kadar masing-masing.

Sebenarnya empat sifat Nabi itu adalah sifat pemimpin. Kalau kita hendak pilih pemimpin, begitulah sifatnya. Tapi kalau tidak ada (sifat itu) turunkanlah, tapi jangan sampai tak ada langsung.

Umat Bani Israel pernah komplen kepada nabi mereka. Mereka kata tolonglah beri kepada kami seorang pemimpin, untuk berperang. Lalu Allah kata, ‘Thaluta malika’- nak lantik Thalut sebagai pemimpin.

Mereka komplen, macam mana nak lantik Thalut sebagai pemimpin, dia orang sesak (miskin)?

Ertinya, masalah kewangan ini sudah jadi teras pemikiran manusia di zaman Bani Israel dulu.  Nak jadi pemimpin mesti orang kaya. Jadi perangai ini perangai Bani Israel!

Al-Muslimah: Akhir sekali apa nasihat Dr. kepada masyarakat umum terutama tanggungjawab memilih pemimpin?
Dr. Johari: Pertama, orang Islam hendaklah pilih pemimpin sebagaimana yang dikehendaki atau diajar oleh Allah SWT. Untuk mengetahui atau mengenali sifatnya, maka kita kena belajar, kena membaca dan kena ada pengetahuan. Jangan kita utamakan kehendak kita, kerana pemimpin yang kita pilih akan membawa kita sama-sama di akhirat kelak.

Jika dia tidak selesai urusan dunia maka kita sebagai orang memilihnya akan ditanya Allah di akhirat nanti, mengapa kita memilih si polan. Orang yang silap memilih akan menyesal tidak habis-habis, manakala orang yang betul memilih akan gembira sepanjang masa.

Kita perlu ingat, memilih pemimpin bukan perkara main-main atau suka-suka, tetapi kita memilih untuk kita menuju ke akhirat dan melibatkan persoalan syurga dan neraka. Tak guna kita memilih orang yang tidak diredhai Allah.
           
(Artikel ini disiarkan majalah Al-Muslimah, Bil: 210, Disember 2008 di ruangan ‘TOPIK’ dengan tajuk sama)

Ma’ahad Tahfiz wal Ta’alim Matlail Badrain

Hidup atas sumbangan ehsan masyarakat

Oleh: Nuwa Aitawa

Berlatarbelakangkan banjaran berkabus sepanjang pagi, perkampungan Ma’ahad Tahfiz wal Ta’alim Matlail Badrain (MTTMB) di kaki bukit bukau sederet dengan Bukit Bintang dan Gunung Tebu di Besut, Terengganu, kelihatan bagaikan sebuah penempatan terasing. Di tengah-tengah antara kebun getah, kelapa sawit dan lereng bukit di Kampung Pasir Tawar, Mukim Jabi itu, berceratuk lebih 100 buah rumah dan pondok. Sebahagiannya tidak berpenghuni dan ada yang masih dalam pembinaan.

Keindahan persekitaran semulajadi yang damai hening itu disyahdukan lagi dengan sebuah masjid tiga tingkat yang tersergam indah di tengah-tengah perkampungan. Menaranya yang memuncak tinggi melepasi pucuk durian dan petai dapat dilihat dari kejauhan.

Pun begitu, kesepian yang menyelubungi perkampungan itu pada sebahagian besar waktu siang dan malamnya bagai menggambarkan kesayuan perasaan lebih 60 penghuninya. Mengenepikan kemewahan hidup, mereka rela ‘terpisah’ dari dunia luar semata-mata bagi mendekatkan diri dengan ilmu-ilmu Islam.

Keazaman itulah yang telah memungkinkan sekumpulan individu merealisasikan hasrat menubuhkan perkampungan Islam di situ. Ma’ahad Matlail Badrain ditubuhkan pada 1987 sebagai sebuah perkampungan pondok. Kumpulan pengasas utamanya diketuai Haji Abdul Latif Mohamad, Haji Zahari Mohamad dan Allahyarham Mir Mohamad Mohd Shah. Terdapat 113 lot perumahan dan kedai di perkampungan itu. Kini hanya 60 lot dihuni.

