Sunday, November 15, 2009

Demi undi, sanggupkah PAS membisu?


Oleh: Mohd Nasir Awang

BAGAIKAN ada kecenderungan sealiran di kalangan penganalisis politik mutakhir ini untuk memperlekeh keupayaan PAS memenuhi tuntutan perubahan politik negara. Mereka yang sering mengutarakan analisa optimis terhadap kemaraan parti-parti pembangkang sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN) kini selesa menghentam PAS.

Beberapa pendirian parti itu berkaitan isu-isu berbangkit dalam masyarakat dianggap tidak bijak, tidak demokratik dan berbagai lagi. PAS dikatakan gagal menarik sokongan umum, bahkan mengutamakan perkara remeh.

Siasah keluaran lalu memuatkan wawancara eksklusif dengan seorang pensyarah sains politik sebuah universiti tempatan. Profesor Madya itu mempertikaikan kewibawaan PAS untuk memerintah. Antaranya kerana masih gagal memperluaskan skop perjuangannya kepada isu-isu sejagat dan kebaikan semua kaum.

Bagi saya lukuannya itu sedikit tersasar. Realitinya, isu disebut itu memang bukan agenda PAS. Malah saya kita penganalisis itu agak boros apabila menyifatkan beberapa tindakan yang dilazimi PAS sebagai perkara remeh.

Perhatikan katanya, “pada zaman sekarang ketika rakyat mengharapkan PAS ke depan dalam soal bercakap tentang globalisasi, pekerjaan untuk rakyat, kesejahteraan hidup, keadilan untuk semua kaum dan lain-lain kemajuan, masih ada lagi pemimpin PAS yang bercakap tentang hendak menyekat konsert, mengasingkan lelaki dan wanita di pasar dan lain-lain perkara remeh”.

Pandangan sealiran turut dilontarkan kolumnis sebuah tabloid harian yang juga berpangkat “Dr”. Dalam ulasannya mengenai PAS pada edisi 1 November lalu, beliau antara lain menyamakan tindakan PAS memprotes konsert seperti pendirian “taliban”.

“PAS tidak boleh memutar jarum kembali kepada zaman “taliban” yang dibawa oleh kalangan yang hanya tahu memprotes konsert itu dan ini, sehinggakan timbul cemuhan bahawa Beyonce membatalkan konsertnya di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana ‘baju kurungnya belum sempat siap’”, coretnya.

Sinis, bukan? Tidak sukar difahami kritikan itu ditujukan kepada Pemuda PAS yang membantah konsert artis Barat itu. Kebetulan pula ketuanya sering berserban, lalu disamakan dengan imej “taliban”.

Turut diulang sentuh agak kerap ialah isu bantahan PAS Selangor terhadap penjualan arak di kawasan majoriti Melayu/Islam. Tindakan mempertahankan peraturan demi merawat moral umat Islam itu berdepan kecaman dan luahan tidak senang pelbagai pihak, termasuk pemimpin parti-parti rakan Pakatan Rakyat (PR) sendiri.

Beberapa penganalisis politik pro-pembangkang menghukum PAS sebagai perosak kerukunan dalam PR. Ketegasan PAS dalam isu arak dianggap tidak tepat dengan kepentingan politik. Ia menjejaskan sokongan umum, khususnya kaki-kaki botol terbabit terhadap pakatan pembangkang.

Maka sekiranya pandangan para penganalisis politik tadi mahu diterima pakai PAS, demi menjadikan parti itu diterima semua pihak, PAS perlu meneliti semula banyak dasar dan prinsipnya. Paling jelas, parti itu selepas ini perlu lebih banyak membisu tatkala berdepan pelbagai isu yang agak sensitif, terutama kepada masyarakat bukan Islam.

PAS jangan lagi bising-bising membantah penjualan arak secara terbuka termasuk di negeri diperintahnya. Nampak anak-anak muda hoyong-hayang dan tunggang-langgang pun, tengok sahajalah dan duduklah diam-diam!

Kerajaan PAS Kelantan yang telah memperkenalkan peraturan pengasingan lelaki dan wanita di beberapa tempat awam pula perlu mengkaji semula pelaksanaan peraturan itu. Jika tidak PAS akan terus dilabel mengutamakan “perkara remeh”.

Pemuda PAS pula tidak perlu menghabiskan masa, berpeluh ketiak dan bergetar anak tekak membantah mana-mana konsert. Nak “goyang gerudi” ke, nak apa ke, lantak dia oranglah. Pemuda PAS kena buat pekak badak dan diam membisu. Jika membantah, mereka akan dicop “taliban”.

Kemudian, apabila ada penganalisis mengutuk dan menjatuhkan maruah pemimpin kesayangan ahli PAS, jangan ada yang cuba membidas penganalisis itu. Kelak anda dilabelkan primitif.

Bukankah itu yang diserlahkan lewat Seminar Memperkasakan Parti anjuran PAS hujung minggu lalu? Seminar sehari pada 7 November itu mengundang dua ahli akademik sebagai ahli panel. Salah seorang mereka ialah yang telah berminggu secara terbuka menghamburkan kutukan secara peribadi kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Saya percaya tidak sedikit di kalangan pemimpin dan penyokog PAS terguris dengan serangan keterlaluan terhadap presiden mereka itu. Lalu ada di kalangan pemimpin PAS yang menyertai seminar minggu lalu mengecam tindakan penganalisis itu.

Dalam reaksi yang dibauri emosi, dan mungkin atas dasar menyelamatkan rakan, seorang lagi ahli panel yang juga pensyarah universiti tempatan melabelkan mereka yang mengkritik rakannya sebagai primitif dan hanya sesuai hidup di abad ke-17.

Nah! Ertinya, jika pandangan sedemikian yang mahu diterima pakai PAS, maka selepas ini jangan lagi ada ahlinya cuba membela jika ada pemimpin kesayangan mereka dikritik dan dihina. Ketepikan perasaan sayang dan sanjungan anda kepada pemimpin. Tengok dan dengar sahajalah pemimpin anda dicela. Zip kemas-kemas mulut anda. Jika membela juga, anda dianggap primitif kerana tidak dapat menerima kritikan dan persepsi pihak lain.

Saya pernah mencoret betapa hebat tekanan dialami PAS apabila ia menggesa kerajaan bertindak terhadap sebuah pertubuhan yang banyak melakukan perkara meragukan berkaitan Islam. Mungkinkah selepas ini PAS tidak perlu bersuara lagi menyentuh hak asasi dan kebebasan pihak lain, walau pun mereka menghina Islam?

Saya melihat itulah dilema dihadapi PAS kini. Di satu pihak, pendukungnya yang tulen bertegas mempertahankan dasar dan prinsip Islam. Di pihak lain, golongan yang kononnya mahu melihat PAS berjaya mendesak PAS menggadai prinsip demi mendapatkan sokongan dan undi rakyat.

Apakah PAS bersedia untuk lebih banyak membisu?

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah Bil:174, 27 Zulkaedah-4 Zulhijjah 1430/15-21 November 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment