Tuesday, May 1, 2007

Membendung Jenayah Seksual Terhadap Wanita

Oleh: Mohd Nasir Awang

Keganasan terhadap wanita berada pada tahap membimbangkan dan semakin meningkat di seluruh dunia, dengan negara ‘polis dunia’ Amerika Syarikat (AS) sendiri mencatatkan purata seorang wanita dirogol setiap dua minit. Demikian menurut laporan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal Oktober lalu.

Meski pun pelbagai usaha diambil bagi membasmi keganasan terhadap wanita, fenomena ini masih berterusan. Kes-kes seperti rogol, sumbang mahram, mencabul kehormatan dan keganasan rumah tangga semakin membimbangkan.

Kajian mengenai keganasan terhadap wanita yang dilaksanakan di 71 negara menunjukkan sebahagian besar wanita menderita akibat keganasan fizikal, seksual dan psikologi. Fakta ini terkandung dalam laporan bertajuk “Mengakhiri Keganasan Terhadap Wanita: Daripada Kata-Kata Kepada Tindakan” yang dikeluarkan badan dunia itu.

Menurut laporan itu, antara 40 dan 50 peratus wanita di negara Kesatuan Eropah melaporkan pernah mengalami gangguan seksual. Beratus ribu wanita dan kanak-kanak pula menjadi mangsa perdagangan manusia dengan sebahagian besar mereka dieksploitasi untuk seks.

Kajian turut mendedahkan angka menyedihkan mengenai keganasan seksual di negara-negara yang dilanda konflik bersenjata. Antara 20,000 dan 50,000 wanita dirogol ketika tindakan penghapusan etnik di Bosnia pada awal 1990, manakala antara 250,000 hingga 500,000 mengalami nasib sama ketika konflik Rwanda pada 1994.

Meski pun usaha dan tindakan bagi membendung keganasan terhadap wanita masih belum berjaya membasmi kejadian itu sepenuhnya, langkah-langkah positif itu semestinya diteruskan.  Secara keseluruhan, langkah-langkah itu terbahagi kepada tiga:

Pertama:Mewujudkan suasana persekitaran yang baik
Kebanyakan kajian psikologi mendapati suasana persekitaran banyak merangsang seseorang melakukan perbuatan keji itu. Fakta ini pernah didedahkan Pengerusi Persatuan Komuniti Ikram Penyayang, Datuk Dr. Wan Halim Othman beberapa tahun lalu.

“Orang berperangai baik macam mana sekali pun boleh berubah secara perlahan-lahan andainya tarikan luaran gagal dibendung”, kata beliau.

Sebab itu tidak menghairankan apabila Kementerian Sumber Manusia merekodkan lebih 200,000 kes gangguan seksual setiap tahun membabitkan gangguan secara mental dan fizikal. Jumlah itu membabitkan dua peratus daripada 11.58 juta pekerja di seluruh negara, kata Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar, 20 Mac lalu.

Beliau menambah, dianggarkan antara dua hingga tiga peratus lagi pekerja di negara ini tidak melaporkan kejadian berkenaan kerana malu dan takut kehilangan pekerjaan.

Berbanding banyak negara di dunia, suasana persekitaran tempat kerja di negara ini adalah antara yang terbaik. Maka, jika dalam suasana persekitaran sebegitu baik pun masih berlaku keganasan seksual, ia mungkin disebabkan pengaruh luaran yang terbawa-bawa ke tempat kerja.

Di beberapa negara dunia, segala yang berbaur seks adalah halal di sisi undang-undang atas nama kebebasan individu. Di antara medan utama yang melambakkan bahan berunsur seks ialah internet.

Penyelidik psikologi di AS malah menganggap penyalahgunaan kecanggihan teknologi maklumat (IT) sebagai antara punca kes seksual meningkat. Rasional mereka, jika sebelum kehadiran internet, rakyat AS hanya membaca majalah lucah seperti Playboy, hari ini mereka mempunyai alternatif kepada lebih 100,000 web lucah percuma atau berbayar.

Salahguna IT juga menyebabkan pelbagai firma telekomunikasi negara itu berjaya menjana pendapatan lebih RM3.8 bilion setahun menerusi talian telefon lucah yang mendapat sambutan hangat. Tidak hairanlah kadar jenayah seksual di AS sangat tinggi ekoran kebebasan tanpa had rakyatnya mengakses sumber hiburan lucah.

Statistik Interpol sejak beberapa tahun lalu meletakkan kuasa besar dunia itu pada kedudukan teratas kes rogol daripada 181 negara anggota PBB. Kadar kes jenayah rogol di AS adalah empat kali ganda lebih tinggi daripada Jerman, 13 kali ganda daripada England dan 20 kali ganda daripada Jepun.

Di negara kita, kes rogol dilaporkan meningkat daripada 1,217 kes pada 2000 kepada 2,341 kes pada 2006. Purata dalam sehari kejadian rogol meningkat daripada 3.2 kes pada 2000 kepada 6.6 kes pada 2006. Kes sumbang mahram juga meningkat daripada 213 kes pada 2002 kepada 332 kes pada 2006.