“Dulu memang ramai (penghuni). Pelajar pondok pun ramai di sini, sekitar 70 ke 80 orang.  Sekarang pondok dah mati. Tapi kuliah agama untuk penduduk masih ada. Kita ambil keputusan alih kepada sekolah tahfiz”, ujar Haji Abdullah Hamzah.

Abdullah, 48, adalah Bendahari MTTMB. Pesara kerajaan itu adalah juga salah seorang pengasas MTTMB dan menetap di perkampungan itu sedari ia dibuka.

Menghurai lanjut mengenai kelas tahfiz dikendalikan pihaknya, Abdullah mengakui halangan utama kepada kemajuan pusat berkenaan ialah kewangan yang sangat kritikal. Menurutnya, MTTMB tidak ada sumber pendapatan tetap yang mencukupi.

“Tapi mahu tidak mahu kita kena belanja sekitar RM4,000 sebulan, untuk pengurusan dan elaun guru-guru. Alhamdulillah, setakat ini masih mampu ditampung. Segalanya dari sumbangan peribadi tertentu dan orang awam”, katanya.

Menurutnya, buat masa ini sudah dua kali pengambilan pelajar untuk kelas tahfiz dibuat. Jumlah pelajar kini 18 orang. Mereka disantuni enam tenaga pengajar yang bukan sahaja berilmu dan berkebolehan, malah terbukti mempunyai kegigihan dan komitmen tinggi dalam menjayakan pengajian tersebut.

Menerangkan lebih lanjut mengenai syarat kemasukan pelajar tahfiz, Abdullah berkata, syarat utama ialah tamat Darjah Enam serta tahu membaca jawi dan al-Quran. Yuran dikenakan hanya RM150 sebulan termasuk penginapan dan makan-minum.

“Kita tak mampu nak bina kelas khusus untuk mereka. Semua kelas hafazan kita buat di masjid.  Alhamdulillah, walau pun dengan serba daif, pelajar kita sangat bersemangat. Bahkan sudah ada yang menghafaz lebih enam juzuk setakat ini”, sambung Abdullah lagi.

Menyentuh mengenai masjid yang sudah hampir 80 peratus siap itu, Abdullah menganggarkan nilaian kos yang telah dibelanjakan melebihi RM1.5 juta. Semua kos itu, katanya, ditampung menerusi sumbangan masyarakat sejak lebih 20 tahun lalu, terutama melalui penganjuran majlis jamuan nasi sambil menderma yang diadakan saban tahun.

“Duit hasil derma jamuan itu kita tak usik. Ia sepenuhnya untuk masjid. Untuk Ma’ahad Tahfiz kita cari sumber lain”, Abdullah menjelaskan.

Amat malang dan tidak adil rasanya, bukan? Tatkala rakan-rakan sebaya mereka di sekolah elit dan premier yang mengejar ilmu keduniaan di luar sana dihujani kemewahan dan pelbagai saraan, para pelajar yang bertungkus lumus menghafaz al-Quran di MTTMB ini dibiarkan dalam serba kedaifan dan kesempitan.

Sebab itu Abdullah merayu sumbangan orang ramai. Beliau meyakinkan, masyarakat tidak perlu bimbang untuk menghulurkan sumbangan kepada MTTMB kerana ia sebuah organisasi yang sah di sisi undang-undang negara.

“Kita adalah pertubuhan sah yang berdaftar dengan ROS (Pendaftar Pertubuhan) dan diiktiraf sebagai sebuah NGO Islam oleh pelbagai pihak termasuk YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) dan JAKIM ( Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)”, katanya.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkannya terus kepada akaun Ma’ahad Tahfiz wal Ta’alim Matlail Badrain di Bank Islam. Nombor akaunnya 13-035-01-002355-6.  Abdullah pula boleh dihubungi menerusi talian 013-9803517.

Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa pentadbir MTTMB yang ditemui, Wan Ismail Wan Kadir, turut melahirkan harapan sangat tinggi kepada sokongan masyarakat luar, bukan sahaja dalam bentuk kewangan, bahkan moral. Baginya tidak ada makna masjid yang tersergam itu apabila masyarakat tidak datang memakmurkannya.

