Sunday, September 21, 2008

Mampukah kehadiran DAP ubah lanskap politik Terengganu?


“Kehadiran DAP ke negeri ini hanya akan memecahbelahkan parti yang disertai oleh orang Melayu” – MB Terengganu

Oleh: Anuwa Jamalullail

PADA 7 September lalu satu lagi sejarah poliik negara tercatat apabila DAP secara rasmi menubuhkan dua cawangan serentak di Terengganu. Dua cawangan tersebut ialah di Kampung Cina dalam Parlimen Kuala Terengganu dan Sungai Tong di Setiu. Penubuhan kedua-dua cawangan itu disempurnakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Bagi Cawangan Kampung Cina, Pengerusi Penajanya ialah Ng Chai Hing. Beliau adalah bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu yang meletakkan jawatannya dalam parti itu pada 28 Ogos lalu. Manakala Cawangan Sungai Tong pula diterajui seorang berbangsa Melayu, Mad Zaki Mamat.

Meski pun dari segi sejarah ia bukanlah cawangan pertama DAP di negeri tersebut, penubuhannya dilihat membuka satu lembaran baru bagi percaturan politik lebih rencam dan sengit dalam masa terdekat.

Apatah lagi mengambil kira kekuatan DAP kini sudah semakin terserlah di seluruh negara. Parti itu menerajui pemerintahan Pulau Pinang, selain berkongsi kuasa dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) di Perak dan Selangor.

Ia juga mengetuai barisan pembangkang di beberapa negeri lain, di samping menakluki 28 kerusi Parlimen dan sedang menuju ke puncak kuasa bersama PR di peringkat nasional. Barangkali fakta kekuatan itu mendorong DAP melebarkan semula sayapnya ke Terengganu.

Difahamkan DAP pernah bertapak dan mempunyai cawangannya di Kampung Cina sejak akhir 80-an dulu. Penulis sendiri pernah melihat papantanda sebuah cawangan parti itu di pusat bandar Kuala Terengganu awal 90-an dulu.

Cawangan itu bagaimana pun menghadapi masalah survival pada tahun 2000 apabila Chai Hing selaku pengerusinya dilantik oleh kerajaan PAS Terengganu sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Meski pun pada awal pembentukan kerajaan negeri itu DAP bersama-sama PAS, parti itu tidak kekal lama dalam Barisan Alternatif (BA). Apabila PAS mempertegaskan kembali hasratnya menubuhkan Negara Islam sekiranya diberi peluang memerintah negara, DAP mengisytiharkan keluar daripada pakatan tersebut.

Parti itu malah turut memberi kata dua kepada 16 ahlinya yang ketika itu sedang menjawat berbagai jawatan lantikan politik di bawah kerajaan PAS Terengganu. Mereka diminta memilih sama ada melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri atau dipecat daripada parti.

Difahamkan hanya seorang yang akur untuk kekal bersama DAP. Kesemua yang lain mahu bersama kerajaan PAS. Meski pun DAP kemudiannya menarik balik ugutan tersebut, Chai Hing dan beberapa yang lain dikatakan mengambil keputusan meninggalkan DAP dan menyertai PKR (ketika itu Parti Keadilan Nasional).

Kini Chai Hing mengambil keputusan untuk kembali semula menganggotai DAP sekaligus menghidupkan semula cawangan yang pernah diterajuinya dulu. Tidak syak lagi keputusan itu memberikan kelebihan kepada DAP.

Namun, persoalan yang banyak diperkatakan di Terengganu kini ialah sejauh manakah kemasukan semula DAP ke negeri itu mampu memberi kesan kepada lanskap politik setempat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberikan komen agak pesimis. Katanya, kehadiran DAP ke negerinya hanya akan memecahbelahkan parti yang disertai oleh orang Melayu.

“DAP sudah pasti bakal menghadapi laluan sukar untuk mencari pengaruh di negeri ini, walau pun ia mungkin mendapat sokongan daripada segelintir orang Melayu,” katanya.

Sememangnya suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah DAP sering dikaitkan dengan perjuangan cauvinis Cina. Walau pun antara pemimpin yang pernah menempa nama dalam DAP terdapat tokoh-tokoh Melayu dan India, seperti Ahmad Nor, Fadzlan Yahya, Daeng Ibrahim, Karpal Singh, P. Patto dan V. David, parti itu tetap tidak berupaya mengikis imejnya yang lebih didominasi kaum Cina.

Sebab itu ia hanya mampu bertapak kukuh dan mendapat sokongan di kawasan majoriti pengundi Cina, khususnya di bandar-bandar utama. Isu-isu yang diketengahkan parti itu juga banyak berkaitan hak dan kepentingan masyarakat Cina.

Fenomena serupa berlaku dalam sejarah pertapakan DAP di Terengganu. Fokus utama parti itu ialah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, iaitu pangkalan terbesar masyarakat Tionghua Terengganu.

Menurut fakta Pilihan Raya Umum 2008, Dun Bandar mempunyai jumlah pengundi Cina tertinggi di Terengganu, iaitu melebihi 37 peratus.

Peratusan pengundi Cina di lain-lain Dun ialah Chukai (15.0 peratus), Sura (9.4), Ladang (7.2), Paka (4.8), Kemasek (4.6), Pengkalan Berangan (4.2), Jertih (4.0), Alor Limbat (3.2), Air Putih (2.8) dan Kijal (2.1). Ada pun di lain-lain Dun jumlah mereka hanya antara 0.1 hingga 1.4 peratus.

Dun Bandar adalah satu-satunya kerusi yang pernah ditandingi DAP. Parti itu meletakkan Chai Hing sebagai calonnya dalam Pilihan Raya Umum 1990. Beliau berjaya memungut undi agak besar, iaitu 1,519 walau pun tidak berupaya menandingi undi diperolehi calon MCA, Wong Foon Meng, sebanyak 3,956 undi.

Jumlah undi kaum Cina yang ditarik DAP itu bagaimana pun cukup untuk membantu calon PAS, Haji Harun Jusoh memenangi kerusi Dun Bandar. Beliau yang mendapat 4,682 undi undi menewaskan Foon Meng dengan majoriti 726 undi.

Barangkali DAP agak terpukul dengan percubaan sulungnya itu. Kehadiran calonnya secara tidak sengaja telah menyebabkan satu-satunya kerusi dikhaskan untuk calon Cina di Terengganu terlepas ke tangan PAS. Sebab itu barangkali sejak itu DAP tidak lagi meletakkan calonnya bertanding di negeri itu.

Sejarah itu bagaimana pun mungkin dapat diperbaiki sekiranya hasrat DAP menerusi penubuhan cawangan baru kini dapat dicapai. Parti itu telah meletakkan sasaran menghantar wakil rakyatnya ke Dun Terengganu bagi menyuarakan perjuangannya. Mungkin DAP mengambilkira PAS akan berkompromi memberi laluan kepadanya berhadapan satu lawan satu dengan calon BN. Apakah PAS bersedia untuk itu?

Lebih dipersoalkan lagi, apakah relevan bagi maksud itu untuk DAP menubuhkan cawangan di Sungai Tong? Pekan itu ialah nadi utama bagi Dun Langkap. Menurut fakta pilihan raya umum Mac lalu, jumlah pengundi Cina dalam Dun berkenaan hanya 0.1 peratus daripada lebih 13,000 pengundi. Jumlah itu jika dikira secara kasar hanya sekitar 13 orang.

Mengulas penubuhan cawangan di Sungai Tong itu, Mad Zaki menyebut ia salah satu usaha untuk memastikan parti itu mendapat sokongan di negeri itu, sekaligus mampu membela kesamarataan yang diperjuangkannya.

“Orang Melayu menyertai pembangkang termasuk DAP disebabkan BN gagal dan tidak telus memberi jaminan kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih baik,” katanya.

Soalnya, apakah DAP mampu menarik sokongan orang Melayu di Terengganu? Ataukah masyarakat negeri itu akan kekal setia dengan “sistem dua parti” iaitu antara PAS dan Umno sahaja?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 21-27 September 2008 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment