Thursday, January 1, 2009

Pondok at-Taqwa - Utamakan kualiti berbanding kuantiti



Oleh: Nuwa Aitawa

DI PINGGIR utara pekan Jerteh, Terengganu, sekumpulan 47 pelajar tekun mengikuti rutin harian agak ketat demi mendalami ilmu agama. Ketekunan mereka bagaikan tidak terganggu oleh bunyi riang-riang yang memecah kesunyian kebun getah di belakang sekolah mereka, bersama hiruk-piruk deruman kenderaan di jalan raya di sebelah depan.

Di bina di atas tiga lot tanah wakaf di Kampung Padang Luas, Pondok at-Taqwa sekali imbas kelihatan hanya seperti sebuah surau kampung berkenaan. Namun, jauh dari jangkaan banyak pihak, deretan tiga unit bangunan yang tidak seindah mana itu sebenarnya menjadi medan sangat produktif mentarbiyah dan melahirkan pelajar berilmu dan berakhlak mulia.

Pondok at-Taqwa ditubuhkan pada 1992 oleh sekumpulan pencinta ilmu Islam di daerah Besut. Ia diurustadbir sebuah Lembaga Tadbir terdiri daripada 18 anggota, dipengerusikan seorang ulama’ setempat, Datuk Ustaz Hussein Awang.

Bermula dengan 32 pelajar dan empat tenaga pengajar di awal penubuhan, jumlah pelajar kini bertambah kepada 47 orang. Mereka bukan sahaja dari kampung berdekatan, tetapi dari serata negara, termasuk dari Johor, Pahang, Selangor dan Kelantan.

“Kita memang tidak ambil ramai (pelajar). Sekarang ini ada lima kelas, tidak sampai sepuluh orang sekelas. Kelas kita setakat tahun lima. Kelas lima sekarang hanya ada lima orang. Ada lima orang tenaga pengajar yang mengajar 11 mata pelajaran,” terang Mudir Pondok at-Taqwa, Ustaz Abas Said.

Walau pun sudah berusia lebih 60 tahun, beliau kelihatan sangat bertenaga dan ceria membicarakan perkembangan pondoknya. Siapa yang tidak akan berbangga apabila pondok yang pada awalnya hanya beroperasi di sebuah surau bersebelahan rumahnya, kini sudah mampu memiliki beberapa unit bangunan sendiri?

 “Sekarang kita ada bangunan sendiri. Ada musolla dua tingkat, bangunan kelas (dua tingkat), blok asrama lelaki. Asrama perempuan sedang dalam pembinaan, sekarang budak (pelajar) perempuan menumpang di bangunan sebelah”, sambung Ustaz Abas yang juga menjawat Setiausaha Lembaga Tadbir Pondok at-Taqwa sejak ia ditubuhkan.

Menurutnya, di antara mata pelajaran diajar di situ, ialah Hafazan al-Quran, Hadis, Tafsir al-Quran, Nahu, Tajwid, Solat, Bahasa Arab, Akhlak dan Sirah. Kebanyakannya diajar menggunakan kitab-kitab dalam bahasa Arab.

“Kita tekankan hafazan terutama surah-surah dalam Juz ‘Amma dan beberapa surah penting dalam al-Quran yang berkaitan dengan ibadat harian, terutama solat”, ujarnya.

Ditanya mengapa jumlah pertambahan pelajar tidak begitu besar, terutama jika dibandingkan dengan usia penubuhan pondok itu, Ustaz Abas dengan penuh tawadhuk menerangkan beberapa pertimbangannya.

“Pelajar tidak ramai tu begini, (pertama) kita ni ada sistem periksa, budak hak (yang) mari tu ramai budak lemah. Hak reject (di sekolah) lain. Yang kedua pula, (mereka itu) sudah bermasalah di rumah. Jadi, (bila) mari (ke) sini kita buat sistem kawalan ketat, dengan cara mengajinya, cara kawalan masanya. Jadi tak lama duduk, dia (pelajar) mengaji sekejap, lari sebab tak tahan kawalan kita. Tak biasa dengan kawalan”, jelas Ustaz Abas, disulami ketawa kecil mengenangkan kerenah anak-anak muridnya.