“Bagi saya modal adalah satu hal. Apa yang sangat kami harap ialah sokongan moral masyarakat sekeliling. Sekurang-kurangnya marilah mendengar (kuliah). Apatah lagi di sinilah satu-satunya tempat diadakan kuliah Jumaat di sekitar Dun Jabi ini khususnya. Bila ada gotong-royong atau apa-apa aktiviti Matlail Badrain ni, pakat mari tolonglah”, rayu Wan Ismail.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 210, Disember 2008 di ruangan ‘Jambatan Ilmu’ dengan tajuk sama)

Sunday, November 30, 2008

Umno perlu tebus kezaliman, kikis kepahitan rakyat


Prasyarat ajak PAS bersatu demi bangsa, agama

Oleh: Anuwa Jamalullail

PELBAGAI pihak menilai kesediaan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) memenuhi jemputan Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, untuk mengadakan perbincangan mengenai kepentingan wanita Islam baru-baru ini suatu petanda positif ke arah kerjasama dan perpaduan lebih mantap antara kedua-dua sayap parti Melayu terbesar itu.

Meski pun Shahrizat bertindak di atas sifatnya sebagai Pengerusi Sekretariat Pembelaan dan Perkasaan Wanita Islam (Senada) dan bukannya atas jawatan parti, kedudukannya dalam politik negara tidak boleh diketepikan. Apatah lagi tanggungjawabnya menerajui Senada itu ada hubungkait dengan jawatannya sebagai Penasihat Hal Ehwal Wanita dan Sosial kepada Perdana Menteri.

Sebab itu kerjasama Senada dengan DMPP yang termeterai pada 14 November lalu dianggap satu lagi detik bersejarah dalam hubungan antara PAS dan Umno. Ia antara lain membuktikan bahawa Islam boleh menjadi titik penyatuan kepada semua pihak dalam segenap aspek kehidupan, walau pun melibatkan latar belakang politik yang berbeza.

“Kerjasama dan perjuangan ini adalah wadah yang akan menyatukan kita di bawah satu agama iaitu Islam. Kita akan wujudkan pelbagai program yang melibatkan badan bukan kerajaan dan pihak yang relevan dalam memperkasakan kedudukan wanita Islam”, kata Shahrizat.

Bagi Ketua DMPP, Ustazah Nuridah Salleh, kehadiran beliau dan rombongan ke pejabat Shahrizat di Putrajaya hari itu semata-mata bagi memenuhi tanggungjawab dan tuntutan terhadap Islam.

“Muslimat PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama dan melaksanakan kerja kebajikan bersama siapa sahaja. Kita boleh bersama tanpa sebarang halangan”, katanya.

Apa yang dilakukan kepimpinan DMPP itu sebetulnya adalah contoh keterbukaan PAS dalam mengenepikan agenda politik parti dan mengutamakan kepentingan bangsa dan agama. Sebelum ini sudah ada ketika tertentu di mana para pemimpin PAS berkongsi pentas atau meja dengan musuh politik mereka demi menyempurnakan sesuatu agenda bersama.

Kita tentu tidak lupa detik bersejarah bilamana Presiden PAS, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkongsi pentas dengan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan para pemimpin Umno lain dalam menyatakan kebersamaan umat Islam di Malaysia dengan perjuangan rakyat Palestin.

Di atas pertimbangan kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu juga beberapa pemimpin PAS memenuhi undangan pemimpin Umno untuk bertukar pandangan mengenai pembentukan kerajaan beberapa negeri sebaik selesai pilihan raya umum, Mac lalu.

Pertemuan secara rahsia itu kemudiannya menjadi bahan pergeseran dan pertikaian pendapat sesama pemimpin PAS sehingga nyaris-nyaris merobek kebulatan perpaduan dalam parti itu.

Apa pun reaksi dan impak dari episod itu terhadap kedua-dua parti, tidak ada pihak wajar menafikan bahawa pertemuan dan perbincangan itu sendiri membuktikan kesediaan dan keterbukaan PAS mendengar apa jua permasalahan dan perancangan dikemukakan musuh utamanya.

Keterbukaan dan jiwa besar ditunjukkan para pemimpin PAS itu juga terserlah dalam meraikan bekas pemimpin Umno. Dalam sejarahnya, PAS menjadi parti paling mudah menyediakan pentas untuk mereka yang kecewa atau tersingkir daripada parti itu. Tun Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan puluhan lagi pemimpin yang suatu ketika menjuarai serangan terhadap PAS, adalah antara yang pernah diberikan layanan istimewa di pentas PAS.

Pun begitu, sikap terbuka dan apologetik PAS itu tidak seharusnya diambil kesempatan oleh pihak lain untuk memperbudak atau memperalatkannya. Sebagaimana disebutkan Presiden PAS beberapa bulan lalu, “orang PAS bukannya bodoh”. Keterbukaan mereka ada batas dan syaratnya.

Sebab itu apabila ada pihak mengesyorkan agar PAS-Umno kembali bersatu demi bangsa dan agama, ia suatu yang perlu ditangani penuh hati-hati. Sebagai parti yang berkuasa dalam pemerintahan negara, tanggungjawab Umno membuktikan keikhlasannya menjayakan hasrat itu lebih berat berbanding PAS.

Sebabnya, jika dikatakan antara punca utama perpecahan bangsa Melayu ialah kerana diskriminasi dan penyisihan politik, maka mangsa utama perlakuan itu ialah orang-orang PAS. Pemangsa mereka pula sudah tentu para pemimpin Umno.

Pelu diakui bahawa perpecahan bangsa Melayu adalah manifestasi rasa ‘keterasingan’ sekelompok Melayu ekoran amalan diskriminasi dan penindasan politik oleh Melayu yang berkuasa ke atas Melayu yang tidak berkuasa. Hal inilah yang bertanggungjawab secara langsung menyebabkan perpecahan PAS-Umno sejak sekian lama.

Di antara negeri tumpuan kes-kes perpecahan sebegitu ialah negeri yang menjadi pangkalan kekuatan PAS, terutama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Sebagai pangkalan perpecahan, pada adatnya orang-orang PAS di negeri-negeri tersebut lebih memahami apa yang telah mereka lalui.

Sebab itu apabila Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Salleh, dua minggu lalu menggesa rakyat tanpa mengira fahaman politik melupakan persengketaan dan mengutamakan perpaduan bangsa Melayu dan Islam, ia suatu yang tidak semudah diucap.

Banyak premis yang seeloknya diperbetulkan terlebih dahulu seandainya kita berhasrat melihat perpecahan PAS-Umno diubati. Apatah lagi sebagai salah seorang pemimpin utama Umno di Terengganu, Wan Farid tidak perlu pergi jauh untuk melihat kemusnahan bangsa dan keretakan agama yang berlaku ekoran polisi pemerintahan partinya.

Lantaran itu, Umno yang menerajui negeri itu perlu membuktikan keikhlasan dengan melakukan ‘taubat nasuha’. Mereka perlu berikrar pada diri sendiri tidak akan mengulangi kezaliman yang telah lalu antara sesama bangsa dan agama. Serentak itu mereka perlu berusaha mengikis kepahitan dialami orang-orang PAS akibat polisi berat sebelah dan pilih kasih yang Umno amalkan selama ini.

Senarai kezaliman pemerintahan Umno terhadap orang-orang PAS di Terengganu agak panjang. Antaranya ialah pemecatan puluhan imam dan bilal tanpa sebab syarie, perampasan puluhan ribu lot tanah yang telah dianugerahkan oleh PAS kepada rakyat, penafian berbagai bantuan kebajikan, input pertanian dan perkakasan nelayan, karenah mendapatkan rumah murah, pembiayaan pendidikan anak-anak dan jawatan perkhidmatan awam serta pelbagai lagi.

Semua penindasan ini berlaku apabila Umno mengutamakan merit politik mengatasi keadilan dan kemanusiaan. Kini, atas nama kepentingan bangsa dan agama, bersediakah Umno menebus kembali kedurjanaannya itu? Jika itu tidak dapat diperbetulkan, jangan letak harapan tinggi terhadap perpaduan PAS-Umno!

(Artikel ini disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 30 November-6 Disember 2008 dengan tajuk sama)