Fakta di atas didedahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ketika berucap pada Forum Membanteras Keganasan Terhadap Wanita sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan pertengahan bulan lalu.

Apakah fakta itu membuktikan suasana persekitaran di negara kita juga belum cukup baik untuk kehidupan yang selesa bagi wanita?

Kedua: Segregasi gender
Sambutan Hari Wanita Sedunia bulan lalu mengemukakan pelbagai perkembangan menarik, terutama membabitkan aspek keselamatan wanita. Sambutan tahun ini antara lain mengetengahkan beberapa langkah segregasi gender yang diambil beberapa negara dunia, khusus bagi menjamin keselamatan wanita yang perlu berada di luar rumah, sama ada bekerja atau memenuhi tuntutan lain.

Beberapa negara seperti Rusia, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Brazil, Mexico, Iran dan terbaru, India, telah memperkenalkan khidmat teksi khas untuk wanita. Perkhidmatan teksi tersebut meliputi ciri-ciri khas feminin dan menyediakan kemudahan untuk wanita seperti mempunyai cermin pandang belakang lebih besar, beg alat mekap, cecair pemadam pengilat kuku dan rak majalah. Paling utama, ia dipandu pemandu wanita dan dikongsi hanya di kalangan penumpang sesama gender, selain kanak-kanak lelaki di bawah 12 tahun.

Indonesia malah bertindak lebih jauh dengan melancarkan perkhidmatan bas eksklusif untuk wanita, 20 Februari lalu. Manakala sebuah syarikat penerbangan di Jepun, Skymark Airlines Come memperkenalkan tempat duduk untuk wanita sahaja dalam kapal terbang. Langkah itu, menurut jurucakap syarikat, sebagai reaksi terhadap permintaan berulang kali penumpang wanita.

Di negara kita masih belum ada teksi atau koc keretapi, mahu pun bas eksklusif untuk wanita sahaja. Agak aneh apabila segregasi gender sering dijadikan isu sensitif di negara kita. Sering ada pandangan serong apabila ada pihak cuba mengemukakan konsep segregasi ini.

Antara yang pernah diutarakan ialah segregasi salon (sebagai kontra kepada salon unisex), kaunter bayaran berasingan di pasaraya dan tempat duduk berasingan dalam majlis atau perhimpunan.

Terbaru ialah langkah sebuah kerajaan negeri menganjurkan temasya sukan khusus untuk wanita pertengahan Februarri lalu. Setakat ini, reaksi dan tanggapan umum terhadap langkah-langkah tersebut agak sinikal dan serong.

Langkah negara-negara luar mengutarakan konsep segregasi pengangkutan awam tadi patut dicontohi Malaysia. Sepatutnya tidak akan ada lagi pandangan sinikal terhadap sebarang usaha memberikan keselesaan kepada wanita, dalam apa jua aktiviti hidup mereka.

Ketiga:Pertahanan diri wanita
Saranan tokoh agama, Datuk Abu Hassan al-Hafiz baru-baru ini agar pemakaian cawat besi dihidupkan semula ternyata menggemparkan negara. Bekas Penasihat Agama di Istana Negara itu memberikan alasan amalan itu wajar dipertimbangkan memandangkan wanita zaman ini banyak terdedah kepada jenayah rogol.

“Mungkin ia (pakai cawat besi) janggal dan kurang seronok didengar, namun inilah saranan terbaik kepada wanita bagi mengelak diri mereka dirogol”, katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis Forum Ma’al Hijrah di Terengganu pada 15 Februari lalu.

Walau pun praktikalitinya dipertikaikan pelbagai pihak, cadangan tokoh agama itu secara tidak langsung membuktikan betapa jenayah rogol dan seksual di negara kita kini di tahap sangat membimbangkan. Sekira-kira ia tidak mungkin dapat dibendung melainkan dengan memaksa wanita memakai ‘perisai diri’.

Kebetulan atau tidak, lebih kurang pada masa yang sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan hasrat kerajaannya menyediakan kelas seni mempertahankan diri untuk wanita di negeri itu.

“Kebolehan pertahankan diri sangat penting memandangkan peningkatan kadar jenayah terhadap wanita, seperti rogol, mencabul kehormatan dan kes-kes ragut”, katanya sewaktu berucap merasmikan Nisa’ Games 2007 di Kota Bharu, Februari lalu.

Cadangan serupa turut diutarakan Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju.

Apa pun langkah diambil, penentu utama kejayaan membendung keganasan terhadap wanita ialah kesedaran setiap individu tentang baik-buruk dan dosa-pahala. Perkara itu sudah tentu tidak akan ditemui di dalam mana-mana doktrin atau peraturan dunia, melainkan menerusi ajaran agama yang suci.

Justeru, langkah kembali menghayati kehidupan beragama adalah cara terbaik menangani jenayah yang semakin membimbangkan ini.

(Artikel ini disiarkan majalah al-Muslimah, Mei 2007 di ruangan 'reaksi' dengan tajuk sama).

No comments:

Post a Comment