Beliau menjelaskan di antara perbuatan yang menyebabkan seseorang pelajar boleh dipecat ialah keluar malam, hisap rokok, ada hubungan cinta antara pelajar lelaki dan perempuan dan mencuri barangan pelajar lain.

Menurutnya, kes pelajar melakukan kesalahan seumpama itu berlaku setiap tahun, memandangkan pelajar bermasalah memang sukar menerima nasihat.

“Kita beri nasihat. Selepas itu panggil mak ayah. Mak ayah memang akan menyebelahi kita. Tapi bila anak tu tahu dia bersalah, dia rasa bersalah dengan mak ayah dia pula. Akhirnya dia tak mahu meneruskan pengajian,” jelasnya mengenai salah satu sebab pengunduran para pelajarnya.

Katanya, di pondok itu pelajar dititikberatkan dengan sembahyang berjemaah dan membaca al-Quran. Mereka disyaratkan bangun pada jam 5.30 pagi, berjemaah Subuh dan membaca al-Quran sehingga jam 7.30 pagi.

“Ini dilakukan tiap-tiap hari. Jadi pelajar yang duduk lama di sini, lima tahun, insyaAllah balik kampung boleh jadi tok imam. Sebab di sini Quran wajib hafaz, baca dengan banyak. Lepas itu hari Khamis, dilatih berkhutbah. Pegang tongkat, baca teks khutbah. Sebab itu duduk di pondok lima tahun, balik kampung khutbah boleh baca, jadi tok imam surau pun boleh, insyaAllah”, ujarnya penuh yakin.

Ustaz Abas juga tidak menolak kuantiti pelajar yang sedikit itu bagi mengimbangi kemudahan dan kelengkapan yang mampu disediakannya. Beliau beberapa kali mengulangi pihaknya tidak pernah mengiklan secara besar-besaran mengenai kewujudan pondok tersebut.

“Dari segi bangunannya orang tengok fizikalnya tidak begitu menarik. Sekarang ini orang mahu tengok bangunan cantik bercat. Itu selera orang zaman ini. Kita tidak begitu. Saya nak dalaman, isi (kualiti), sebab ilmu budak, pendidikan budak yang saya tekankan di sini”, katanya.

Beliau turut menekankan syarat utama penerimaan pelajar ke situ ialah keikhlasan ibu bapa mahu menempatkan anak-anak walau pun dalam kemudahan tidak selesa, di samping keinginan pelajar itu sendiri untuk mendalami ilmu Islam dan membina keperibadian sebagai muslim sejati.

Menurutnya lagi, bermula 2009 ini, pelajar dikenakan yuran RM30 sebulan. Tempat tinggal dan nasi disediakan. Manakala lauk dimasak para pelajar sendiri.

Meski pun merasa sedikit terpinggir dari arus pendidikan negara yang mementingkan kejayaan akademik, Ustaz Abas berkali-kali melahirkan keyakinan survival pondok kendaliannya akan berkekalan.

“Saya rasa insya-Allah jangkamasa panjang, hayat pondok ini akan maju. Sebab negara lain pun, macam di Indonesia pondok masih wujud, pesantren bukan? Macam di Syria pun, pondok masih hidup. Cuma dipermodenkan pondok itu, tapi pondok juga namanya”, katanya.

Baginya, selagi mana ada pelajar Darjah Enam dari lepasan sekolah menengah yang tidak berjaya menyambung pelajaran ke sekolah lain, selagi itulah pihaknya bersedia menjadi alternatif untuk mendidik pelajar tersebut.

Ustaz Abas boleh dihubungi menerusi talian tetap 09-6971446. 

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Januari 2009 di ruangan "jambatan ilmu" dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment